Thursday, November 11, 2010

Estet (2010)


Terbaik dari ladang

ESTET dibuka dengan penuh warna-warni, baik pada imej mahupun perasaannya. Ada tarian serta nyanyian di sebalik kain-kain yang digantung dan dikibar. Babak pembukaan ini memberi petunjuk Estet memang sengaja dibina atas acuan filem-filem dari Selatan India atau Kollywood.

Justeru, apabila Mamat Khalid memperkenalkan setiap karakter, jurang hitam dan putih itu sangat jelas. Penonton segera 'menangkap' siapa yang baik, siapa yang jahat kerana lazimnya definisi watak dalam filem Kollywood sangat mudah dan shallow. Misalnya, kalau jahat mestilah hodoh dan suka ketawa besar.

Estet berkisar mengenai satu pertandingan bola sepak yang bakal berlangsung di antara Estet Cintamanis dengan Estet Red Cobra. Selepas 20 tahun tidak diadakan, perlawanan itu dihidupkan semula oleh ketua Estet Cintamanis, Pooniah yang menyimpan muslihat untuk kepentingan peribadi.

Pertandingan bola sepak itu sebenarnya sekadar dasar cerita yang membuka kepada pembinaan plot yang lebih besar, iaitu tentang perhubungan warga estet dari generasi ke generasi, tentang dendam dan tentang perpaduan.

Walaupun Farid dan Shashi ditampilkan sebagai watak utama, sedar atau tidak Estet mempunyai ramai 'hero'.

Subramaniam, jurulatih pasukan bola sepak estet, tertekan apabila Pooniah menggunakan perlawanan itu untuk memiliki anaknya, Geetha. Appa pula menjadi pemabuk kerana kecewa terhadap kehidupan dengan kaki tempang.

Ini contoh dua watak yang pada awalnya lemah, tetapi dikembangkan menjadi protagonis. Malah, Mohan yang pada mulanya dilihat sekadar 'badut' muncul wira pada penghujung cerita.

Mamat bijak membesarkan beberapa karakter yang disangkakan pembantu, tetapi sebenarnya menyumbang kuat kepada penceritaan.

Kemunculan watak Kublai Khan ibarat satu penghormatan kepada ikon seperti Sivaji dan MGR. Gaya lakonan dan pakaiannya - jaket oren, tali pinggang putih dan topi koboi - sengaja dilebih-lebihkan, malah beberapa babak seperti pergaduhan beramai-ramai turut mengambil semangat filem Tamil.

Saya amat tertarik kepada gaya komedi gelap Mamat, terutamanya dalam dua babak. Pertama, ketika Subramanian cuba menggantung diri dan kedua, semasa Subramaniam dan Sashi hampir diletupkan dengan bom atom.

Walaupun kedua-dua situasi itu sepatutnya digambarkan suspen, namun Mamat menyuntik elemen humor - satu ajukan kepada filem-filem Kollywood yang banyak auta dan flamboyant. Saya sendiri tidak dapat menahan gelak yang panjang.

Barangkali kerana mahu me-Malaysia-kan imej itu, Mamat memutuskan untuk kesemua karakternya bercakap bahasa Melayu. Ini agak janggal pada permulaan filem, apatah lagi apabila masing-masing bertutur dalam tatabahasa yang tersusun dan bukan bahasa pasar.

Secara tidak sengaja, penonton ketawa apabila mendengar dialog sesama keluarga India yang berbunyi, "jangan kau sentuh anakku ini!". Rasanya lebih 'cantik' jika mereka dibiarkan bertutur dalam bahasa ibunda dan diberikan sarikata.

Walau bagaimanapun, persembahan barisan pelakon berbangsa India amat meyakinkan dan patut diberikan kredit sewajarnya. Mereka mungkin tidak dikenali, tetapi mereka menyerlah dan tidak tenggelam dalam arus popular yang dibawakan Farid Kamil, Rosyam Nor atau Soffi Jikan.

Kemunculan sekejap Datuk David Arumugam juga menarik dan melucukan. Biarpun hanya tempelan, tetapi dialognya membawa beberapa kritikan sosial, seperti rungutan terhadap harga barang yang sentiasa naik.

Secara teknikal, Estet tidak seteliti Kala Malam Bulan Mengambang (2008). Imej janaan komputernya (CGI) nampak pelik dan koreografi semasa babak menari agak bersepah. Malah skripnya juga, ada beberapa ketika, terlalu tinggi bahasanya untuk dituturkan orang biasa.

Namun begitu, saya sangat terhibur dan berasa dekat dengan naskhah ini. Membandingkan filem-filem arahan Mamat, antaranya Lang Buana (2003), Rock (2005) dan Zombie Kampung Pisang (2007), secara peribadi saya mengangkat Estet sebagai yang terbaik.

No comments: