Thursday, February 21, 2013

FLIGHT (2012)

'Penerbangan' emosi dan psikologi


Keselamatan penumpang terletak di tangan Whip Whitaker.
FLIGHT 'berlepas' dengan babak pembukaan yang cukup mendebarkan. Tiga puluh minit pertamanya membuatkan penonton sesak nafas, membayangkan jika kita sendiri berada dalam situasi cemas lagi menakutkan itu.
Denzel Washington memainkan peranan juruterbang bernama Whip Whitaker yang harus menyelamatkan penumpang dari nahas kapal terbang terhempas.
John Gatins selaku penulis lakon layar bersama pengarah Robert Zemeckis (Forrest Gump, 1994) memperincikan setiap detik, lengkap dengan terma-terma penerbangan, membuatkan penonton bingung dan tidak senang duduk.
Kerja kamera yang bergegar membayangkan kapal terbang berada dalam keadaan terumbang-ambing dan sedang menjunam ke tanah. Bagasi berterbangan, penumpang berteriak dan anak-anak kapal sendiri panik.
Whitaker mengambil risiko untuk menterbalikkan kapal terbang dalam pusingan 360 darjah sebelum mendarat di sebuah padang.
Babak ini antara yang paling mengujakan dan mampu menjadi antara adegan paling ikonik di Hollywood.
Enam terbunuh termasuk dua pramugari, manakala yang lain selamat walaupun mengalami kecederaan. Whitaker dimasukkan ke hospital untuk rawatan, namun sedikit malang buat pembantunya yang koma dan patah anggota badan.
Sebaik saja babak kapal terbang terhempas selesai, mood filem ini serta-merta berubah. Ia bukan lagi sebuah filem aksi atau thriller seperti yang anda bayangkan berdasarkan treler.
Sebaliknya, Flight ialah sebuah drama gelap yang menganalisa karakter Whitaker sebagai kaki mabuk dan penagih. Laporan kesihatan mendapati sistem badannya menampung jumlah alkohol dan kokain dalam kuantiti yang besar.
Dia boleh dihukum penjara seumur hidup sekiranya tahap toksik di dalam badan menjadi punca kecuaian dan tragedi. Siasatan demi siasatan dijalankan dan Whitaker harus menerima hakikat bahawa dia seorang yang membahayakan.
Filem ini mengingatkan saya kepada filem terawal arahan Zemeckis, Cast Away (2000). Ia bermula dengan 'nada' yang besar, huru-hara dan mengejutkan, tetapi perlahan-lahan bertukar mood menjadi sebuah drama psikologi yang cuba mendalami dan memahami perasaan watak utama.
Flight mendekati kisah seorang lelaki yang tidak mampu menahan ketagihannya, yang menghantui hidupnya bertahun-tahun lamanya.
Rumah tangganya juga berantakan kerana kelakuan itu. Latar belakang Whitaker membuatkan penonton berada dalam dilema, sama ada mahu menyebelahi atau membenci.
Selama mana dia ingin menjadi pemabuk dan menafikan dia penyebab kapal terbang hampir terhempas? Walau mungkin insiden itu disebabkan faktor teknikal, sanggupkah dia selamanya meletakkan nyawa para penumpang dalam risiko di atas ketagihannya?
Gatins berjaya menulis skrip yang dinamik dengan naratif yang bermain dengan konfrantasi dalaman. Penonton turut terlibat dalam krisis dan perjuangan mental Whitaker, menjadikan filem ini seakan perhubungan dua hala.
Selepas sekian lama menumpukan projek filem-filem animasi, antaranya The Polar Expres (2004) dan A Christmas Carol (2009), Zemeckis menghasilkan semula filem yang melibatkan manusia sebenar sebagai pelakon.
Kembalinya Zemeckis tidak mengecewakan. Stail pengarahannya tetap kemas dan efisien, meskipun jalan cerita ini, jika silap ditangani, mempunyai kecenderungan untuk membuatkan penonton bosan.
Dia membuat keputusan yang tepat apabila meletakkan Washington sebagai peneraju. Setiap pergerakan, tutur kata dan mimik mukanya adalah Whitaker dan sangat meyakinkan.
Pembangunan watak Whitaker dikendalikan Washington dengan baik.
Ada masanya penonton bermohon agar dia cepat dihukum kerana degil untuk berubah, tetapi ada masanya penonton bersimpati melihat linangan air matanya dan berharap dia diberikan peluang.
Lingkungan emosinya bertukar-tukar, di antara sifat seorang duda pemabuk yang sentiasa gembira dengan lelaki yang kesedihan kerana sedar diri tidak berguna.
Selayaknya Washington menerima pencalonan Oscar yang keenam menerusi filem ini, selepas kali terakhir menang Aktor Terbaik dalam Training Day (2002).
Melengkapi persembahannya ialah Don Cheadle sebagai peguam yang cuba menyelamatkan Whitaker, juga kemunculan John Goodman yang komikal walaupun hanya dalam dua babak.
Goodman memberi 'kelegaan' sebentar kepada susur cerita yang menekan, meletakkan dia sebagai seorang aktor yang boleh diharapkan untuk watak yang kelihatan tidak penting, tetapi perlu.
Bagaimanapun, terdapat babak atau subplot yang saya rasakan agak longgar.
Saya tidak begitu percaya bagaimana seorang juruterbang dengan 20 tahun pengalaman boleh tertarik dan dapat mencari persamaan dengan seorang penagih wanita yang tidak mempunyai kehidupan stabil.
Saya tidak pasti jika peranan Nicole itu yang agak mendatar atau lakonan Kelly Reilly yang membosankan. Keserasiannya dengan Washington kurang menjadi, membuatkan saya tidak begitu peduli dengan nasib Nicole berbanding Whitaker.
Saya sukakan penamat filem ini. Walaupun menepati jangkaan, ia sangat tulus dan menampilkan kebenaran selama mana seseorang itu mampu berbohong kepada diri sendiri.

Thursday, February 14, 2013

HUSIN, MON DAN JIN PAKAI TONCIT (2013)

Kak Limah 'sengat' Husin

BARANGKALI Mamat Khalid sendiri tidak percaya Hantu Kak Limah Balik Rumah mampu mencatat kejayaan besar pada 2010 sehingga kutipan pawagam mencecah RM8 juta. Merupakan filem kedua dari trilogi Kampung Pisang, filem pertamanya, Zombi Kampung Pisang (2007) hanya memungut RM2.4 juta.
Kutipan box-office itu menterjemahkan keseronokan khalayak terhadap Hantu Kak Limah. Dialog-dialognya menjadi ikutan; gerak laku dan bahasa tubuh watak-wataknya, terutama Usop Wilcha menjadi ajukan; malah filem itu juga menggerakkan ramai penerbit dan pengarah membikin naskhah komedi seram.
Barangkali kerana tidak begitu tertekan untuk menyaingi filem terdahulu, Mamat dapat menghasilkan Hantu Kak Limah dengan begitu relaks, babak demi babak tersusun cantik, serta jenakanya yang jujur dan tepat pada sasaran. Mamat sangat bernasib baik pada masa itu.
Sudah pasti apabila filem ketiganya, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit hendak dibikin, Mamat meletakkan harapan dan jangkaan yang lebih tinggi. Apatah lagi penonton. Mereka tidak sabar-sabar untuk mengikuti semula telatah masyarakat Kampung Pisang yang penuh semangat ingin tahu, gelabah dan cepat melatah.
Husin (lakonan Awie) pulang ke kampung dengan menaiki teksi sapu, tidak lagi bermotor besar seperti dulu. Dia berhasrat menetap terus di Kampung Pisang selepas hilang pekerjaan di Singapura akibat muflis ditipu skim cepat kaya.
Kepulangan Husin bukan saja disambut para pengunjung tetap warung Pak Jabit serta rakan-rakan, malah kekasih lamanya, Mon (Ezlynn) juga muncul semula.
Suatu hari, Husin hilang dari kampung dan tidak dapat dikesan. Kehadiran Dr. Samsudin (Rashidi Ishak) yang menawarkan bantuan menimbulkan misteri.
Sebagai pencerita, Mamat sememangnya sinonim dengan humor yang merapu, tetapi meninggalkan kesan. Perbualan-perbualan yang direka selalunya ringkas, bukan saja boleh mencetuskan ketawa serta-merta, malah dialog-dialog itu mampu diingati penonton untuk jangka masa yang agak lama.
Begitupun, nikmat untuk gelak berterusan seperti menyaksikan Hantu Kak Limah tidak dirasai. Penonton masih boleh terhibur, tetapi sekejap-sekejap.
Mamat seolah tidak dapat mencari 'punch line' yang benar-benar menyengat serta tempo komik yang tepat; menyukarkan Husin, Mon dan Jin untuk memiliki momen-momen yang bersifat malar segar.
Jangan salah faham, saya tidak bermaksud ingin menonton satu lagi filem Hantu Kak Limah atau meminta Mamat mengulang jenaka yang sama. Tetapi, Husin, Mon dan Jin tidak selancar dulu dan kurang 'mengenggam'.
Husin, Mon dan Jin cuba membawa penonton ke arah penceritaan yang lebih gelap. Jika Zombi dulu ialah kisah orang-orang kampung yang sebenarnya terkena toksik, dan Kak Limah sebenarnya bukan hantu tetapi wanita berusia yang kurang sihat, filem ketiga ini pula memang kisah makhluk dari alam lain.
Bagi pengikut sejati Mamat serta pengkaji filem, karya-karyanya sering dikaitkan dengan aspek sosio-budaya, termasuk perihal politik, secara halus. Ini tidak salah, malah ia adalah sebahagian dari pemikiran Mamat sendiri, baik untuk menghantar pesan, ataupun semata-mata sebagai sindiran.
Namun, seperti yang ditawarkan dalam Hantu Kak Limah, Mamat seharusnya memberi pilihan yang sama menerusi Husin, Mon dan Jin. Penonton, dalam erti kata lain golongan massa, berhak menentukan sama ada mahu gelak kosong, atau cuba memahami lapis-lapis tersirat, atau kedua-duanya sekali.
Tanpa membaca semiotik (teori pemberian simbol, tanda atau metafora) yang dicipta Mamat, penceritaan filem ini agak kabur. Motif Ayu menyamar sebagai Mon tidak dijelaskan sehingga ke akhir cerita. Begitu juga sebab mengapa Ayu/Mon yang juga kuasa jahat berebut dengan Jin untuk memiliki Husin.
Benar, Mamat ada menceritakan sejarah Kampung Pisang yang pernah membuat perjanjian syaitan, namun mengapa Jin itu hanya mengidamkan anak teruna? Dan mengapa hanya Husin, secara khususnya menjadi idaman? Adakah Husin teruna terakhir yang wujud di Kampung Pisang? Persoalan ini tiada jawapan.
Awie mengekalkan konsistensi lakonannya untuk watak Husin, begitu juga dengan watak pembantu yang sangat ikonik seperti Pak Abu (Zami Ismail), Pak Jabit (Man Kadir) dan Usop Wilcha (Shy8). Interaksi sesama watak ini cukup serasi, malah dirasakan lebih kuat berbanding dua filem sebelumnya.
Watak-watak tambahan seperti Wan Kaswi (Azwan Annuar) dan pemandu van ambulan, Zulfekar (Zainuri Misfar) dulunya dianggap 'secukup rasa' dan sekadar penambah perisa.
Kini, apabila mereka diberikan lebih masa tayangan dan dialog, mereka seolah tidak mampu menggalasnya - menjadikan lakonan mereka yang sememangnya kaku sejak awal tidak lagi boleh dihadam.
Menyentuh tentang kesan khas, saya tidak pasti jika Mamat sengaja mencipta imej-imej makhluk itu dengan sedikit sentuhan kartun atau kelemahan jabatan grafik. Namun demikian, rupa dan perasaan yang ditampilkan bersesuaian dengan sifat filem ini yang tidak masuk akal seperti Mamat bayangkan.
Tiada yang mengejutkan dalam lakonan Ezlynn. Adegan duet Mon bersama Husin menerusi lagu Lamunan Terhenti juga gagal menyaingi, atau setidak-tidaknya menjadi adegan kenangan, seperti mana dendangan Cinta Kristal dari Husin kepada Cik Nin dalam Hantu Kak Limah.
Inilah risikonya apabila filem prekuel mencatat sukses yang besar. Perbandingan tidak boleh dielakkan.
Begitupun, dengan lengkapnya trilogi ini, roh serta semangat Kampung Pisang akan terus dikenang sebagai karya yang mengingatkan Melayu tentang asal-usulnya, seperti mana komedi-komedi lama dari A.R Badul atau filem kelakar seram klasik, antara lain Setinggan (1981) dan Toyol (1981). Syabas Mamat.

Thursday, January 24, 2013

THE IMPOSSIBLE (2012)

'Diskriminasi' keajaiban

THE Impossible merupakan adaptasi kisah benar pengalaman sebuah keluarga yang berasal dari Sepanyol. Untuk sebab yang saya kurang pasti mengapa (pemasaran barangkali), keluarga Belon ditukarkan nama menjadi keluarga Bennett yang berasal dari Britain tetapi bermastautin di Jepun.
Mereka merupakan mangsa yang terselamat dari Tsunami, bencana alam yang paling menggerunkan pada 26 Disember 2004.
Mereka ialah Henry (lakonan Ewan McGregor), seorang ahli perniagaan; isterinya Maria (Naomi Watts), seorang doktor dan tiga anak mereka, Lucas (Tom Holland); Thomas (Samuel Joslin) dan Simon (Oaklee Pendergast).
Mereka tiba di sebuah resort di Khao Lak, Thailand sehari sebelum Krismas. Sebaik saja tsunami melanda, penonton menyaksikan pergelutan Maria dan Lucas melawan arus deras, bertarung nyawa untuk terus berada di permukaan ombak besar.
Apabila air surut, Lucas bersama Maria yang cedera teruk di kaki harus meneruskan ikhtiar hidup tanpa mengetahui nasib Henry, Thomas dan Simon. Lucas harus menjadi lebih matang dari usia sebenar - untuk menjaga ibunya dan untuk menentukan apa yang harus dilakukan selepas bencana berlaku.
Mustahil untuk pengarahnya, Juan Antonio Bayona (yang berasal dari Sepanyol) memuatkan segala kemusnahan, kehilangan dan ketakutan yang berlaku akibat tsunami. Skopnya terlalu besar dan ribuan manusia di Thailand, tidak termasuk di Indonesia, Malaysia, India dan Myanmar yang menjadi korban.
Justeru, apa yang dilakukan Bayona dan penulis skrip Sergio G. Sanchez ialah memberi tumpuan kepada satu keluarga saja.
Ini bukan kali pertama kisah tsunami difilemkan, antaranya siri televisyen HBO, Tsunami: The Aftermath (2006) dan Hereafter arahan Clint Eastwood (2010).
Setiap satu mempunyai misi dan fokus yang berbeza agar penceritaan lebih efektif dan mendalam, tetapi masih mewakili perasaan yang serupa, yakni perasaan universal manusia dalam mengharungi dan mendepani kecelakaan itu.
Mujurlah apa yang dipaparkan dalam The Impossible tidak seperti filem-filem kemusnahan yang lain, sebagai contoh The Day After Tomorrow (2009) dan 2012 (2009); yang dilihat sebagai produk blokbuster yang melebih-lebihkan kesan khas semata-mata untuk hiburan berbanding emosi dan jalan cerita.
Sepuluh minit selepas The Impossible bermula, penonton berasa resah dan tidak selesa dengan visual bencana yang dipaparkan. Kerja kamera Oscar Faura dengan tona kuning kejinggaan, terutamanya babak Maria dan Lucas di dalam air membuatkan penonton sendiri 'lemas', dibantu skor muzik yang berpadanan.
Pengarahan Bayona ringkas dan lurus, menampilkan babak demi babak dengan tersusun walaupun secara jelasnya penonton dapat mengagak kesemua ahli keluarga Bennett bakal bersatu semula kerana ini kisah benar. Cuma cara bagaimana mereka bertemu didramatikkan oleh Bayona dalam gaya Hollywood.
Pengarah yang pernah menghasilkan The Orphanage (2007) ini bertuah kerana berupaya menggilap bakat cemerlang Holland. Watak Lucas 'menerajui' hampir keseluruhan filem dengan persembahan yang terkawal, matang dan tidak dibayangi pelakon dewasa seperti Watts dan McGregor.
Watts yang dicalonkan dalam anugerah Golden Globe dan Oscar untuk filem ini, membuktikan dia antara pelakon terbaik dari generasinya. Saya masih terkilan namanya tidak tersenarai menerusi King Kong (2005) - kerana banyak berlakon bersendirian di skrin hijau - akhirnya terbalas dengan pencalonan tahun ini.
Jeritannya ketika berpaut di pokok kelapa dalam arus deras, serta raungannya ketika diheret dalam lumpur akibat kaki yang tidak mampu lagi berjalan, menjadi antara babak yang menghantui.
Walaupun di pertengahan ke penghujung filem dia hanya terlantar di atas katil, raut wajahnya yang pucat lesu begitu meyakinkan. Watts hebat menterjemah penderitaan dan trauma yang dialami hanya melalui ekspresi.
Bagaimanapun, saya mempunyai sedikit masalah dengan The Impossible.
Benar, filem ini adalah kisah keluarga Bennett dan sememangnya mereka menjadi fokus utama. Namun, apa yang meresahkan saya ialah 'kejahilan' pihak produksi yang seolah menyifatkan tragedi tsunami hanya dialami pelancong berkulit putih. Sejak awal lagi, penduduk tempatan hanya menjadi subjek latar.
Orang Thailand hanya dipaparkan sebagai pelayan tetamu di resort, kemudian sebagai orang kampung yang memberi bantuan, pekerja-pekerja hospital, pemandu trak dan lori, serta anak-anak kecil yang kehilangan keluarga.
Selaku orang Asia, saya sedikit tersinggung dengan pendekatan yang seolah 'mendiskriminasi'. Semasa babak di hospital, hampir kesemua pesakit adalah orang berkulit putih. Babak ketika Maria dan Lucas dalam perjalanan ke hospital, yang ditunjukkan terdampar di tepi-tepi jalan juga orang berkulit putih saja.
Ketika Henry mahu mengecam mayat-mayat bergelimpangan dalam usaha menjejaki keluarganya, yang ditunjukkan juga hanyalah mangsa berkulit putih. Bayona dan Sanchez seharusnya teliti dan sensitif dalam hal-hal sebegini kerana jumlah orang tempatan yang terlibat pastinya jauh lebih ramai dari pelancong.
Penamat filem ini, ya, tidak dinafikan menyentuh perasaan. Mereka sekeluarga diterbangkan pulang dengan pesawat khas dan Maria bakal dirawat terlebih dulu di sebuah hospital di Singapura. Namun, melihatnya dari perspektif yang lain, saya berasa simpati dengan mangsa tsunami yang tidak sebertuah mereka.
The Impossible adalah filem yang ingin memaparkan semangat insani dan 'keajaiban' yang diterima keluarga Bennett. Selebihnya, mereka hanyalah golongan berpendapatan tinggi yang mana percutian mereka 'terganggu', berbanding orang tempatan yang menetap di situ dan kehilangan segalanya