Thursday, June 17, 2010

Sex And The City (2010)

Merindui ‘sahabat’ lama


Sex And The City 2 masih kental dengan sifatnya sebagai ‘makalah’ fesyen.


SAYA tidak malu untuk mengaku sebagai peminat setia Sex And The City sejak ditayangkan di televisyen lebih sedekad lalu. Carrie, Samantha, Miranda dan Charlotte, saya tafsirkan sebagai empat wanita yang bukan sekadar cantik, bergaya dan gilakan fesyen, tetapi bijak, berakal dan kuat semangat.

Filem pertama ia diterbitkan dua tahun lalu tidak mengecewakan. Selepas empat tahun siri itu dihentikan, peminat dapat melepas rindu dan bertemu semula ‘sahabat karib’ mereka.

Saya sendiri gembira apabila Carrie akhirnya berkahwin dengan cinta sejatinya, Mr. Big.

Hari ini, muncul pula Sex And The City 2. Sejujurnya, saya kurang setuju dengan idea sekuel.

Saya fikirkan selepas Carrie berkahwin dengan Big, apa lagi yang mahu dibincangkan? Itulah kemuncaknya.

Saya bimbang keghairahan mereka untuk membuat sambungan semata-mata atas tuntutan box-office.

Dengan paparan imej kota metropolitan New York yang serba gah, premis filem kedua dibuka dengan cukup meyakinkan dan mengembalikan nostalgia apa itu Sex And The City.

Dilatari muzik temanya yang ikonik, penonton kemudian dihiburkan dengan adegan imbas kembali bagaimana keempat-empat wanita itu berkenalan.

Beberapa minit selepas filem diputarkan, dalam tersenyum dan ketawa, sebenarnya saya terfikir – apa sudah jadi dengan Carrie, Samantha, Miranda dan Charlotte?

Mungkin perubahan usia membuatkan karakter mereka berubah, tetapi malangnya, apa yang dipaparkan bukanlah kematangan.

Mereka digambarkan sebagai watak-watak yang terlalu mementingkan diri dan tidak rasional.

Masalah mereka bukanlah satu masalah sebenarnya, sebaliknya hanya perkara rumit yang diperbesar-besarkan.

Sebagai contoh, Carrie bertengkar dengan Big hanya kerana meletakkan TV dalam bilik tidur, Samantha mengeluh kerana hormon, Miranda tertekan kerana tidak disukai majikan dan Charlotte menaruh syak wasangka terhadap suaminya kerana pengasuh anak mereka sangat seksi.

Apa sebenarnya plot filem ini? Dalam sekian banyak masalah yang boleh dicipta, adakah sekadar ini yang terbaik yang dapat difikirkan?

Rasanya isu-isu dan dilema yang dibentangkan dalam siri TV dulu jauh lebih menarik dan berkesan untuk didebatkan.

Melihat ekonomi dan keadaan hidup mereka yang sudah stabil dan serba mewah, siapa yang dapat bersimpati dengan perkara-perkara remeh sebegitu?

Justeru, watak Carrie, Samantha, Miranda dan Charlotte yang dulu disanjungi, sudah tidak relevan sebagai wanita pembawa inspirasi.

Tiba-tiba saya merasakan pemikiran mereka sangat cetek dan kebudak-budakan.

Kemudian, apabila empat wanita ini pergi melancong ke Abu Dhabi, sekali lagi, rasa hormat pada mereka hilang kerana keangkuhan dan kebiadapan terhadap budaya luar.

Melalui tindakan dan aksi-aksi mereka yang kononnya pandai serba-serbi, penulis skrip seolah berbangga dapat menonjolkan keangkuhan warga Amerika yang tidak betah mengikut adab tertib tempatan.

‘Sex’? Ya, ada banyak bumbu-bumbu seks disajikan sebagai umpan. ‘The city’?

Ya, penonton diberikan latar lokasi dua bandar – New York dan Abu Dhabi untuk tatapan. Tetapi, intinya? Tidak ‘mengenyangkan’, kecuali dialog-dialog lucu, tetapi pastikan fikiran anda cukup terbuka untuk menerimanya.

Kembalinya kekasih lama Carrie, Aidan untuk mewujudkan konflik, tidak terasa. Sekadar muncul lebih kurang 10 minit, idea itu seolah dipersia-siakan.

Barangkali filem ini memerlukan lebih banyak plot yang konkrit, sehebat kota besi New York.

Bukan sekadar jalan cerita yang tidak kukuh dan halus ‘berpasir’ seperti padang pasir di Abu Dhabi.

Begitu pun, Sex And The City 2 masih kental dengan sifatnya sebagai ‘makalah’ fesyen.

Watak-watak utama dibaluti busana mewah, yang dalam tempoh empat hingga lima minit, boleh bertukar dua ke tiga pasang persalinan.

Penggila fesyen pastinya puas menyaksikan ‘almari bergerak’ ini.

Saya tidak malu untuk mengaku ketawa terbahak-bahak menonton Sex And The City 2. Namun, kebanyakannya hanya kerana kedangkalan mereka.

Persepsi saya terhadap Carrie, Samantha, Miranda dan Charlotte sudah berubah. Penulis skrip, sila berikan lebih keadilan jika filem ketiga bakal dibikin. Saya merindui mereka yang lama.

Tetapi ada satu adegan dalam filem ini yang membuatkan saya sangat ‘dekat’ dengan Sex And The City yang klasik. Adegan Big menjemput Carrie di apartmen lamanya, perkara lazim yang dilakukan Big semasa dalam siri. Kebetulan Carrie menyarung gaun Christian Dior yang pernah digayakan dalam musim ketiga. Saya tersenyum panjang.

No comments: