SAYA harus akui bukan peminat setia siri Harry Potter. Buku-bukunya tidak saya baca, tetapi setiap satu filemnya saya tonton. Sehingga siri keenam, secara peribadi, saya memilih filem yang ketiga, Harry Potter and the Prisoner of Azkaban (2004) sebagai yang terbaik dari segi penceritaan dan nilai hiburan.
Masuk siri ketujuh, karakter Harry Potter bakal mencecah usia 17 tahun. Seiring dengan peningkatan usia lelaki itu, naskhah yang ditulis J.K Rowling semakin dewasa dan unsur-unsur sihirnya bertambah gelap. Siri ini bukan lagi sekadar produk fantasi untuk kanak-kanak kerana plotnya kian rumit.
Harry Potter and the Deathly Hallows Part 1 dibuka dengan suasana kelam, yang seterusnya menjadi teras kepada perasaan keseluruhan filem. Tiga sekawan iaitu Harry, Ron dan Hermoine digambarkan cuba 'mempertahankan' keluarga masing-masing daripada ancaman bahaya dalam pengembaraan akhir ini.
Sebagai contoh, Hermoine yang terpaksa memadamkan memori ibu bapanya dengan menghilangkan setiap kelibatnya dalam potret keluarga. Ministry of Magic juga terpaksa menerima hakikat bahawa Lord Voldermort kembali mengganas dan menggugat keamanan dunia sihir.
Trio Harry, Ron dan Hermoine harus melangsaikan tugas Dumbledore (yang sudah mati) dalam mencari serpihan Horcruxes untuk menentang kuasa jahat Voldermort. Akibat cabaran yang semakin besar dengan kerenah birokrasi serta pengkhianatan tersembunyi, harapan mereka tipis dan nyawa di ambang maut.
Warner Bros mempunyai sebab yang baik apabila memecahkan siri yang terakhir ini kepada dua bahagian filem. Selain keuntungan box-office dan cubaan memanipulasi jangka hayat Harry Potter dengan lebih lama, The Deathly Hallows dikatakan lebih jujur kepada buku asal.
Pengarah David Yates mempunyai lebih ruang untuk membangunkan cerita, terutamanya watak Harry, Ron dan Hermoine. Sifat mereka dibina dan diperhalusi dengan dimensi yang menarik; kuat dalam menempuhi rintangan untuk menyelesaikan masalah, tetapi lemah bila berdepan dengan emosi semulajadi manusia.
Bahagian pertama filem ini tidak menampilkan satu pun adegan di sekolah Hogwarts dan banyak tertumpu kepada pengembaraan di luar, terutamanya hutan. Mungkin penonton sesekali akan teringat kepada pengembaraan trilogi The Lord Of The Rings (2001-2003) yang mempunyai tona warna dan mood serius yang seakan-akan serupa.
Bagaimanapun, kelebihan memecahkan siri ketujuh ini kepada dua bahagian, ada sisi buruknya. Kerana Yates mempunyai banyak masa untuk memperincikan setiap peristiwa, filem ini dirasakan meleret-leret dan tidak kompak. Kerana mahu mendalami setiap peristiwa juga, filem ini dirasakan mendatar.
Maaf, barangkali peminat tegar Harry Potter tidak bersetuju dengan kenyataan ini.
Penonton yang tidak membaca buku mungkin akan sesat dan keliru terhadap peristiwa serta karakter yang saling berkaitan di antara filem-filem terdahulu. Justeru, saranan terbaik sebelum menonton The Deathly Hallows Part 1 ialah memastikan anda memahami enam siri sebelumnya.
Begitupun, penonton masih boleh terkesan dengan ketelitian imej janaan komputer (CGI), terutamanya semasa Hermoine menceritakan kisah dari buku wasiat Tales of Beadle the Bard. Lakaran-lakaran kartun itu mengingatkan saya kepada Corpse Bride (2005) arahan Tim Burton.
Antara lain yang menyerlah ialah adegan Harry diklonkan kepada tujuh orang serta visi yang dilihat Ron terpancar dari loket. Dalam visi itu, Harry dan Hermoine digambarkan dalam keadaan yang sensual, tetapi terbatas. Mujur Yates masih sedar Harry Potter asalnya produk untuk kanak-kanak.
Aksi-aksi pertarungan magis juga dipaparkan seimbang dengan penceritaan, tetapi mungkin mengecewakan mereka yang datang semata-mata untuk efek. Sejak siri kelima The Order of The Phoenix (2007), Harry Potter di tangan Yates tidak seringan garapan Mike Newell atau Chris Columbus.
Kematangan persembahan Daniel Radcliffe, Rupert Grint dan Emma Watson dapat dilihat, tetapi keseronokan sebenar menonton Harry Potter ialah gandingan pelakon hebat seperti Helena Bonham Carter, Ralph Fiennes, Bill Nighy, Jason Isaacs dan Alan Rickman di atas satu layar.
Adegan mereka duduk semeja semasa mesyuarat di Malfoy Manor adalah salah satu adegan terbaik. Merupakan antara babak terawal, The Deathly Hallows Part 1 juga berakhir dengan baik kerana memenuhi sifat sebuah filem yang kesudahannya memang sengaja dibiarkan tergantung.
No comments:
Post a Comment