Thursday, January 27, 2011

THE GREEN HORNET (2011)

'Serangga hijau' kurang sengat


SETH Rogen dalam filem The Green Hornet tidak seperti watak adiwira tipikal yang lain.


TIDAK seperti kebanyakan filem adiwira yang lain, The Green Hornet bukan berasal daripada komik. Sebaliknya, ia naskhah adaptasi drama radio dan siri televisyen popular era 1960an.

Britt Reid ialah Paris Hilton versi lelaki. Hidupnya yang asyik berpesta dan berpoya-poya mengecewakan bapanya, James Reid, seorang pemilik empayar media terkenal.

Pada awal filem ini ditunjukkan bagaimana James kecewa terhadap sikap anak tunggalnya dan kekecewaan itu dibawa sehingga ke mati. Kematian James secara mengejut memberi ilham kepada Britt untuk menjadi hero pembanteras jenayah.

Kegilaan itu bukanlah kerana mahu menebus rasa bersalah atau membantu masyarakat, tetapi kerana ingin membuktikan dirinya bernilai. Idea itu tercetus apabila dia bertemu dengan bekas pekerja bapanya, Kato.

Kato ialah seorang pembancuh kopi dan mekanik yang hebat. Dia mampu menukarkan kereta mewah menjadi mesin pertempuran yang dipanggil The Black Beauty dan mencipta senjata mengikut misi yang dijalankan.

Kato menjadi tulang belakang Britt dalam memenuhi segala fantasi majikan barunya itu. Sebagai pewaris akhbar The Daily Sentinel, Britt menggunakan kuasa untuk mempopularkan alter egonya sendiri.

Dia mengarahkan wartawan agar menjejaki dan membongkar identiti sebenar The Green Hornet sehingga The Green Hornet menjadi tumpuan ramai.

Kemasyhuran itu menangkap perhatian ketua penjenayah, Chudnofsky. Kemasyhuran itu turut menjadikan ego Britt bertambah besar sehingga menggugat perhubungannya dengan Kato.

Bagi Britt, Kato tidak lebih sekadar pembantunya dan bukan penggerak utama dalam setiap misi The Green Hornet.

Tidak seperti kebanyakan watak adiwira yang lain (contoh rujukan: Batman/Bruce Wayne atau Iron Man/Tony Stark), Britt/The Green Hornet tidak berkemahiran, tidak berbakat dan tidak bijak. Dia hanyalah anak orang kaya yang besar kepala dan kuat berangan.

Memang benar, Kato yang mencipta segala gajet dan Kato juga yang mampu menewaskan lima lelaki sekali gus, tetapi Britt yang menjadi penggerak kepada impian mereka.

Filem ini bergerak di atas paksi yang pelbagai. The Green Hornet memberi peluang kepada penonton untuk melihatnya dari dua perspektif, sama ada sebagai sebuah filem adiwira yang serius atau sekadar satu spoof.

Bermula agak perlahan, The Green Hornet mengambil masa untuk membina momentum dan menerangkan setiap karakter dengan penuh perincian.

Kerana bintang utamanya, Seth Rogen turut bertindak selaku penulis bersama dan penerbit, filem ini tidak lari dari 'bau' dan aura jenaka dewasa dalam Superbad (2007) atau Pineapple Express (2008).

Rogen ialah seorang lelaki yang melucukan dan pelakon yang baik apabila menggalas watak pembantu, seperti dalam The 40 Year Old Virgin (2005) dan Funny People (2009).

Namun, apabila lampu sorot disuluhkan kepada dia sepenuhnya, Rogen tidak mampu mengimbangi tugas seberat itu. Dia bukanlah satu karakter yang disenangi dan ada masanya menjengkelkan.

Kerana Rogen mahu menjadi fokus utama filem ini, para peminat Jay Chou barangkali tidak cukup puas. Sebagai Kato, ada gerak aksinya yang menarik, tetapi dialog-dialognya masih dibayangi 'kekuasaan' Rogen.

Apatah lagi dengan bahasa Inggerisnya yang pelat dan riak wajah dingin yang boleh ditafsirkan sebagai lakonan yang kaku.

Babak yang paling menarik ialah kemunculan istimewa James Franco sebagai ketua penjenayah Los Angeles. Walaupun adegannya tidak sampai lima minit, dia berjaya mewujudkan keserasian dengan Christoph Waltz.

Humor yang dipaparkan bersahaja, malah Chudnofsky begitu berkesan di tangan Waltz. Dia mengimbangi peranannya di antara penjahat yang kejam dengan penjahat yang komikal, terutama apabila dia mahu menukar 'nama' kepada Bloodnofsky (akibat terpengaruh dan mahu bersaing dengan populariti The Green Hornet).

Manakala Cameron Diaz hanya menjadi 'gula-gula mata'. Watak setiausaha Britt bernama Lenore itu tidak ubah sebagai tempelan atau dalam bahasa mudahnya, asal ada karakter utama wanita.

Bagaimanapun, untuk 'seekor serangga hijau' yang namanya gah menerusi drama radio dan siri televisyen, filem ini sederhana saja.

Thursday, January 20, 2011

KHURAFAT (2011)

Cukup sifat, tetapi...


LIYANA Jasmay dan Syamsul Yusof sebagai suami isteri dalam filem Khurafat.


REAKSI penonton yang sudah menyaksikan Khurafat lebih awal membuatkan saya sangat teruja. Rata-rata memberitahu filem lakonan dan arahan Syamsul Yusof ini amat seram dan membuatkan penonton tidak berhenti menjerit.

Johan, seorang pembantu perubatan di sebuah hospital baru saja bernikah dengan Aishah. Perkahwinannya itu bagaimanapun dibayangi gangguan daripada bekas teman wanita Johan, Anna yang enggan melepaskan cintanya.

Kewujudan makhluk berbungkus dan berambut panjang (rujuk filem-filem hantu Jepun dan Indonesia) membuatkan Johan dan Aishah tidak tenteram. Lembaga itu sentiasa mengekori mereka dari alam nyata sehinggalah ke dalam mimpi.

Kerana obsesinya terhadap Johan, Anna dituduh 'menghantar' benda-benda halus itu, lebih-lebih lagi dia kemudiannya membunuh diri.

Untuk sebuah filem hantu, Khurafat mempunyai segala ciri-ciri dan sifat yang diperlukan. Watak antagonis iaitu Anna sebagai suspek utama, watak makcik misteri yang selalu memerhati sebagai suspek kedua dan watak protagonis iaitu Aishah yang terlalu baik sehingga boleh mencetuskan syak wasangka penonton.

Saya tidak berniat untuk memecahkan rahsia, tetapi kerana fokus filem ini terlalu berat ke arah Johan, sejak awal lagi saya sudah dapat meneka siapakah yang jahat sebenarnya. Namun, itu tidak merosakkan keinginan saya untuk mengetahui bagaimana dan mengapa Johan melakukannya.

Sebagai pengarah dan penulis skrip, Syamsul memahami bagaimana sebuah naskhah seram dapat berfungsi. Dia tahu cara yang paling efektif untuk menakut-nakutkan penonton. Nada dan warna latar yang suram sejak awal filem mengundang resah gelisah.

Malah adegan pembukaan seperti bersolat dan ceramah agama, walaupun agak stereotaip, masih berkesan untuk menimbulkan perasaan kurang senang. Ini kerana syaitan lawannya agama; dan pada saat itu, penonton merasakan bila-bila masa hantu akan muncul.

Babak Pak Imam mengeluarkan jin daripada badan seorang pengamal ilmu hitam merupakan antara adegan terbaik. Dengan efek mekap, suara dan terbang di udara, A. Galak kelihatan menyeramkan. Penataan bunyi dan muzik yang tersusun juga mendebarkan.

Begitu pun, kerana hantu di dalam filem ini terlalu kerap muncul - baik di kiri, kanan, atas dan bawah; di dalam rumah, bilik mayat mahu pun di dalam hutan penonton berdepan dengan dua kemungkinan.

Sama ada mereka seronok untuk terus dimomokkan atau 'penat' kerana sudah dapat mengagak helah yang seterusnya.

Barangkali Syamsul mempunyai alasan yang kuat mengapa hantu itu selalu mengacau kerana ia ada hubung kait perjanjiannya dengan Tok Bomoh.

Kerana Syamsul merupakan lulusan 'sekolah Yusof Haslam', dialog-dialog Khurafat masih tidak lari dari gaya filem-filem arahan bapanya. Lurus, skema dan tidak berkias, ia dicacatkan dengan proses memasukkan suara (dubbing) yang tidak kemas.

Bagaimanapun, Syamsul bijak mengakhiri filem ini dengan kejutan dan persoalan. Ia membuatkan penonton tertanya adakah keseluruhan filem ini satu koma yang panjang atau hanya bermula selepas Johan kemalangan.

Dakwah bahana perlakuan khurafat juga disampaikan secara halus, tanpa 'bersyarah.'

Lakonan Syamsul lebih bersahaja berbanding filem-filem sebelum ini, begitu juga dengan Sabrina Ali. Cuma mungkin bakat Liyana Jasmay tidak dimanipulasikan. Sepatutnya sebagai seorang isteri, Aishah turut merasai apa yang Johan rasa tetapi dia digambarkan seperti watak sampingan saja.

Izinkan saya mengulangi perenggan pertama.

Reaksi penonton yang sudah menyaksikan Khurafat lebih awal membuatkan saya sangat teruja. Rata-rata memberitahu filem ini amat seram dan membuatkan penonton tidak berhenti menjerit.

Justeru, saya mempunyai harapan yang sangat tinggi dan harapan itu separuh dipenuhi.

Thursday, January 13, 2011

FASTER (2011)

Tidak selaju selalu


FILEM Faster memperlihatkan Dwayne Johnson atau The Rock menggunakan fizikalnya untuk tujuan yang lebih sesuai.


KEMBALINYA The Rock sebagai hero perkasa dalam Faster sememangnya dinanti-nantikan peminat setia.Selepas melakonkan watak-watak 'lembut' dalam filem komedi kekeluargaan seperti The Game Plan (2007) dan The Tooth Fairy (2010), bekas ahli gusti ini menggunakan semula susuk tubuhnya yang tegap untuk tujuan yang lebih sesuai.

Lima minit pertama Faster meraikan peminat filem-filem aksi. Watak utamanya dibebaskan dari penjara, berjalan merentasi gurun sebelum memandu sebuah kereta dan menembak seorang lelaki di kepala.

Walaupun babak itu stereotaip, namun ia seperti memberi harapan Faster tidak akan mengecewakan mereka.

Filem ini tertumpu kepada tiga karakter utama. Menariknya, masing-masing tidak mempunyai nama khusus dan dilabel mengikut

pekerjaan.

Karakter pertama dipanggil sebagai Driver. Watak lakonan The Rock itu memburu setiap penjahat yang membunuh abangnya dan menjadi penyebab dia merengkok dalam penjara.

Karakter kedua pula ialah Cop, detektif yang hampir bersara dan tidak disukai rakan sekerja. Dia juga mempunyai masalah dengan bekas isteri akibat ketagihan dadah.

Manakala karakter ketiga ialah Killer, seorang hartawan yang hobinya menjadi pembunuh upahan semata-mata kerana keseronokan. Berdasarkan sinopsis, penonton pasti mampu menyambungkan fungsi tiga peranan itu.

Cop ditugaskan menjejaki Driver, sementara Killer diupah oleh seorang individu misteri untuk menghapuskan Driver. Ibarat papan jigsaw, kesudahannya mungkin boleh dibayangkan, tetapi ada kejutan yang menanti.

Sebenarnya karakter Driver dan Cop sudah cukup kuat untuk menghidupkan filem ini. Walaupun kemunculan Killer berkaitan dengan kejutan di penghujung, namun karakternya seperti tidak kesampaian dan terawang-awang.

Apatah lagi apabila penulis skrip menambah sub plot iaitu konflik hubungan Killer dengan isterinya, Lily. Penambahan ini sekadar satu gangguan yang tidak memberi signifikan kepada jalan cerita.

The Rock, dengan keupayaan yang terhad dalam memberikan ekspresi wajah, masih mampu meraih simpati penonton terhadap karakternya yang teraniaya. Lakonannya berkesan sebagai protagonis yang berdendam dan memberontak, dalam masa yang sama sensitif.

Sebagai bintang senior, Billy Bob Thornton memperhalusi peranan Cop sebaiknya - antara tegas, menjengkelkan dan berjiwa rapuh.

Namun demikian, seperti mana 'lemaunya karakter Killer, begitu jugalah persembahan yang ditunjukkan Oliver-Jackson Cohen. Dia tidak lebih sekadar wajah tampan ibarat model iklan pisau cukur atau produk kecantikan lelaki.

Faster bukanlah sebuah produk yang luar biasa dan saya pasti penerbit atau pengarahnya bersetuju dengan kenyataan itu. Ia mempunyai semangat filem-filem aksi thriller era 70-an menerusi perkembangan watak, latar warna dan set serta skor muzik.

Tidak seperti judulnya, momentum filem ini tidaklah selaju atau seaktif filem-filem aksi secara lazim. Taruhan utama pengarah bukanlah pada adegan kejar-mengejar atau tembak-menembak, sebaliknya membina ketegangan menerusi elemen drama.

Tenaganya berada pada tahap sederhana dan suntingannya agak kemas, terutamanya yang membabitkan adegan imbas kembali serta gerak perlahan.

Bagaimanapun ada babak yang diulang tayang, yang pernah kita tonton berkali-kali dalam filem lain. Sebagai contoh, adegan bapa yang tidak dapat meluangkan masa dengan anak kerana kesibukan kerja. Mungkin penulis skrip malas berfikir untuk mencipta konflik yang baru.

Kembalinya The Rock sebagai hero perkasa dalam Faster sememangnya dinanti-nantikan peminat setia.

Seperti mana poster yang menampilkan dia seorang saja, filem ini menjual nama dan kemasyhurannya untuk menarik penonton ke pawagam. Walaupun ini bukan filem terunggul, peminatnya akan berpuas hati.