A untuk aksi
|
|
Semasa The A-Team ditayangkan di kaca TV, saya baru mula sekolah. Sejujurnya, saya tidak ingat dengan jalan cerita atau karakter-karakternya.
Cuma yang berbekas dalam fikiran sampai sekarang ialah Mr.T, helikopter dan muzik temanya.
Namun demikian, untuk siri-siri TV zaman 1980-an, penonton tidaklah begitu cerewet dengan plot cerita.
Sekadar memberi beberapa contoh, seperti Knight Rider, MacGyver atau Miami Vice, rasanya apa yang lebih penting ialah elemen hiburan, aksi dan sedikit rencah cinta.
Lebih banyak kita 'dibohongi', siri itu lebih dipuji dan diingati.
Justeru, apabila Joe Carnahan (Smokin' Aces, 2006) membawa naskhah ini ke layar perak, janganlah ada sesiapa yang mengharapkan ia sebuah material untuk Oscar.
Apatah lagi, The A-Team ditayangkan dengan lambakan blockbuster musim panas yang lain.
Jaminannya ialah sebuah filem yang ringan dan tidak perlu berfikir. Anda hanya perlu menikmati bertih jagung.
Bagaimanapun, saya mahu ulang semula ayat tadi - lambakan blockbuster musim panas. Ini yang jadi persoalannya sekarang.
Dalam kebanjiran filem Hollywood yang masuk ke sini, adakah The A-Team berbaloi untuk dua jam masa anda?
Atau berbaloikah untuk duit yang bakal dibelanjakan, yang mana nilainya lebih kurang sama dengan set Big Mac McDonalds?
Filem ini dibuka di Mexico apabila penonton diperkenalkan dengan satu demi satu karakter dan bagaimana mereka berjumpa.
Ketika ini, penonton mesti belajar membiasakan diri dengan adegan tembak-menembak, letupan dan lagak ngeri yang melampau.
The A-Team atau nama penuhnya, The Alpha Team terdiri daripada Col. Hannibal Smith, Lt. Faceman Peck, Mad Murdoch dan B.A Baracus.
Lapan tahun kemudian dengan 80 misi yang berjaya dilunaskan di Iraq, hero-hero ini dituduh mencuri satu beg yang berisi pencetak duit palsu.
Kerana telah diperangkap, mereka harus mencari jalan, bukan saja untuk mengetahui siapakah dalang dan pembelot, tetapi untuk membersihkan nama mereka semula.
Saya teringatkan jalan cerita The Losers yang baru ditayangkan di Malaysia lebih sebulan lalu.
Ada sedikit persamaan (sekumpulan pejuang tidak bersalah-balas dendam-pulihkan imej), tetapi tidaklah menghairankan kerana kitar semula idea yang tipikal seperti ini bukanlah benda baru.
Dengan bantuan seorang ejen CIA bernama Lynch, Hannibal dan kawan-kawannya keluar dari penjara dan bergabung kembali.
Saya rasa ketika ini, penonton sudah biasa dengan adegan tembak-menembak, letupan dan lagak ngeri yang melampau.
Saya sendiri, sampai satu masa sudah boleh duduk bersandar dengan selesa, walaupun adegan di layar terus cuba membuatkan penonton terlompat dari kerusi atau ternganga.
Kembali kepada persoalan awal - adakah The A-Team berbaloi?
Aksinya bolehlah dikategorikan sebagai kelas A, memang berlebih-lebihan dan amat memenuhi selera penggemar filem 'jantan' seperti ini.
Lakonan, ia tidak lebih daripada satu persembahan kadbod - hafal saja dialog kerana apa yang lebih mustahak ialah kekuatan fizikal pelakon untuk berlari dan berlawan.
Mungkin filem ini akan jadi lebih seronok jika dalam tempoh dua jam itu, sedikit pembangunan watak diambil kira. Misalnya, ketika Faceman diberi tugas oleh Hannibal untuk merancang pelan terakhir.
Kekuatan pada Faceman ini tidak diutamakan. Saya pasti penonton tidak akan mengingatinya, berbanding susuk tubuh Faceman yang ditayangkan beberapa kali.
Bukan salah Bradley Cooper dia seorang pelakon yang tampan dan seksi.
Dalam pada itu, saya merasakan adegan-adegan humornya tidak slapstik, terutamanya yang membabitkan Mad Murdoch, pemandu helikopter berani mati yang pernah masuk hospital sakit jiwa.
Begitu juga dengan B.A Baracus yang berbadan sasa tetapi takut untuk terbang. Bagi filem aksi sebegini, lawak-lawak begitu boleh dimaafkan.
Walaupun asas siri The A-Team tidak jauh beza dengan filem, namun siri sudah dianggap klasik kerana faktor masa. Malangnya, versi filem sukar untuk mendapat reputasi yang sama.
No comments:
Post a Comment