Thursday, July 15, 2010

Inception (2010)

Mimpi yang dahsyat


Filem Inception tidak memberi ruang kepada penonton untuk beralih pandangan sebaliknya, mereka akan diburu rasa ingin tahu yang meluap-luap terhadap adegan seterusnya.


INCEPTION bukan Avatar (2009). Saya tidak pasti jika ia satu perbandingan yang sesuai dan tepat, tetapi saya ada sebab sendiri.

Avatar dikatakan merevolusi teknologi kesan khas dan 3D dalam pembikinan filem sedunia.

Sesiapa pun tidak boleh menafikan kenyataan itu dan saya juga tidak melihatnya lebih daripada lingkaran tersebut. Bagi saya, 'wow' untuk Avatar hanya pada keseronokan mata.

Berlainan dengan Inception. Saya merasai kesan yang mendalam.

Sehingga artikel ini ditulis (selepas lebih 12 jam menontonnya), saya masih teringat-ingat dan tertanya betapa bijaknya Christopher Nolan mengilhamkan sebuah karya yang sangat tulen.

Malah, untuk benar-benar memahami, saya dan seorang rakan melukis carta setiap lapisan kejadian.

Perjalanan Inception sangat kompleks, namun mengujakan. Nasihat saya sebelum menonton, matikan terus telefon bimbit dan beri perhatian sepenuhnya.

Leonardo DiCaprio ialah Dom Cobb, seorang pencuri minda yang berupaya mengekstrak maklumat daripada fikiran orang lain semasa mereka sedang tidur.

Kerana kemahiran itu, dia kemudian ditawarkan untuk mencuba sesuatu di luar kebiasaan bidangnya.

Tugasan itu diserahkan oleh seorang usahawan yang mahu menjatuhkan saingannya. Dia mencabar Cobb untuk menanam satu idea jahat dalam fikiran mangsa supaya syarikat lawannya itu musnah.

Cobb mengambil risiko kerana diburu rasa rindu serta memorinya terhadap isteri dan anak-anak.

Janji usahawan itu, jika mereka berjaya, dia dapat bertemu semula dengan keluarganya. Dengan kepakaran beberapa pembantu, Cobb mula mengembara dalam tidur dengan mimpi yang direka.

Inception tidak memberi ruang kepada penonton untuk beralih pandangan. Mereka akan diburu rasa ingin tahu yang meluap-luap - apa, mengapa, di mana, siapa dan bagaimana.

Setiap adegan berlaku dalam lapisan momentum yang pantas. Saya ingin menekankan perkataan 'lapisan' di sini kerana apa yang dialami Cobb dan rakan-rakannya ialah bermimpi dalam mimpi.

Salah satu kaedah untuk mengelakkan anda daripada terkeliru ialah memastikan garis masa yang betul serta lokasinya.

Cobb ialah seorang lelaki yang amat percaya kepada mimpi. Dia menjadikan mimpi sebagai landasan hidup, secara profesional mahupun peribadi.

Walaupun filem ini dilabel sebagai sebuah sains fiksyen thriller, saya masih dapat merasainya sebagai naskhah cinta.

Isteri Cobb iaitu Mal, lakonan Marion Cotillard adalah satu watak yang mempunyai pelbagai dimensi.

Keinginan Mal untuk terus hidup dalam khayalan membuatkan dia terperangkap. Seterusnya menjadikan karakter Mal sebagai yang paling dramatik dan menyayat hati.

Selepas keberkesanan The Aviator (2004), saya sentiasa menantikan filem-filem lakonan DiCaprio.

Dia bukan lagi Jack Dawson dalam Titanic (1997) yang setakat tampan, sebaliknya mainan yang diberikan aktor ini secukup rasa dengan kehendak watak. Tiada rungutan untuk persembahan DiCaprio.

Seperti mana untungnya Cobb mendapat anggota kumpulan 'pencipta mimpi' yang hebat, Nolan juga begitu.

Mimpinya direalisasikan barisan pelakon gred A, sinematografi yang memberangsangkan, skor muzik Hans Zimmer yang mendebarkan, serta rekaan set dan kesan khas yang realistik.

Adegan yang paling saya suka ialah ketika Arthur, lakonan Joseph Gordon-Levitt bertarung sambil terawang-awang.

Sebagai pengarah dan penulis lakon layar, Nolan pintar menganyam setiap peristiwa, mengajak penonton berkongsi permainan minda yang diciptakan.

Dia berjaya mengeksploitasi idea tentang kemampuan otak manusia berfikir, sama ada di luar mahupun di dalam sedar, secara metafizik.

Nolan mampu mengaburkan definisi mimpi dan impian, sehingga apa yang dipaparkan terasa seperti satu kenyataan dan penonton sukar membezakan.

Saya tidak teragak-agak untuk menamakan ini sebagai mahakarya Nolan. Dalam lambakan filem musim panas serta sekuel dan prekuel, dia muncul memberi sesuatu yang sangat segar.

Kerana Inception, Nolan bakal dikenang untuk jangka masa yang panjang selepas mengarahkan, antaranya Memento (2000), The Prestige (2006) dan The Dark Knight (2008).

Inception bukan Avatar. Saya pasti ia tidak akan memungut kutipan yang tinggi seperti mana filem James Cameron itu.

Namun, saya berpuas hati kerana merasai pengalaman yang lebih dahsyat menerusinya.

Thursday, July 8, 2010

Zoo (2010)

Permainan Zoo


Lakonan Lan Pet Pet sebagai Saad dalam filem Zoo tidak banyak beza dengan lakonannya dalam siri dan filem-filem Senario.


SAYA cuba untuk tidak skeptikal sebelum menonton filem ini. Sejujurnya, fikiran itu selalu saya tanamkan setiap kali mahu menyaksikan filem- filem Melayu.

Saya sedar, saya patut memahami dan menerima kekurangan kita, tetapi dalam masa yang sama, saya masih mahu dihiburkan dan tidak berasa menyesal apabila membayar tiket wayang.

Semasa filem Zoo dilancarkan, menerusi sinopsisnya, saya akui ia satu idea yang menarik, walaupun bukan baru.

Kisah hubungan manusia dengan haiwan bukanlah sesuatu yang asing di Hollywood, sekadar memberi contoh seperti Free Willy (1993), siri Ace Ventura (1994, 1995), siri Dr. Dolittle (1998, 2001) dan Hachiko: A Dog's Story (2009).

Namun, di Malaysia, seingat saya, hanya filem OK: Orang Kampung Otak Kimia (1990) yang agak menonjol dalam menampilkan haiwan sebagai salah satu karakter utamanya iaitu kambing yang diberikan suara.

Justeru, saya sokong keinginan Azhari Zain selaku pengarah serta penerbitnya, David Teo dalam memberikan kelainan kepada industri sinema tempatan.

Zoo mengisahkan seorang jejaka bernama Saad yang sangat sukakan haiwan. Kerana kecenderungan itu, cubaannya untuk memohon kerja di zoo berjaya dan diberikan jawatan sebagai pengawal keselamatan.

Selain Saad, turut bertugas di zoo itu ialah Encik Din, pengurus yang berwajah menakutkan; Osman sebagai penyelia kaki ampu serta Sheila, pengawai perhubungan awam yang manis dan yang nampak paling normal di antara karakter-karakter lain.

Sebelum Saad, ramai pengawal keselamatan lain berhenti kerja. Mereka mengadu dapat mendengar haiwan-haiwan bercakap pada waktu malam.

Pastinya alasan itu tidak dipercayai sesiapa, sehinggalah Saad sendiri mengalaminya.

Sebenarnya, saya amat keliru dan tidak jelas dengan penyampaian filem ini. Saya berikan contoh.

Pada malam pertama bekerja, Saad sangat terkejut apabila mendapati haiwan-haiwan di dalam kandang bercakap.

Ertinya, dia mampu mendengar suara-suara itu. Saad kemudiannya demam kerana berdepan dengan peristiwa aneh.

Kita imbas kembali adegan awal. Sebelum Saad mengalami peristiwa tadi, terdapat babak yang menunjukkan haiwan peliharaan di rumahnya juga boleh bersuara.

Kerana itu, saya tidak dapat membezakan pada waktu bila suara haiwan itu boleh didengar manusia dan bila pula mereka hanya bercakap di dalam hati.

Haiwan-haiwan di dalam filem ini tidak berhenti-henti bercakap!

Adegan seterusnya menyaksikan haiwan-haiwan eksotik di dalam zoo dirompak dua penyamun. (Nota: adakah kambing termasuk dalam spesis eksotik? Saya kurang pasti).

Identiti kedua-dua penjahat itu didedahkan sejak awal, malah adegan rompakan juga dilakukan dalam cahaya terang-benderang dengan suara penyamun yang bercakap kuat.

Saya fikir pengarah memang tidak berniat untuk menimbulkan rasa suspen di sini.

Osman menuduh Saad sebagai pencuri. Sheila yang rapat dengan Saad juga tiba-tiba berpaling tadah dengan mengemukakan bukti palsu.

Kecewa dipecat, Saad mengambil keputusan untuk membersihkan namanya dengan menjejaki dua penyamun tadi.

Penjiwaan Lan Pet Pet sebagai Saad tidak banyak beza dengan lakonannya dalam siri dan filem-filem Senario.

Olah tubuh, mimik muka dan gaya bercakap, masih tipikal Lan Pet Pet. Cuma dia lebih banyak memekik sepanjang filem ini. Mengambil inspirasi tarzan, barangkali.

Daripada lakon layarnya, saya menyimpulkan Azhari mahu menjadikan Zoo sebuah filem komedi slapstik yang ringan. Dari sudut itu, ia mungkin berjaya tetapi adakah ringan bermakna kosong?

Saya tidak pasti jika sasaran filem ini hanya untuk kanak-kanak kerana orang dewasa seperti saya terasa sedikit diperlekehkan. Saya berikan contoh.

Perbuatan Sheila bersubahat dengan penyamun, saya fikir satu jenayah yang berat. Dialah dalang yang membenarkan pencuri masuk.

Malangnya, Azhari mempermudahkan soal undang-undang apabila kes Sheila dianggap remeh, hanya diselesaikan secara dalaman oleh pengurus, bukan pihak berkuasa. Bukankah ini Zoo Negara?

Lebih mengecewakan apabila cara penyelesaian pun dijadikan sebagai bahan untuk memaksa penonton ketawa.

Benar, pembikin filem ada lesen kreatif atas nama seni dan hiburan. Benar, pembikin filem boleh memberi alasan ini sekadar fiksyen, lebih-lebih lagi komedi.

Tetapi, saya percaya pembikin filem juga ada tanggungjawab untuk tidak mempermain-mainkan minda penonton pada sesuatu yang munasabah.

Saya cuba untuk tidak skeptikal selepas menonton filem ini. Saya yakin filem sebegini ada kelompok pengikutnya yang tersendiri.

Saya sedar, saya patut memahami dan menerima kekurangan kita, tetapi sampai bila kita harus berkompromi?

Thursday, July 1, 2010

The Back-up Plan (2010)

Lupakan saja, fikir pelan lain


Menonton trailer, mahupun membaca sinopsisnya, filem The Back-up Plan menawarkan plot yang segar dan asli untuk dipaparkan.


SEBAGAI penggemar genre komedi romantik, saya mahu suka kepada filem ini. The Back-up Plan membawa kembali Jennifer Lopez ke layar perak selepas empat tahun berehat. Apatah lagi dia dipasangkan dengan Alex O’ Loughlin, aktor yang namanya kurang popular tetapi mungkin berpotensi untuk menjadi hero terbaru dambaan dunia.

Menonton trailer, mahupun membaca sinopsisnya, filem ini mempunyai premis yang segar dan asli untuk dipaparkan.

The Back-up Plan mengisahkan Zoe, seorang wanita berkerjaya yang sudah penat menunggu jodoh, membuat keputusan menjadi ibu tunggal melalui kaedah permanian berhadas.

Dalam perjalanan pulang dari klinik, secara tidak sengaja dia berkenalan dengan Stan yang berebut teksi dengannya.

Selang beberapa adegan kemudian, mereka dilamun cinta.

Saya pernah menyukai Lopez melalui filem The Wedding Planner (2001) dan Maid In Manhattan (2002).

Saya mampu mempercayai lakonannya, walaupun pada hakikat, dia terlalu cantik untuk menjadi ‘orang biasa’. Namun tidak dalam The Back-up Plan.

Sejak awal lagi, Lopez gagal meyakinkan saya. Intonasi, gerak tubuh dan keserasiannya dengan Loughlin hampir tiada.

Adegan berebut teksi saya sifatkan sebagai tidak masuk akal. Ketika mereka bertekak tentang satu teksi, sedar atau tidak, di belakang mereka bersusun teksi yang lain.

Penulis skrip mendedahkan latar belakang Zoe dan Stan dalam minit-minit seterusnya.

Zoe terdesak mempunyai anak kerana terlalu ingin membina keluarga sendiri. Dipelihara nenek selepas ibu meninggal dunia, dia mahu merasai kasih sayang sejati.

Manakala, Stan tidak pernah sukakan kanak-kanak kerana takut dengan tanggungjawab yang besar sebagai bapa.

The Back-up Plan sebenarnya mempunyai jalan cerita yang menarik.

Mengenai bagaimana Zoe yang pada mulanya mahu membesarkan anaknya sendirian, tiba-tiba jatuh cinta dengan seorang lelaki pada masa yang tidak dijangkakan.

Tentang bagaimana Zoe mahu meyakinkan Stan bahawa dengan kuasa cinta, mereka mampu merentasi ketakutan dan memenuhi segala impian.

Dengan kekuatan idea itu, The Back-up Plan seharusnya berupaya menjadi sebuah filem komedi romantik yang sensitif sifatnya dan mempunyai elemen drama yang bijak.

Sayangnya, penulis skrip mahupun pengarah gagal memanipulasikan kesempatan.

Saya mengerti dalam sesebuah filem, lebih-lebih lagi bergenre seperti ini, ada perkara logik harus ditolak ketepi kerana ia sekadar fantasi.

Namun, itu bukan alasan untuk memudahkan kerja. Isu atau dilema Zoe sebagai wanita bujang hamil yang terpaksa membuat pilihan tidak dirasai.

Sebaliknya, penonton disajikan dengan skrip yang membosankan, agak dangkal, dialog-dialognya tidak mengesankan dan jenaka yang tidak sofistikated.

Pembinaan karakternya tidak seimbang, malah membuatkan dahi saya berkerut.

Salah satu contoh ialah adegan Zoe yang mencuri rasa masakan Stan dengan begitu gelojoh tidak ubah seperti kebuluran.

Bagi seorang wanita matang dan kononnya sangat berdikari, itu perbuatan memalukan dan sama sekali tidak dianggap kelakar.

Begitu juga dengan adegan seorang wanita yang bersalin di dalam sebuah kolam, sambil diiringi nyanyian rakan-rakan yang mengelilinginya. Bagi saya ia tidak melucukan langsung.

Adalah lebih baik jika watak dua orang pekerja Zoe di kedai haiwan peliharaannya dikembangkan.

Kemunculan mereka yang sekejap itu lebih memberi erti daripada melihat watak-watak ahli kumpulan sokongan ibu tunggal yang menjengkelkan.

Saya tidak hairan kalau ada wanita yang tersinggung dengan gambaran filem ini.

Ketampanan mahupun susuk tubuh Loughlin pun gagal menutupi keburukan itu, ditambah lagi dengan lakonannya yang biasa saja.

Sebagai penggemar genre komedi romantik, saya mahu suka kepada filem ini.

Namun, saya tidak sanggup menontonnya untuk kali kedua. Barangkali anda patut fikirkan pelan yang lain sebelum beratur membeli tiket wayang, kecuali anda memang peminat setia Jennifer Lopez.