Thursday, September 30, 2010

Eat Pray Love (2010)

Berdoa untuk dimaafkan


LAKONAN Julia Roberts dan Javier Bardem banyak menyelamatkan filem Eat Pray Love.


SAYA tidak berkesempatan membaca buku Eat Pray Love sebelum menyaksikan filemnya. Begitu pun, saya tahu ia merupakan adaptasi daripada sebuah novel terlaris yang dianggap sebagai pencetus inspirasi.

Ditulis berdasarkan pengalaman sendiri, Elizabeth Gilbert disanjung sebagai srikandi alaf baru. Ironinya, saya tidak merasakan begitu sesudah menonton.

Karakter Elizabeth digambarkan sebagai seorang yang ego, keliru dan menjengkelkan. Malah, tidak keterlaluan jika saya melihat dia mempunyai masalah kecelaruan personaliti.

Justeru, apa yang hebatnya tentang wanita ini sehingga diperkatakan di serata dunia? Apakah pengajaran yang dibawakan sehingga bukunya masyhur dan dijadikan filem?

Untuk mendapatkan keadilan, saya mengambil inisiatif membaca novelnya setebal 441 halaman dalam masa dua hari, sebelum artikel ini ditulis. Saya pasti ada yang tertinggal dari buku untuk dimasukkan ke dalam filem.

Sudah menjadi lumrah apabila naskhah asal dikatakan jauh lebih baik daripada adaptasi. Namun, ia turut bergantung kepada kebijaksanaan penulis lakon layar untuk memindahkannya.

Contoh terbaik ialah Slumdog Millionaire (2008) yang diilhamkan daripada novel Q & A tulisan Vikas Swarup. Biarpun terjemahan tidak dilakukan mengikut setiap muka surat, namun inti pati cerita dan watak-wataknya diolah dengan berkesan.

Sangkaan saya terhadap kelemahan adaptasi Eat Pray Love sememangnya tepat. Sayang sekali apabila pembangunan watak utama gagal disempurnakan oleh penulis skrip, Ryan Murphy dan Jennifer Salt.

Ini mengingatkan saya kepada Running With Scissors (2006), satu lagi adaptasi dan arahan Murphy yang mengecewakan. Filem itu menerima kritikan kerana tidak sebagus buku dan nampaknya sejarah berulang kembali.

Dalam filem Eat Pray Love, saya tidak mengetahui sebab yang jelas mengapa Elizabeth tiba-tiba mahu meninggalkan suaminya, kemudian berpeleseran dengan lelaki muda sebelum pergi bercuti ke tiga buah negara.

Karakter Elizabeth kelihatan seperti seorang wanita yang bebas, angkuh dan mementingkan diri sendiri. Setiap tindakan atau keputusan yang diambil seperti sangat mudah dan terburu-buru.

Walhal menerusi buku, saya diterangkan bagaimana Elizabeth sebenarnya tidak lagi berasa bahagia dan enggan mengandung seperti yang dimahukan suami. Dia juga sudah penat menjadi ketua kewangan dalam keluarga.

Di dalam beberapa bab juga, Elizabeth mengakui mengalami tekanan dan bergantung kepada ubat. Dia terpaksa bergelut dengan kedegilan suami yang enggan menceraikannya.

Kehilangan elemen-elemen kritikal ini memberikan saya persepsi yang berbeza terhadap Elizabeth di dalam buku dengan Elizabeth di layar perak.

Saya mampu bersimpati kepada Elizabeth apabila membaca bukunya, tetapi mencebik semasa menonton filem.

Pengembaraannya ke Itali lebih daripada sekadar menikmati makanan; ke India bukan setakat membaca mantera; dan ke Bali bukan semata-mata mencari cinta baru.

Perjalanan spiritual ini tidak dirasai melalui filem, kerana apa yang dipaparkan seolah-olah Elizabeth sedang berseronok saja. Sedangkan hakikatnya, Elizabeth berikhtiar keras untuk survive dan mencari masa depan.

Kegagalan versi filem mendalami setiap fasa itu, menjadikan Eat Pray Love sebagai satu karya yang hanya cantik pada permukaan.

Penonton diberikan sinematografi yang kemas, dengan bingkai-bingkai pemandangan yang indah ibarat sekeping poskad. Filem ini juga bernasib baik kerana disokong barisan pelakon ternama.

Walaupun lakonan Julia Roberts dikatakan stereotaip, namun tidak dapat dinafikan dia masih tersenarai antara aktres terhebat Hollywood. Perjalanan filem yang meleret banyak diselamatkan oleh aura Roberts, begitu juga dengan penampilan Javier Bardem dan Billy Crudup.

Adegan yang paling saya gemari ialah apabila Crudup menyeka air mata di dalam lif selepas bertarung di pejabat peguam untuk menyelamatkan perkahwinannya.

Sebagai kesimpulan, percubaan Murphy untuk membawa Eat Pray Love ke layar perak tidak kesampaian. Sebagai pencipta siri TV Glee (2009), mungkin dia harus fokus kepada menari dan menyanyi saja. Dia juga mesti berdoa agar dimaafkan peminat buku kerana telah merosakkan naskhah asal.

Thursday, September 23, 2010

Wall Street Money Never Sleeps (2010)

Penantian yang terbayar


SHIA LaBeouf (kiri) dan Carey Mulligan memberikan lakonan cemerlang dalam filem sekuel ini.


INGATAN saya kepada filem pertama Wall Street (1987) sangat kabur. Saya hanya sempat menontonnya sekali pada awal tahun 90-an, itu pun kerana ditayangkan di kaca televisyen.

Saya harus berterima kasih kepada sarikata yang banyak membantu memahami terma-terma kewangan yang terlalu asing buat saya.

Oliver Stone membawa penonton mengetahui apa yang ada di sebalik Ivory Towers dan politik pasaran saham global.

Ketika ramai menganggap berita bisnes hanyalah sekadar berita, Wall Street memberikan pandangan baru terhadap dunia perniagaan - penuh drama dan misteri, ibarat sebuah naskhah thriller.

Selang 23 tahun, Stone muncul dengan sekuel Wall Street: Money Never Sleeps.

Ini merupakan sekuel pertamanya sejak bergelar pengarah dan dia mempunyai alasan yang kuat mengapa baru sekarang menghasilkan filem sambungan.

Ketika Wall Street yang pertama diterbitkan, dunia sedang bergelut dengan krisis ekonomi akibat kejatuhan pasaran saham terbesar atau Black Monday.

Perkara itu tidak banyak bezanya dengan senario hari ini, di mana pakar ekonomi menyifatkannya sebagai yang krisis kewangan terburuk selepas era Great Depression.

Biarpun tiada apa yang baru mengenai subjek yang ingin ditampilkan dalam sekuel, namun isinya masih sangat relevan.

Dengan bantuan penulis hebat seperti Allan Loeb dan Stephen Schiff, Money Never Sleeps menjadi sebuah cerita yang melengkapi kepakaran, pengetahuan dan teknologi dunia bisnes masa kini.

Bagi mereka yang tidak begitu memahami bagaimana dunia saham berfungsi (termasuk saya), filem ini mampu membuatkan dahi penonton berkerut.

Bagaimanapun, di sebalik komplikasi itu, Stone sebenarnya ingin memaparkan fitrah manusiawi - tentang ketamakan, ketakutan, perhubungan dan kasih sayang.

Money Never Sleeps dibuka dengan pembebasan Gordon Gekko daripada penjara. Gekko masih kental di tangan Michael Douglas, watak pakar kewangan yang bijak dan licik, yang melayakkan aktor itu memenangi trofi Oscar pada 1987.

Sehingga kini ia menjadi salah satu karakter paling ikonik dalam dunia sinema moden.

Kerana kesalahan jenayah yang dilakukan, nasihat Gekko tentang dunia saham tidak disambut baik banyak pihak.

Idea yang dijaja menerusi buku tulisannya dipandang sinis, tetapi tidak untuk pedagang muda, Jake Moore yang berpacaran dengan anak Gekko bernama Winnie.

Moore mempunyai misi untuk memulihkan semula hubungan Winnie dengan bapanya yang keruh.

Winnie menganggap Gekko sebagai bapa pembelit yang tidak bertanggungjawab sehingga abangnya mati akibat dadah.

Keraguan Winnie masih menebal sehingga mencetuskan konflik berpanjangan.

Pada masa yang sama, Moore mendapatkan nasihat Gekko untuk menentang Bretton James, penyangak korporat yang menyebabkan mentornya, Louis Zabel mati membunuh diri akibat tekanan.

Moore digambarkan sebagai seorang wira yang cuba menyelamatkan kehidupan profesional dan peribadi orang-orang di sekelilingnya.

Douglas bertuah kerana didampingi barisan pelakon yang dapat menyaingi permainannya sebagai Gekko. Shia LaBeouf menangani watak dramatik Moore dengan begitu baik.

Dia membuktikan yang dia tidak hanya pandai melompat dan berlari seperti di dalam Transformers (2007) atau Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull (2008).

Carey Mulligan menyinar sebagai aktres pelapis yang berkeupayaan menyampaikan emosinya hanya melalui bahasa wajah dan tubuh.

Manakala Josh Brolin yang pernah menyerlah dalam filem W (2008), juga arahan Stone, mengisi ruang watak antagonis James dengan berhemah, tetapi penuh muslihat di sebaliknya.

Namun demikian, pujian tertinggi seharusnya diberikan kepada Stone. Di sebalik frasa kewangan yang rumit serta imej graf yang berlatar belakangkan bangunan pencakar langit New York, dia berjaya mengimbangi aspek teknikal dan penceritaan.

Kepintaran Stone dan penulis skrip menjadikan Money Never Sleeps sebagai sebuah karya yang mampu dihadam sesiapa saja, tanpa perlu mengambil kursus pendek perniagaan sebelum menontonnya.

Tempoh penantian selama 23 tahun untuk menyaksikan sekuel ini menjadi kenyataan terbayar.

Thursday, September 16, 2010

4 Madu (2010)

Madu yang kurang manis


FILEM 4 Madu memberikan persepsi bahawa ikatan perkahwinan boleh dipersenda dan menjadi bahan mainan.


PROFESOR Madya A. Razak Mohaideen dan Saiful Apek gabungan dua nama yang sudah selalu, tetapi cukup serasi dan menguntungkan.

Kerjasama mereka, daripada filem Jutawan Fakir (2003) sehinggalah Sifu dan Tongga (2009) mencatatkan trek rekod yang baik dari segi kutipan box-office.

Setuju atau tidak, kenyataannya Razak ialah seorang pembikin filem yang tahu membaca selera penonton.

Justeru, untuk filem terbarunya, 4 Madu, selain Saiful Apek, dia membariskan pelakon yang punya nama dan wajah untuk menarik orang ke pawagam, antara lain Fasha Sandha dan Rozita Che Wan.

Formula itu dikatakan masih relevan, walaupun risiko untuk gagal tetap ada.

Filem 4 Madu bermula apabila Azlan menerima sepucuk surat daripada pejabat peguam.

Di sana, dia dipertemukan dengan saudara kembarnya, Azrul yang terpisah sejak kecil.

Mereka sebenarnya diwasiatkan aset bernilai RM50 juta daripada bapa mereka yang selama ini tidak diketahui identitinya.

Sebelum harta itu diserahkan, Azlan dan Azrul harus melalui beberapa fasa ujian yang memaksa mereka untuk berkahwin empat.

Setiap satu calon memiliki kriteria tertentu, seperti wanita buta dan bisu serta anak yatim piatu. Tugasan-tugasan itu harus dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Plot filem ini mengingatkan saya dengan kepada filem Mr. Os (1987) yang berkisar sama mengenai ujian dan wasiat.

Tetapi kalau hendak diambil kira, idea asal filem itu pun bukanlah begitu asli kerana khabarnya dicedok daripada filem Hong Kong.

Justeru, persamaan atau ilham yang diulang pakai bukanlah sebab untuk menolak percubaan 4 Madu.

Apatah lagi, isu berkahwin banyak juga pernah diutarakan; contohnya dalam filem arahan Tan Sri P. Ramlee, Madu Tiga (1964) dan filem seberang, Berbagi Suami (2006).

Sayangnya, olahan 4 Madu dirasakan tidak sepintar dan sekemas dua filem tersebut.

Filem ini memberikan persepsi bahawa ikatan perkahwinan boleh dipersendakan dan menjadi bahan mainan.

Realiti mengenai ketamakan dan kehodohan prinsip bernikah hanya kerana wang, gagal disampaikan secara jelas. Apa yang lebih menonjol ialah poligami sebagai bahan jenaka kosong.

Seperti mana filem-filem komedi Razak yang lain, 4 Madu masih membawakan pendekatan yang serupa.

Skripnya ringan dengan humor yang adakalanya menjadi separuh masak. Babak demi babak ditonton tanpa meninggalkan kesan kerana tiada perubahan yang cuba dilakukan.

Lakonan Saiful Apek masih tidak banyak beza, meskipun melakonkan dua karakter dengan personaliti yang berlainan.

Watak Azlan ialah pekerja chalet yang kurang pendidikan, sementara Azrul ialah seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Sepatutnya penonton dapat mengasingkan dua watak ini melalui mentaliti, dialog dan perlakuan mereka. Namun, perbezaan sifat Azlan dan Azrul tidak ketara.

Dalam pada itu, beberapa pelakon pembantu seperti Rosnah Mat Aris yang menjadi wanita sengau, Sazzy Falak sebagai wanita Inggeris celup dan Bienda sebagai wanita pura-pura buta, mampu menimbulkan kelucuan spontan.

Tanpa mengurangkan rasa hormat kepada kekurangan sifat semulajadi manusia, tiga peranan ini menyerlah.

Bagaimanapun, bersedialah untuk menyaksikan lakonan kayu dan menjengkelkan daripada sesetengah watak. Tidak semua 'madu' yang ditampilkan dalam filem ini manis.

Saya mahu mengulangi perenggan awal tadi. Prof Madya A. Razak Mohaideen dan Saiful Apek - gabungan dua nama yang sudah selalu, tetapi cukup serasi dan menguntungkan. Kata kunci di sini ialah menguntungkan.

Dalam musim perayaan seperti Aidilfitri, 4 Madu mempunyai potensi untuk mengulangi kejayaan box-office dua insan seni itu, atau sekurang-kurangnya balik modal.

Saya pasti memang itu pun yang menjadi sasaran utama pengarah dan penerbitnya.