Thursday, March 31, 2011

SUCKER PUNCH (2011)


'Tumbukan' boleh tahan

SECARA peribadi, sukar untuk menghakimi Sucker Punch. Saya tidak meletakkannya sebagai filem yang buruk, ia juga bukanlah filem yang hebat.

Terdapat beberapa aspek yang menyerlah dan hampir cemerlang, menjadikan ia sebuah produk yang diklasifikasikan sebagai 'boleh tahan'.

Sucker Punch merupakan idea asal Zack Snyder selepas mengarahkan 300 (2006) dan Watchmen (2009). Digelar 'the visionary director', Snyder sinonim dengan visual dan kesan khas yang menakjubkan sehingga kebanyakan pengkritik di Hollywood menghentamnya kerana mengabaikan jalan cerita.

Semasa artikel ini ditulis, laman web terkenal, Rotten Tomatoes memberi 21 peratus markah undian kepada Sucker Punch. Saya kurang bersetuju.

Saya menyukai babak pembukaan. Walaupun tidak ubah seperti sebuah video muzik (menggunakan versi baru lagu popular Eurythmics, Sweet Dreams), Snyder memulakan filem ini dengan rupa dan perasaan yang tepat. Penonton diberitahu apa yang berlaku hanya melalui pergerakan, tanpa sebarang dialog.

Adegan itu menyaksikan Baby Doll yang cuba melarikan diri dari kekejaman bapa tiri selepas kematian ibunya. Kerana tersilap percaturan, dia dianggap mengalami tekanan jiwa sehingga dimasukkan di hospital mental bernama Mount Pleasant Insane Asylum.

Di pusat rawatan inilah bermulanya segala fantasi. hospital itu yang mempunyai dua wajah iaitu siang sebagai tempat rawatan, manakala malamnya beroperasi sebagai kabaret termasyhur. Pesakit seperti Baby Doll dan gadis-gadis lain ditransformasikan menjadi penghibur di bawah tunjuk ajar Madam Gorski.

Semasa berlatih menari, Baby Doll mendapat petanda bagaimana untuk melarikan diri. Empat barang yang mesti diperolehi ialah peta, api, pisau dan kunci. Dia mengajak empat pesakit lain dalam melunaskan misi itu, sekali gus membebaskan diri dari taklukan bapa ayam yang kejam bernama Blue.

Bagi saya, Sucker Punch mempunyai premis yang menarik. Saya 'membeli' idea awal mengenai survival sekumpulan wanita teraniaya yang ingin melarikan diri sehinggalah Baby Doll mula menari. Setiap kali Baby Doll menari, penonton akan ditarik masuk ke alam yang lain, tidak ubah seperti permainan video.

Alam itu mentafsirkan kepayahan Baby Doll dan rakan-rakannya dalam mendapatkan peta, api, pisau dan kunci. Mereka bertarung dengan robot, naga dan makhluk-makhluk aneh menggunakan mesin gun, bom dan pelbagai senjata. Mereka akan pulang ke dunia sub-realiti sebaik saja setiap barang berjaya dimiliki.

Saya menamakan dunia itu sebagai sub-realiti kerana filem ini mengingatkan saya kepada konsep filem Inception (2010). Apa yang disaksikan adalah lapisan-lapisan mimpi setiap watak, di mana pada penghujungnya penonton diberikan kejutan.

Kerana saya tidak terlalu mengharapkan keajaiban berlaku dalam filem bersifat bertih jagung seperti ini, saya mengakui agak terhibur.

Perkara yang penonton tidak boleh mengadu tentang filem Snyder ialah kepakaran grafiknya. Imej janaan komputer (CGI) berada dalam kelas tertinggi, dihasilkan penuh teliti dan kemas. Snyder juga terkenal dengan efek gerak perlahan yang memenuhi babak-babak pertarungan.

Kelebihan Sucker Punch juga terletak pada skor muzik dan lagu-lagu runut bunyi yang bersama menggerakkan visual. Seperti yang saya katakan awal tadi, walaupun ada masanya beberapa babak kelihatan seperti video muzik, namun stail lakon layar itu berfungsi untuk filem seperti ini.

Rasanya lakonan bukanlah perkara utama yang perlu diperdebatkan. Emily Browning sebagai Baby Doll boleh dipercayai, begitu juga dengan Jena Malone sebagai Rocket yang paling menyerlah di antara gadis-gadis lain. Barangkali kerana watak Rocket mempunyai lebih konflik, Malone mendapat lebih ruang untuk memberatkan lakonannya.

Pelakon senior seperti Carla Gugino berjaya menjadikan watak Madam Gorski sebagai ikonik, tetapi populariti Jon Hamm dari siri Mad Men (2007-2010) terasa seperti tidak digunakan. Walaupun namanya dibariskan sebagai salah seorang pelakon utama, kehadirannya tidak dirasai dan seolah penampilan istimewa saja.

Thursday, March 24, 2011

...DALAM BOTOL (2011)

‘Pembebasan’ …Dalam Botol


ADEGAN ini merupakan titik penting kepada kemusnahan sebuah jiwa.


PEMBIKINAN …Dalam Botol bermula dengan pelbagai kisah sensasi. Daripada judul kepada jalan cerita, sehinggalah pemilihan pelakon dan pengarah, ini merupakan cubaan terbaru Raja Azmi selepas sekian lama menerbitkan filem, seawal 1994 menerusi Black Widow Wajah Ayu.

Keberaniannya membawakan tema seksualiti ke layar perak mendapat bermacam-macam reaksi. Ramai yang menganggap Raja Azmi sekadar mahu mencari perhatian dan meraih publisiti dengan menjual kisah benar seorang rakan baiknya yang dirahsiakan identiti.

…Dalam Botol mengisahkan Rubidin yang sanggup melakukan pembedahan jantina kerana terlalu obses mencintai Ghaus. Malangnya, Ghaus tidak dapat menerima Rubidin yang sudah bertukar menjadi Ruby, lalu membiarkan kekasihnya itu terumbang-ambing.

Ruby yang hilang punca kembali ke kampung menunaikan amanat arwah bapanya. Di sana, dia menjalin hubungan dengan Dina, lalu membuat keputusan untuk berkahwin. Sayang sekali apa yang dialami Ruby hanyalah satu kecelaruan emosi demi tuntutan kehidupan yang dirasakan normal.

Isu tabu seperti homoseksual dan transeksual di Malaysia seringkali dijadikan barang dagangan yang murah kerana sifatnya yang kontroversi. Selama ini watak-watak sedemikian dipaparkan secara tipikal, sama ada sebagai jenaka atau pun pesalah, di mana penonton diberikan pelajaran moral pada akhir cerita.

Mujurlah naskhah …Dalam Botol terlepas ke pangkuan Khir Rahman.

Pertama kali memikul tugas sebagai pengarah, Khir berjaya membebaskan filem ini dari sifat-sifat ‘menjerit’ atau melodrama, elemen-eleman gay atau pondan keterlaluan yang memualkan - biarpun jika dilihat dari sinopsis dia mempunyai lesen untuk menjadikannya satu momen besar yang amat tragis.

Filem ini bergerak perlahan, tetapi tidak lembab. Barangkali ia mewakili perasaan Rubidin/Ruby yang serba sunyi. Khir mencipta satu babak penting pada awal filem iaitu ketika Rubidin dan Ghaus bermesraan di tepi unggun api. Dialog “kalaulah you perempuan” menjadi punca kepada segala kemusnahan.

Setiap babak yang ditulis ibarat kamera yang hanya merakam kehidupan Rubidin/Ruby dan persekitarannya, tanpa bersifat prejudis. Khir cuba menjadi pencerita yang jujur, ‘memanusiakan’ setiap karakter, terutamanya Rubidin/Ruby dan Ghaus, tanpa menjatuhkan hukuman.

…Dalam Botol adalah sebuah kisah tentang perhubungan dalam definisi yang lebih meluas, lebih dari sekadar cerita cinta sesama jenis.

Babak-babak ‘terlarang’ seperti dua lelaki berpelukan atau lelaki berseluar dalam, tidak sekuat babak-babak sekembalinya Rubidin/Ruby ke kampung.

Bapanya berang dan ibunya menuding jari memanggilnya ‘setan’, tetapi mereka tidak menolak bulat-bulat fitrah sebenar Rubidin.

Bapanya masih mewasiatkan agar jenazahnya dimandikan Rubidin sendiri dan ibunya terus berharap Rubidin menjadi seperti anak lelaki lain dengan menikahi gadis pilihannya.

Khir juga mewujudkan konflik yang tulus bahawa hubungan heteroseksual tidak selalunya sempurna menerusi watak Dina yang pernah ditinggalkan kekasih dan ibunya, Sherry yang ditinggalkan suami. Khir melihat permasalahan manusia tentang cinta adalah sama, tanpa mengira jantina.

Khir beruntung apabila kekuatan skrip didampingi lakonan hebat para pemain, terutamanya pelakon senior. Filem ini muncul dengan beberapa babak yang memberi kesan kekal; contohnya ketika Jalil Hamid sebagai bapa memarahi Rubidin/Ruby lakonan Arja Lee.

Begitu juga dengan babak perbualan di antara ibu Rubidin (Normah Damanhuri) dengan Ghaus (Wan Raja) yang disenyapkan suaranya, tetapi cukup jelas maksud. Adegan memecahkan rahsia itu membuatkan penonton berasa tidak selesa dan berdebar.

Selang beberapa minit, Khir mencipta satu lagi babak kemuncak yang amat berjaya di antara Dina (Diana Danielle) dan ibunya (Fauziah Ahmad Daud). Tanpa dialog panjang, penonton mampu membaca kesudahannya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan adegan di bilik pengantin itu merupakan salah satu ciptaan terbaik yang pernah saya tonton dalam filem Melayu.

Sebagai fokus utama penceritaan, Arja Lee sebagai Rubidin/Ruby sudah melakukan yang termampu. Watak itu sangat-sangat berat untuk ditunjangi, apatah lagi bagi seorang pelakon baru sepertinya.

Sekurang-kurangnya, Arja membuatkan penonton percaya dialah Rubidin/Ruby yang menjadi mangsa keadaan.

Saya menggemari skor muzik filem ini yang kena benar dengan setiap suasana dan rasa. Tahniah buat Saidah Rastam.

Walaupun gaya penulisan dan pengarahan Khir ada ketikanya ‘berbau’ stail U-Wei Shaari - terutamanya babak kenduri kahwin dan pengantin lari yang mengingatkan saya kepada Perempuan, Isteri dan … (1993) – itu bukanlah satu rujukan yang buruk.

Sebagai pengarah baru, Khir berjaya mendokong naskhah ini dengan cukup halus dan berhati-hati, tanpa memperlekehkan sesiapa.

Saya tidak melihat kenyataan akhir yang terpampang pada penghujung filem ini sebagai satu kenyataan anti-homoseksual.

Apa yang tertulis di situ hanyalah luahan hati Rubidin/Ruby yang kesal kerana tidak boleh berpatah balik, bukan satu kenyataan umum yang menghentam golongan ‘ketiga’.

Thursday, March 17, 2011

BATTLE: LOS ANGELES (2011)

Perang melawan klise


BATTLE: L.A merupakan sebuah lagi produk Hollywood yang bercerita tentang peperangan menentang makhluk asing.


WORLD Invasion: Battle Los Angeles (Battle L.A) bermula dengan memberitahu penonton bahawa Staff Sgt. Michael Nantz bakal berkhidmat untuk hari-hari terakhirnya sebagai pegawai marin.

Penonton kemudian dibawa mengikuti pasukannya melunaskan satu operasi tentang kejatuhan meteor di pesisir pantai di Los Angeles. Semasa misi berjalan, barulah mereka menyedari bumi cuba ditawan makhluk asing demi sumber air.

Battle L.A merupakan sebuah lagi produk Hollywood yang bercerita tentang peperangan menentang makhluk asing. Sekali imbas, inti patinya serupa seperti lambakan filem lain; sebagai contoh Independence Day (1996), War of the Worlds (2005) dan District 9 (2009).

Bagaimanapun, filem ini tiada babak Presiden Amerika yang membuat keputusan untuk melancarkan perang. Tiada juga adegan sekumpulan menteri atau saintis yang menasihati Presiden apa yang perlu dilakukan.

Fokus Battle L.A hanyalah kepada sekumpulan skuad marin dalam menewaskan makhluk asing. Apa yang berlaku sepanjang filem ini adalah dari kaca mata mereka, golongan minoriti yang cuba menewaskan penaklukan yang besar.

Justeru, sebagai naskhah perang, pengarah Jonathan Liebesman dan penulis lakon layar Christopher Bertollini meminjam semangat filem-filem askar seperti Saving Private Ryan (1998) dan Black Hawk Down (2001) sebagai 'modus operandi', terutamanya dari sudut visual dan aksi.

Apatah lagi ada yang menyifatkan pembikinan filem ini diinspirasikan dari peristiwa sebenar di Los Angeles pada tahun 1942.

Insiden yang dinamakan Battle Los Angeles atau The Great Los Angeles Air Raid itu dikatakan berhubung kait dengan kedatangan objek asing di angkasa, kurang tiga bulan selepas Amerika terlibat dalam Perang Dunia Kedua.

Filem Battle L.A menggunakan teknik kamera ala hand-held, di mana letak duduk gambarnya agak bergegar. Walaupun teknik ini tidaklah baru atau unik, ia membawa sedikit 'perasaan' terganggu kepada penonton. Ia boleh ditafsirkan sebagai gambaran kucar-kacir atau haru-birunya keadaan.

Bagaimanapun, teknik saja tidak cukup untuk melekatkan penonton di kerusi selama dua jam. Intensiti terhadap kesan khas dan imej janaan komputer (CGI) segera merudum tanpa disokong perjalanan cerita. Walaupun aksinya agak padat, namun pembinaan karakter amat klise dan tidak mendalam.

Biar saya senaraikan beberapa watak dari filem ini. Seorang pemimpin senior yang dicampakkan dalam pasukan baru sebagai hukuman akibat kegagalan misi lalu.

Seorang pegawai muda yang kurang pengalaman dan tidak betah mengawal keadaan, yang terpaksa meninggalkan isteri yang sarat mengandung.

Seorang tentera wanita cantik yang tangkas. Seorang tentera kulit hitam yang bakal berkahwin dan amat mencintai tunangnya. Tidak ketinggalan, seorang doktor wanita, lelaki Latin, dua kanak-kanak serta seekor anjing yang berjaya menyelamatkan diri dari runtuhan bangunan dan ledakan bom.

Tidakkah karakter-karakter ini seperti anda pernah 'kenal' dari filem-filem lain?

Pengarah beruntung kerana mendapat Aaron Eckhart sebagai Staff Sgt. Michael Nantz. Dalam kelemahan cerita, dia 'memandu' filem ini sebaik mungkin dan melengkapi pelakon lain. Raut wajah, gerak tubuh dan nada suara maskulinnya amat cocok untuk hero yang berjiwa rapuh dan dipinggirkan.

Manakala barisan bintang lain sekadar mengisi ruang layar dan masa tayangan, melakukan apa yang disuruh pengarah tanpa meninggalkan kesan kekal kepada penonton. Bukan salah pelakon, tetapi memang lakon layarnya ditulis sebegitu.

Battle L.A adalah sebuah filem perang standard; mengulangi adegan-adegan lazim. Antaranya, pasukan yang terperangkap dalam situasi hampir kalah mati, karakter yang terpaksa membuat pilihan atau pengorbanan dan akhirnya berjaya meloloskan diri. Penamat yang boleh dijangka dan menggembirakan.

Jika anda ke tandas pun, anda tidak akan tertinggal apa-apa, kecuali anda memang berminat untuk menyaksikan pertempuran dan kemusnahan. Penggunaan kesan khas yang terkawal dan kesan bunyi yang realistik tidak cukup untuk menyelamatkan keseluruhan filem.

Battle L.A mungkin tidak sedramatik blockbuster Hollywood yang lain. Ia lebih mendekati sifat kemanusiaan, keberanian dan harapan.

Namun, 'peperangan' Liebesman dan Bertollini untuk melawan arus klise tewas kerana filem ini tetap dilihat sebagai filem aksi biasa yang bakal dilupakan.