Thursday, December 20, 2012

THE HOBBIT: AN UNEXPECTED JOURNEY (2012)

Mudah yang dirumitkan

Thursday, December 6, 2012

LIFE OF PI (2012)

Kehidupan yang penuh takjub
Oleh Syazwan Zakariah
(syazwan_zakariah@astro.com.my)

Pada era sinema hari ini, penonton menjadi semakin cerewet dan sukar dipuaskan kerana mempunyai banyak pilihan. Seringkali filem yang memberi tumpuan kepada kesan khas ‘diperlekeh’ dan dilabel sekadar hiburan komersial tanpa kekuatan jalan cerita atau pengarahan yang baik untuk menyokongnya.

Apabila menyentuh isu kualiti, penonton malah pengkritik, cenderung memilih tema-tema berat sebagai contoh, terutama sekali filem epik atau era klasik yang dirasakan lebih ‘serius’ pembikinannya, antaranya dalam aspek lakonan.

Bagaimanapun, dunia harus berterima kasih kepada Ang Lee kerana setakat ini dia tidak pernah gagal mengimbangi tuntutan komersial dan kualiti; di antara kehendak pasaran/penonton dengan keinginan pengkritik. Melihatkan senarai arahannya, barangkali hanya Hulk (2003) yang sedikit tersasar dari jangkaan.

Nama Lee mula mengharum di seantero dunia menerusi naskhah aksi Crouching Tiger Hidden Dragon (2000) sebelum meraih trofi Pengarah Terbaik Oscar dengan Brokeback Mountain (2005). Kehebatannya diteruskan melalui drama thriller Lust, Caution (2007) dan komedi muzik Taking Woodstock (2009).

Menerusi Life of Pi, Lee memberikan sebuah adikarya yang berfungsi dalam pelbagai peringkat – ia menghiburkan, mengagumkan malah memberi kesan yang mendalam. Bermula dari babak pertama sehingga yang terakhir, penonton tahu Lee memerah segala kudratnya untuk menjadikan filem ini satu realiti.

Diadaptasi dari novel popular tulisan Yann Martel, ramai yang menyuarakan kebimbangan kerana intipatinya yang sukar diterjemah ke dalam bahasa sinematik. Bercerita mengenai kewujudan Tuhan serta unsur-unsur falsafah dan spiritual, setiap pembaca buku tentu mempunyai imaginasi yang berbeza-beza.

Filem dibuka dengan karakter utama, Piscine Molitor atau Pi (lakonan Irffan Khan) yang bercerita tentang kisah hidupnya kepada seorang penulis (Rafe Spall). Kisah itu membawa mereka mengimbas sejarah Pi sejak dilahirkan dan ketaksubannya terhadap semua agama, dari Kristian, Buddha sehinggalah Islam.

Pengembaraan Pi (watak remaja dibawakan Suraj Sharma) bermula apabila bapanya memutuskan mereka sekeluarga berpindah dari India ke Kanada. Penghijrahan itu disertai haiwan-haiwan yang tinggal di dalam zoo milik bapa Pi yang dibakal dijual untuk mereka membina kehidupan baru.

Bagaimanapun, takdir menentukan kapal mereka tenggelam dilanda ribut. Pi menjadi satu-satunya mangsa yang terselamat. Dia berjaya melepaskan diri dengan sebuah bot keselamatan yang turut ditumpangi seekor kuda belang, dubuk, orang utan dan seekor harimau yang dipanggil Richard Parker.

Pi kini terdampar di tengah-tengah lautan Pasifik di mana akhirnya tinggal dia dan Richard Parker saja yang terus berjuang untuk hidup. Naratif filem ini berulang-alik di antara Pi dewasa bercerita kepada penulis dengan imej-imej keberaniannya di atas bot untuk ‘menjadi sahabat’ kepada seekor binatang buas.

Apa yang menarik ialah Martel selaku penulis asal dan David Magee sebagai penulis lakon layar tidak cuba ‘menjadikan’ harimau itu seorang manusia. Penonton masih dapat merasakan keterbatasan dua mamalia ini untuk berkomunikasi, tetapi ada ruang bertolak ansur demi survival di tengah laut.

Life of Pi bukan sekadar sebuah cereka tentang ikhtiar manusia dan segala kepayahannya. Kewujudan Richard Parker seolah satu simbol untuk kita menilai ‘apa yang membezakan manusia dan haiwan’ atau ‘mampukah manusia bertukar menjadi haiwan’ dalam situasi-situasi genting sebegitu.

Salah satu babak yang menyentuh perasaan ialah ketika Richard Parker meninggalkannya tanpa berpaling, mengingatkan Pi tentang kehilangan ahli keluarganya tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.

Dia juga percaya obsesinya terhadap konsep agama secara universal menjadi ‘pelampung’ untuk dia terus bertahan. Dia mula memahami pesan bapanya ketika dia kecil bahawa ‘agama itu tentang kegelapan’ yang memberikan maksud tersirat yakni menerusi kepercayaan, segala ujian hitam mampu ditempuh.

Kejayaan terbesar Lee ialah menjadikan bukunya yang berat kepada sebuah filem yang mudah dihadam sesiapa saja. Menerusi bantuan kesan khas, segala imaginasi dapat dilunaskan, bukan saja dengan baik, malah sangat cemerlang.

Sinematografer Claudio Miranda menangkap syot-syot yang menakjubkan, disokong kerja grafik yang paling baik untuk mana-mana filem tahun ini. Life of Pi mempunyai harapan cerah untuk menang Oscar dalam aspek kesan khas, malah berdasarkan kapasiti itu, mungkin tercalon untuk kategori Filem Terbaik.

Visi yang Lee ciptakan iaitu integrasi di antara lautan, seorang budak dan harimau, amat luar biasa. Penonton benar-benar percaya dan yakin dengan ‘lakonan’ Richard Parker, malah hembusan nafasnya, raut muka dan sosok tubuhnya kelihatan sangat bernyawa, walhal ia hanyalah satu ilusi kesan khas.

Pengalaman menonton filem ini barangkali mengingatkan kita kepada Cast Away (Robert Zemeckis, 2000). Penonton boleh terpaku di kerusi hampir dua jam dengan hanya menyaksikan seorang lelaki dan sebiji bola terdampar di pulau.

Namun, bonus yang diberikan Lee dalam Life of Pi ialah visual yang sangat cantik (lebih menarik jika ditonton dalam versi 3D kerana kehalusan buatannya), setanding mood sains fiksyen Avatar (2009) dan Hugo (2011).

Sebagai pelakon baru, Sharma dilihat sedaya upaya menghidupkan watak Pi, mengingatkan saya kepada persembahan pengenalan yang hebat dari pelakon seusianya seperti Rudy Youngblood (Apocalypto, 2006) dan Dev Patel (Slumdog Millionaire, 2008). Impresif, tetapi sayangnya bukan pilihan anugerah.

Sementara itu, Khan (The Namesake, 2006) walaupun hanya muncul beberapa babak sebagai Pi dewasa memberikan persembahan yang dinamik. Melalui penceritaannya, kita dapat merasai pengembaraan Pi. Dia bercerita bukan saja menerusi dialog, tetapi mimik wajah dan mata yang bercahaya.

Barangkali, penamat filem ini menimbulkan keraguan jika apa yang diceritakan Pi itu benar belaka atau sekadar rekaannya. Apa pun, sebagai pengarah, Lee sama sekali tidak mengecewakan, malah terus disanjung sebagai pengarah paling fleksibel dalam menangani sebarang genre.

Thursday, November 29, 2012

THE PERKS OF BEING A WALLFLOWER (2012)

Pahit tetapi jujur
Oleh Syazwan Zakariah syazwan_zakariah@astro.com.my

JANGAN terpedaya dengan treler filem ini. Ia kelihatan sangat 'menyeronokkan' dan penuh dengan warna ceria. Sekali imbas, sedutan itu memberi gambaran The Perks of Being a Wallflower hanyalah satu lagi karya tipikal tentang transisi remaja ke fasa dewasa, mengenai alam persekolahan dan dunia selepasnya. Anda silap kerana filem ini lebih dari itu. The Perks of Being a Wallflower ditulis dan diarahkan Stephen Chbosky yang juga penulis novelnya. Dia bertuah kerana mendapat kepercayaan untuk mengalihkan naskhah ini dari kertas ke layar perak mengikut visi yang dimilikinya sejak awal lagi. Bukan semua pengkarya berpeluang melakukannya. Naskhah ini mengisahkan seorang pelajar bernama Charlie yang tidak dipedulikan kewujudannya. Pemalu, rendah diri, ulat buku dan membosankan, dia sebenarnya sedang melawan masa silamnya yang amat menakutkan. Rakan baiknya mati membunuh diri. Ibu saudaranya pula meninggal dunia pada hari ulang tahunnya yang ketujuh dan dia rasa berdosa atas kematian itu - hal ini terjawab pada penghujung cerita. Tragedi-tragedi itu menyebabkan dia mengasingkan diri, bukan saja dengan komuniti malah keluarganya sendiri. Charlie 'mengubat lukanya' dengan menulis jurnal, mendedikasikan tulisan-tulisannya ibarat sepucuk surat kepada seorang sahabat. Dia meluahkan segala yang terpendam seperti bercerita kepada seseorang yang tidak dikenali. Suatu hari, Charlie memberanikan diri untuk menyapa seorang pelajar senior, Patrick yang sekelas dengannya. Charlie berasa selesa kerana Patrick menerima kehadirannya dengan tangan terbuka walaupun perangai mereka berlainan. Patrick mempunyai adik tiri bernama Sam dan mereka bertiga menjadi akrab. Persahabatan itu membuka jalan untuk Charlie mengenal rakan-rakan lain. Dia mula mendengar lagu-lagu terkini kegilaan remaja, berparti serta menjadi penonton setia The Rocky Horror Picture Show. Matanya lebih 'terbuka' melihat dunia, dapat merasai kucupan pertama, juga merasa keliru jika sayang itu cinta. Kerana Chbosky memahami karakter-karakter ciptaannya secara psikologi mahupun fizikal, dia berupaya mengarahkan setiap pelakon untuk menjadi dan merasai seperti apa yang dia bayangkan. Chbosky menghasilkan interaksi yang sangat tulen, yang mampu menimbulkan empati kita kepada setiap karakter. Filem ini tidak hanya tertumpu kepada Charlie, meskipun dia plot penting. Penonton turut belajar tentang 'penderitaan' Patrick yang tersembunyi di sebalik sifat periangnya. Juga tekanan Sam untuk mendapat keputusan cemerlang, sekali gus membersihkan reputasinya yang dulu dianggap gadis murahan. The Perks of Being a Wallflower meneroka emosi remaja-remaja ini dalam kekeliruan untuk menjadi 'seseorang' - satu perasaan yang kita semua pernah rasai. Biarpun masing-masing datang dari latar yang gelap, tersiksa dan rapuh namun mereka masih berharap agar segalanya baik-baik belaka kelak. Ini tidak bermaksud filem ini mempunyai nuansa yang murung sepanjang masa. Chbosky tahu untuk mengimbangi di antara komedi dan babak-babak yang membuatkan penonton tersenyum; tetapi dalam sekelip mata mampu terhenyak dengan emosi apabila sejarah karakter utama terbongkar satu demi satu. Chbosky tidak memperlekehkan kematangan penonton untuk mengerti apa yang dirasai Charlie. Dia juga tidak memberikan satu penamat yang pasti, sebaliknya realiti di antara sayu dan gembira. Menggunakan lagu Heroes dari David Bowie sebagai penutup memberi signifikan yang jelas tentang transformasi Charlie. Memainkan peranan Charlie adalah satu kerja yang rumit tetapi ditangani cemerlang oleh Logan Lerman (Percy Jackson & The Olympians: The Lightning Thief, 2010). Kita tidak melihat Lerman sebaliknya percaya dia adalah Charlie. Setiap tutur kata dan tingkah lakunya telus malah sepuluh minit terakhir membuktikan persembahannya bertaraf anugerah. Emma Watson pastinya menjadi tumpuan kerana ini merupakan filem terbesarnya selepas francais Harry Potter (2001-2011) berakhir. Dia memiliki segala yang diperlukan untuk watak Sam - bijak, cantik, cergas dan 'playful' tetapi masih sensitif. Sesekali apabila Watson terbawa-bawa loghat British (watak Sam ialah gadis Amerika), kita akan teringatkan Hermione Granger. Namun perasaan itu segera hilang menyaksikan keserasian wataknya bersama Charlie dan Patrick lakonan Ezra Miller. Miller (We Need To Talk About Kevin, 2011) mencuri perhatian penonton dalam setiap babak yang membabitkannya. Dia adalah 'pak lawak' tetapi dia juga mampu membuatkan kita tersentuh pada babak tertentu. Biarpun gambaran wataknya sebagai homoseksual agak stereotaip tetapi dia tidak menjengkelkan. The Perks of Being a Wallflower mempunyai kumpulan pemain yang baik biarpun mereka sekadar pelakon pembantu dan tambahan. Misalnya, Paul Rudd sebagai cikgu bernama Mr. Anderson. Walaupun kemunculannya hanya dalam beberapa babak tetapi penting dalam penceritaan dan meninggalkan kesan. Selain lakon layar yang kemas dan persembahan lakonan yang mengagumkan, skor muzik Michael Brook (Into The Wild, 2007) menyumbang kepada kekuatan filem ini. Alunan muziknya sepadan dengan 'gema' babak yang ditampilkan. Pemilihan lagu-lagu runut bunyi juga yang dilakukan penyelia muzik Alexandra Patsavas (The Twilight Saga, 2008-2012) sangat bersesuaian dengan era latar 1990-an, menjadi simbol dan refleksi kepada selera remaja ketika itu. The Perks of Being a Wallflower adalah filem tentang tumbesaran remaja tetapi olahannya tidak tipikal seperti kebanyakan yang lain, misalnya francais American Pie (1999-2012). Filem ini sangat jujur sehingga kita akan mengangguk tanda mengakui kebenarannya, walaupun pahit.