Tuesday, July 3, 2012

AKU KAU DAN DIA (2012)


Terlebih melankolik

AKU, Kau & Dia merupakan filem ketujuh arahan Pierre Andre. Dia memulakan kerjaya sebagai pengarah dengan filem komedi romantik iaitu 9 September (2007) dan yang terakhir dimainkan di layar perak juga genre yang serupa iaitu Chantek (2012). Ini cubaan pertama Pierre menghasilkan filem drama cinta.

Dengan skrip tulisan Delynne Hashim, Aku, Kau & Dia mengisahkan Mia, seorang gadis yang trauma selepas melihat tunangnya, Ilhan meninggal dunia dilanggar kereta di depan matanya sendiri. Kesedihannya itu terbawa-bawa sehingga suatu hari, dia sendiri kemalangan dan koma selama dua minggu.

Sebelum kemalangan berlaku, Mia berlanggar bahu dengan seorang pemuzik jalanan bernama Izlan. Lelaki itu kemudiannya berusaha mencari Mia untuk memulangkan rantainya yang tertinggal. Bermulalah bibit-bibit cinta di antara mereka namun Mia masih keliru dan enggan melupakan pemergian Ilhan.

Filem ini dibuka dengan mood suram di mana Mia mengasingkan dirinya. Kerja kamera dan tona warna mengingatkan saya kepada filem Indonesia, Tentang Dia (arahan Rudy Soedjarwo, 2005) yang mempunyai perasaan hampir serupa, tentang gadis yang murung akibat kehilangan cinta.

Aku, Kau & Dia bermula dengan baik pada 15 minit pertama. Penulis dan pengarah menjelaskan apa yang penonton patut tahu dalam beberapa babak imbas kembali dengan suntingan yang kemas. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, filem ini menjadi sebuah video muzik.

Pierre seakan meminta penonton 'berehat' seketika dengan melihat syot-syot yang cantik dan menghayati lagu yang mendayu-dayu. Bukan tidak boleh tetapi hal ini berlaku terlalu awal dan mematikan sedikit mood tontonan.

Apa yang dipaparkan pada permulaan filem adalah sesuatu yang boleh dipercayai tetapi sebaik saja Mia dan Izlan keluar untuk janji temu pertama, naskhah ini mula menjadi sebuah dongeng ala Hindustan.

Saya yang ingin mengambil serius terhadap filem ini mula melonggarkan sedikit harapan atau jangkaan terhadap perjalanan seterusnya.

Begitu pun, ia bukan satu kesalahan kerana penulis dan pengarah mempunyai sebab mengapa babak-babak seterusnya menjadi sedikit tidak masuk akal. Penonton hanya akan mengetahuinya semasa kesudahan cerita.

Kejutan yang dicipta itu menarik ideanya namun saya merasakan seperti ada kejanggalan dalam aspek pelaksanaan.

(Amaran: perenggan seterusnya mendedahkan beberapa rahsia tentang plot filem. Jika anda bercadang menyaksikannya terlebih dulu, mungkin anda patut berhenti membaca di sini).

Kesan daripada koma, fikiran Mia terganggu dan dia sebenarnya berhalusinasi tentang kewujudan Izlan. Dia menjadikan pemuzik jalanan, orang terakhir yang ditemuinya sebelum kemalangan sebagai lelaki yang mendambakan cintanya. Di bawah sedar, Mia mencipta satu karakter angan-angan demi melupakan Ilhan.

Saya teringatkan filem Lars and the Real Girl (2007). Watak Lars, lakonan Ryan Gosling yang mengalami tekanan jiwa, berhalusinasi menjalinkan hubungan dengan patung yang dibeli di Internet. Dia memperkenalkan 'teman wanitanya' itu kepada keluarga dan seluruh penduduk bandar.

Memang tidak adil untuk melakukan perbandingan secara terus kerana plot kedua-dua filem ini berbeza. Namun apa yang ingin saya sentuh ialah menjadikan sesuatu cerita itu lebih menyakinkan dan boleh 'dibeli' penonton.

Seperti Lars, dia mempunyai sesuatu yang tangible yakni wujud, boleh dipegang dan dibawa ke sana ke mari, biarpun patung itu secara jelas tidak bernyawa.

Berbanding Mia, dia hanya berfantasi kosong tanpa ada asas yang boleh difahami oleh orang di sekelilingnya. Walaupun keluarganya digambarkan memberi sokongan dengan membiarkan Mia bercakap seorang diri (babak-babak ini ditunjukkan pada penghujung filem) namun idea itu dirasakan boleh diperbaiki.

Misalnya, babak Mia memperkenalkan Izlan dalam acara makan malam. Keluarganya tidak nampak janggal atau kekok untuk berbual sedangkan itu pertama kali mereka menyedari Mia sekadar berhalusinasi.

Dalam kehidupan sebenar, ini tidak akan berlaku. Sudah tentu ibu bapa dan adik Mia akan terkejut dan memberi reaksi yang berbeza. Bagaimanapun, ia masih logik jika babak-babak sedemikian adalah point of view atau mewakili pandangan dan perasaan Mia tetapi perkara ini tidak begitu jelas.

Sebagai pelakon baru, Zarinatasha Jamalullail mempunyai raut dan ekspresi yang secocok dengan perwatakan Mia. Penonton dapat 'membaca' kesepian dan kemurungan yang dialaminya. Cuma intonasi percakapannya sedikit lesu bukan kerana karakter tetapi kedengaran kaku dan mendatar.

Remy Ishak memberi justifikasi yang baik untuk watak Izlan. Berbeza dari sisi romantis atau aksi yang pernah dipamerkannya sebelum ini, Izlan di tangan Remy ialah watak lelaki yang selekeh, sedikit pengotor dan tidak terurus tetapi dalam masa sama mempunyai sifat witty dan budiman.

Sementara itu, kemunculan Pekin Ibrahim sebagai Ilhan, walaupun sekejap-sekejap tetap memberi keseronokan kerana dia adalah pelakon yang baik.

Aku, Kau & Dia menunjukkan kematangan dan kedewasaan Pierre dalam mengolah sesebuah naskhah. Pengarahannya tersusun dalam gerak yang agak baik. Cuma bila kerap sangat treatment video muzik diselitkan, naskhah ini kelihatan terlalu mencuba untuk menjadi lebih melankolik dari yang sepatutnya.

2 comments:

farid saleh said...

rasa nak tengok plak

Anonymous said...

Cte ni...sgt2 x best! Permulaan cte pon dh bosan..tdo dlm wyg...