Thursday, March 24, 2011

...DALAM BOTOL (2011)

‘Pembebasan’ …Dalam Botol


ADEGAN ini merupakan titik penting kepada kemusnahan sebuah jiwa.


PEMBIKINAN …Dalam Botol bermula dengan pelbagai kisah sensasi. Daripada judul kepada jalan cerita, sehinggalah pemilihan pelakon dan pengarah, ini merupakan cubaan terbaru Raja Azmi selepas sekian lama menerbitkan filem, seawal 1994 menerusi Black Widow Wajah Ayu.

Keberaniannya membawakan tema seksualiti ke layar perak mendapat bermacam-macam reaksi. Ramai yang menganggap Raja Azmi sekadar mahu mencari perhatian dan meraih publisiti dengan menjual kisah benar seorang rakan baiknya yang dirahsiakan identiti.

…Dalam Botol mengisahkan Rubidin yang sanggup melakukan pembedahan jantina kerana terlalu obses mencintai Ghaus. Malangnya, Ghaus tidak dapat menerima Rubidin yang sudah bertukar menjadi Ruby, lalu membiarkan kekasihnya itu terumbang-ambing.

Ruby yang hilang punca kembali ke kampung menunaikan amanat arwah bapanya. Di sana, dia menjalin hubungan dengan Dina, lalu membuat keputusan untuk berkahwin. Sayang sekali apa yang dialami Ruby hanyalah satu kecelaruan emosi demi tuntutan kehidupan yang dirasakan normal.

Isu tabu seperti homoseksual dan transeksual di Malaysia seringkali dijadikan barang dagangan yang murah kerana sifatnya yang kontroversi. Selama ini watak-watak sedemikian dipaparkan secara tipikal, sama ada sebagai jenaka atau pun pesalah, di mana penonton diberikan pelajaran moral pada akhir cerita.

Mujurlah naskhah …Dalam Botol terlepas ke pangkuan Khir Rahman.

Pertama kali memikul tugas sebagai pengarah, Khir berjaya membebaskan filem ini dari sifat-sifat ‘menjerit’ atau melodrama, elemen-eleman gay atau pondan keterlaluan yang memualkan - biarpun jika dilihat dari sinopsis dia mempunyai lesen untuk menjadikannya satu momen besar yang amat tragis.

Filem ini bergerak perlahan, tetapi tidak lembab. Barangkali ia mewakili perasaan Rubidin/Ruby yang serba sunyi. Khir mencipta satu babak penting pada awal filem iaitu ketika Rubidin dan Ghaus bermesraan di tepi unggun api. Dialog “kalaulah you perempuan” menjadi punca kepada segala kemusnahan.

Setiap babak yang ditulis ibarat kamera yang hanya merakam kehidupan Rubidin/Ruby dan persekitarannya, tanpa bersifat prejudis. Khir cuba menjadi pencerita yang jujur, ‘memanusiakan’ setiap karakter, terutamanya Rubidin/Ruby dan Ghaus, tanpa menjatuhkan hukuman.

…Dalam Botol adalah sebuah kisah tentang perhubungan dalam definisi yang lebih meluas, lebih dari sekadar cerita cinta sesama jenis.

Babak-babak ‘terlarang’ seperti dua lelaki berpelukan atau lelaki berseluar dalam, tidak sekuat babak-babak sekembalinya Rubidin/Ruby ke kampung.

Bapanya berang dan ibunya menuding jari memanggilnya ‘setan’, tetapi mereka tidak menolak bulat-bulat fitrah sebenar Rubidin.

Bapanya masih mewasiatkan agar jenazahnya dimandikan Rubidin sendiri dan ibunya terus berharap Rubidin menjadi seperti anak lelaki lain dengan menikahi gadis pilihannya.

Khir juga mewujudkan konflik yang tulus bahawa hubungan heteroseksual tidak selalunya sempurna menerusi watak Dina yang pernah ditinggalkan kekasih dan ibunya, Sherry yang ditinggalkan suami. Khir melihat permasalahan manusia tentang cinta adalah sama, tanpa mengira jantina.

Khir beruntung apabila kekuatan skrip didampingi lakonan hebat para pemain, terutamanya pelakon senior. Filem ini muncul dengan beberapa babak yang memberi kesan kekal; contohnya ketika Jalil Hamid sebagai bapa memarahi Rubidin/Ruby lakonan Arja Lee.

Begitu juga dengan babak perbualan di antara ibu Rubidin (Normah Damanhuri) dengan Ghaus (Wan Raja) yang disenyapkan suaranya, tetapi cukup jelas maksud. Adegan memecahkan rahsia itu membuatkan penonton berasa tidak selesa dan berdebar.

Selang beberapa minit, Khir mencipta satu lagi babak kemuncak yang amat berjaya di antara Dina (Diana Danielle) dan ibunya (Fauziah Ahmad Daud). Tanpa dialog panjang, penonton mampu membaca kesudahannya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan adegan di bilik pengantin itu merupakan salah satu ciptaan terbaik yang pernah saya tonton dalam filem Melayu.

Sebagai fokus utama penceritaan, Arja Lee sebagai Rubidin/Ruby sudah melakukan yang termampu. Watak itu sangat-sangat berat untuk ditunjangi, apatah lagi bagi seorang pelakon baru sepertinya.

Sekurang-kurangnya, Arja membuatkan penonton percaya dialah Rubidin/Ruby yang menjadi mangsa keadaan.

Saya menggemari skor muzik filem ini yang kena benar dengan setiap suasana dan rasa. Tahniah buat Saidah Rastam.

Walaupun gaya penulisan dan pengarahan Khir ada ketikanya ‘berbau’ stail U-Wei Shaari - terutamanya babak kenduri kahwin dan pengantin lari yang mengingatkan saya kepada Perempuan, Isteri dan … (1993) – itu bukanlah satu rujukan yang buruk.

Sebagai pengarah baru, Khir berjaya mendokong naskhah ini dengan cukup halus dan berhati-hati, tanpa memperlekehkan sesiapa.

Saya tidak melihat kenyataan akhir yang terpampang pada penghujung filem ini sebagai satu kenyataan anti-homoseksual.

Apa yang tertulis di situ hanyalah luahan hati Rubidin/Ruby yang kesal kerana tidak boleh berpatah balik, bukan satu kenyataan umum yang menghentam golongan ‘ketiga’.

No comments: