Thursday, December 30, 2010

THE TOURIST (2010)

Benarkan fikiran ‘bercuti’


JOHNNY Depp dan Angelina Jolie pelakon utama The Tourist.


SAYA sangat seronok dengan kehadiran The Tourist atas beberapa sebab. Selepas penat menyaksikan filem 3D yang berderet-deret, saya hanya mahu sebuah filem yang dijayakan para pelakon sebenar dan bukan kesan khas. Tambahan pula ia menjalani penggambaran di Venice, lokasi percutian kegemaran saya.

The Tourist merupakan filem cereka kedua arahan Florian Henckel von Donnersmarck. Pengarah dari Jerman ini merupakan pemenang Oscar 2006 untuk kategori Filem Asing Terbaik menerusi The Lives of Others. Saya pernah menonton filem itu dan amat menyukainya.

Namun demikian, saya tidak mengharapkan The Tourist menjadi sebuah lagi material untuk Oscar, walaupun mendapat tiga pencalonan Golden Globe. Sifatnya sebagai calon Filem Muzikal atau Komedi Terbaik memberi petanda ia sebuah filem ringan dengan pemandangan dan orang-orang yang cantik.

Johnny Depp memainkan peranan Frank, seorang guru Matematik yang bercuti sendirian di Eropah. Dalam perjalanan ke Venice menaiki keretapi, dia didekati seorang wanita misteri bernama Elise, lakonan Angelina Jolie.

Elise mempergunakan Frank untuk mengelirukan polis yang sedang menjejaki kekasihnya, Alexander yang lari dari cukai dan menggelapkan wang samseng. Kerana kesilapan identiti, Frank menjadi buruan.

Dia bukan saja terpaksa melarikan diri dari ditangkap, tetapi dari perangkap cinta pandang pertama terhadap Elise.

The Tourist sebenarnya adalah bikin semula dari filem Perancis, Anthony Zimmer (2005). Walaupun kebanyakan pengkritik mengatakan versi baru tidak sebaik yang asal, namun The Tourist memiliki sifat-sifat old-fashioned Hollywood movie yang sofistikated ala romantik thriller Alfred Hitchcock.

Anda dapat membayangkan kalau filem ini dibikin pada era 1960-an dengan Cary Grant dan Audrey Hepburn sebagai bintangnya.

Plotnya memang sengaja diberikan kejutan. Barangkali agak mudah untuk dijangka, tetapi itu tidak merosakkan unsur-unsur hiburannya. Dengan babak aksi yang tidak keterlaluan, dicampur sedikit debaran dan humor, The Tourist berjaya mencipta satu atmosfera santai.

Filem ini tidak akan menjadi seelok sekarang tanpa pemilihan pelakon yang tepat. Pada asalnya watak Frank mahu diserahkan kepada Tom Cruise, kemudian Sam Worthington, tetapi akhirnya Depp adalah orang yang paling sesuai.

Depp mempunyai kemahiran yang tidak ramai pelakon ada iaitu aura komedi tersembunyi yang mampu disampaikan hanya menerusi mimik muka kosong atau gerak tubuh. Dia memberikan persembahan yang efektif, sebagai seorang pelarian dan penyelamat, tanpa sebarang kesukaran.

Kepandaiannya itu dipadankan dengan kejelitaan dan keanggunan Jolie, lalu menghasilkan keserasian yang direstui. Ini bukanlah lakonan terbaik mereka, tetapi apabila kedua-duanya mampu membuatkan anda duduk diam di kerusi lebih setengah jam pertama, itu sudah cukup baik.

Selain Depp dan Jolie, bintang utama filem ini ialah Venice sendiri. Sinematografinya menangkap keindahan setiap landskap, baik siang mahupun malam.

Ia menawarkan citarasa berfesyen dan budaya pelancongan yang tinggi, meskipun dari sudut estetika, The Tourist sekadar sebuah lagi filem Hollywood yang memanipulasikan lokasi eksotik sebagai tarikan.

Benar, filem ini bukanlah sebuah Euro thriller yang dahsyat. Tidak juga naskhah yang tragik kerana itu memang bukan niat pembikinnya.

Jalan cerita tentang kesilapan identiti, penyamaran dan penyiasatan seperti ini pun sudah dikira biasa. Apatah lagi datangnya daripada seorang pengarah yang pernah menang Oscar.

Bagaimanapun, tidak salah untuk sekali-sekala berasa leka dengan kecantikan yang terpampang. Sesuai dengan tarikh tayangan yang menutup tahun, benarkan fikiran anda untuk bercuti.

Thursday, December 23, 2010

GULLIVER'S TRAVELS (2010)

Tidak buruk tetapi biasa


TEKNIK imej janaan komputer atau CGI dalam filem versi baru Gulliver's Travels ini tiada apa yang membanggakan.


DIINSPIRASIKAN daripada novel tahun 1726-1735 tulisan Jonathan Swift, filem Gulliver's Travels versi baru mengadunkan falsafah asalnya dengan cerita tambahan.

Naskhah sastera klasik itu diterjemah dalam gaya komedi yang bersesuaian latar dan masa sekarang.

Lemuel Gulliver ialah seorang peminat Star Wars dan Guitar Hero. Dia sudah bekerja di bilik surat sebuah syarikat penerbitan di New York selama sepuluh tahun.

Sangat selesa dengan posisinya itu, dia menyimpan perasaan terhadap pengarang bahagian pelancongan, Darcy Silverman.

Kehadiran Dan sebagai ketua baru Gulliver membuatkan dia terfikir untuk berubah menjadi lebih berani dan maju.

Dalam usaha memikat gadis pujaannya, dia memohon untuk menulis artikel percutian sehingga ditugaskan menyelongkar rahsia Segi Tiga Bermuda.

Gulliver kemudian tenggelam dalam ribut laut lalu terdampar di sebuah negara bernama Liliput yang didiami orang-orang mini.

Di sana, dia digelar gergasi dan dianggap wira sehinggalah penipuannya mengenai identiti sebenar terbongkar.

Maaf jika saya membocorkan kesudahan, tetapi dengan sinopsis seperti itu, saya tidak rasa anda jangkakan kejutan di penghujungnya.

Kerana itulah Gulliver's Travels menjadi sebuah filem yang mendatar tanpa sebarang suspens atau mampu membuatkan penonton tercengang.

Mahu menjaga status sebagai sebuah produk kekeluargaan bukanlah alasan terbaik pengarah mengambil jalan selamat dalam penceritaan.

Filem ini mempunyai resipi yang lengkap untuk muncul sebagai sebuah filem ikonik. Tentang Gulliver menjadi gergasi secara fizikal mahupun perasaan; tentang cinta di antara dia dan Silverman serta Horatio dan Princess Mary; tentang peperangan dua negara dan babak-babak yang melucukan.

Beberapa adegan terhasil baik, terutamanya semasa Gulliver dilayan seperti raja. Dia mempunyai mahligai fantasinya. Dia juga memiliki dewan teater sendiri dengan orang-orang mini sebagai pelakon untuk babak dari Star Wars dan Titanic.

Malah, dia juga diberikan bangunan-bangunan Times Square sendiri, dengan wajahnya sebagai papan iklan.

Namun, setiap satu itu ditampilkan dengan mudah dan terburu-buru. Penonton tidak sempat merasai debaran atau mempunyai keinginan untuk lebih mengambil tahu.

Segalanya tentang plot sudah tertulis seperti manual. Babak demi babak boleh dijangka kesinambungannya, seperti mana lakonan Jack Black yang stereotaip.

Tidak banyak bezanya dia dalam Gulliver's Travels berbanding The School of Rock (2003), kecuali kanak-kanak sekolah digantikan dengan orang-orang kecil di Liliput.

Dia melakukan apa yang biasa dia buat - mimik muka, bunyi-bunyian yang keluar dari mulut dan gerak tubuh yang kononnya 'cool'.

Saya percaya dia memang meminati wanita cantik dan bijak seperti Silverman, lakonan Amanda Peet. Tetapi pengarah gagal meyakinkan saya bahawa Peet meminati lelaki seperti Black. Ini bukan soal rupa, tetapi lakonan mereka nampak palsu.

Bagaimanapun, persembahan Emily Blunt dan Jason Segel menyeronokkan untuk ditonton. Blunt tidak melebih-lebih meskipun wataknya sebagai Princess Mary membenarkan dia berbuat demikian.

Segel pula sebagai lelaki kasta rendah yang ingin menjadi hero, mampu mengimbangi ekspresi di antara komedi dan drama.

Sementara itu, tiada apa yang membanggakan dari sudut efek dan imej janaan komputer (CGI), walaupun secara jelas 80 peratus filem ini dirakamkan pada skrin hijau.

Kumpulan produksi mempunyai kelebihan untuk mengagumkan penonton menerusi rekaan landskap Liliput, tetapi sayangnya nilai itu tidak dimanipulasikan.

Agak aneh apabila saya merasakan karakter-karakter kartun dalam Monsters Vs Aliens (2009) dan Shark Tale (2004) yang juga arahan Rob Letterman, lebih memberi kesan berbanding filem yang dijayakan manusia.

Saya tidak meminta Gulliver's Travels menjadi sebaik material untuk Oscar. Saya faham sifatnya sebagai sebuah filem musim cuti.

Namun, alang-alang mempunyai naskhah, gabungan pelakon dan teknologi yang baik, mengapa tidak digunakan sebaik mungkin?

Filem ini tidaklah buruk, tetapi selepas ketawa atau tersenyum beberapa kali, penonton akan melupakannya sebaik saja keluar pawagam.

Friday, December 17, 2010

HANTU KAK LIMAH BALIK RUMAH (2010)

Mari balik ke panggung


Salah satu babak menarik dalam filem hantu kak limah Balik rumah yang kini ditayangkan di pawagam.


SAYA tidak sangka akan ketawa terbahak-bahak semasa menyaksikan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Seperti kebanyakan orang, saya juga selalu skeptikal terhadap sekuel, apatah lagi Zombi Kampung Pisang tidak termasuk dalam senarai filem kegemaran.

Bagaimanapun, saya tidak melihat Hantu Kak Limah Balik Rumah sebagai sebuah filem sambungan. Ia hanya menggunakan watak dengan latar yang sama, tetapi masih mampu berdiri sendiri. Penonton tidak perlu mengingati peristiwa daripada Zombi Kampung Pisang atau menontonnya terlebih dulu.

Selepas dua tahun meninggalkan Kampung Pisang, Husin kembali untuk menebus kesilapan lalu. Motorsikal besar menjadi simbol dia sudah stabil dari segi kewangan dan mahu meminang Cik Nin, kekasih yang ditinggalkan.

Kepulangan Husin menimbulkan ketegangan. Pertama, kerana Pak Jabit masih menyimpan dendam terhadapnya yang mempermain-mainkan perasaan Cik Nin. Kedua, kerana dia menghebahkan kepada orang kampung bahawa jiran sebelah rumahnya, Kak Limah sudah menjadi hantu.

Penampilan Kak Limah yang tidak serupa orang - rambut mengerbang, muka pucat lesi dan suka bersendiri di tempat gelap - memang mampu membuatkan sesiapa saja lari. Dalam menyelesaikan kegemparan itu, Husin juga bertemu jawapan yang dicari tentang jodohnya dengan Cik Nin.

Filem ini meneruskan stail humor Mamat Khalid yang secara dasarnya merapu, tetapi berjaya mengundang gelak. Lawaknya kelihatan mudah, kena pada sasaran, dalam masa sama berlapiskan sindiran dan parodi.

Mamat mempunyai kemampuan untuk memberikan jenaka dalam dua nada sekaligus iaitu ringan dan gelap. Penonton mempunyai pilihan sama ada mahu relaks dan terima lawaknya itu bulat-bulat, atau cuba membaca mesej terselindung yang ingin disampaikan.

Misalnya, kehadiran pawang Indonesia dan Siam yang dipanggil untuk menghalau hantu Kak Limah. Sedang penonton ketawa digeletek dengan adegan-adegan lucu, Mamat sebenarnya mahu memberitahu tentang sikap kita yang lebih mempercayai 'kehebatan' orang luar, sedangkan ia belum tentu berhasil.

Babak Husin menyanyi kepada Cik Nin ala MTV juga dibikin tanpa rasa menjengkelkan. Ia ibarat satu penghargaan kepada filem-filem Melayu era 1970an yang suka menyanyi di tengah-tengah cerita.

Mamat mampu menghasilkan komedi sedemikian tanpa membuatkan penonton meluat atau terasa diperbodoh-bodohkan. Dia mungkin mahu kita 'belajar' untuk mentertawakan diri sendiri dan itu tidak salah.

Kalaulah di Malaysia ada anugerah Persembahan Berkumpulan Terbaik (Best Ensemble Cast) seperti di Screen Actors Guild, saya percaya barisan pelakon Hantu Kak Limah Balik Rumah layak memenanginya.

Lakonan kaku untuk watak Wan Kaswi pun boleh dimaafkan kerana dia didampingi persembahan selamba daripada bintang lain.

Shy8 sebagai Usop, bekas penari kebudayaan yang sekadar tempelan dalam Zombi Kampung Pisang sangat menyerlah kali ini. Dia berjaya mencuri tumpuan yang sama, yang diberikan penonton kepada pemain yang lebih popular seperti Awie, Johan Raja Lawak dan Zami Ismail.

Begitu juga dengan Man Kadir sebagai Pak Jabit yang lakonannya sangat asli dan Delimawati sebagai Kak Limah yang tidak perlukan dialog, tetapi masih kelakar seram. Mamat membuka ruang kepada pelakon-pelakon underdog menonjolkan bakat mereka yang selama ini dipinggirkan.

Setiap watak dan kesinambungan babak bergerak dengan baik. Malah, penamat filem ini juga menimbulkan intrig yang berkesan, sesuai dengan hajat Mamat yang mahu membikin sebuah lagi sekuel. Watak Ayu yang hanya muncul sekali-sekala itu sebenarnya sangat penting untuk filem akan datang.

Saya tidak sangka akan ketawa terbahak-bahak semasa menyaksikan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Seperti kebanyakan orang, saya juga mahu menontonnya sekali lagi dan filem ini termasuk dalam senarai filem kegemaran.