Thursday, January 20, 2011

KHURAFAT (2011)

Cukup sifat, tetapi...


LIYANA Jasmay dan Syamsul Yusof sebagai suami isteri dalam filem Khurafat.


REAKSI penonton yang sudah menyaksikan Khurafat lebih awal membuatkan saya sangat teruja. Rata-rata memberitahu filem lakonan dan arahan Syamsul Yusof ini amat seram dan membuatkan penonton tidak berhenti menjerit.

Johan, seorang pembantu perubatan di sebuah hospital baru saja bernikah dengan Aishah. Perkahwinannya itu bagaimanapun dibayangi gangguan daripada bekas teman wanita Johan, Anna yang enggan melepaskan cintanya.

Kewujudan makhluk berbungkus dan berambut panjang (rujuk filem-filem hantu Jepun dan Indonesia) membuatkan Johan dan Aishah tidak tenteram. Lembaga itu sentiasa mengekori mereka dari alam nyata sehinggalah ke dalam mimpi.

Kerana obsesinya terhadap Johan, Anna dituduh 'menghantar' benda-benda halus itu, lebih-lebih lagi dia kemudiannya membunuh diri.

Untuk sebuah filem hantu, Khurafat mempunyai segala ciri-ciri dan sifat yang diperlukan. Watak antagonis iaitu Anna sebagai suspek utama, watak makcik misteri yang selalu memerhati sebagai suspek kedua dan watak protagonis iaitu Aishah yang terlalu baik sehingga boleh mencetuskan syak wasangka penonton.

Saya tidak berniat untuk memecahkan rahsia, tetapi kerana fokus filem ini terlalu berat ke arah Johan, sejak awal lagi saya sudah dapat meneka siapakah yang jahat sebenarnya. Namun, itu tidak merosakkan keinginan saya untuk mengetahui bagaimana dan mengapa Johan melakukannya.

Sebagai pengarah dan penulis skrip, Syamsul memahami bagaimana sebuah naskhah seram dapat berfungsi. Dia tahu cara yang paling efektif untuk menakut-nakutkan penonton. Nada dan warna latar yang suram sejak awal filem mengundang resah gelisah.

Malah adegan pembukaan seperti bersolat dan ceramah agama, walaupun agak stereotaip, masih berkesan untuk menimbulkan perasaan kurang senang. Ini kerana syaitan lawannya agama; dan pada saat itu, penonton merasakan bila-bila masa hantu akan muncul.

Babak Pak Imam mengeluarkan jin daripada badan seorang pengamal ilmu hitam merupakan antara adegan terbaik. Dengan efek mekap, suara dan terbang di udara, A. Galak kelihatan menyeramkan. Penataan bunyi dan muzik yang tersusun juga mendebarkan.

Begitu pun, kerana hantu di dalam filem ini terlalu kerap muncul - baik di kiri, kanan, atas dan bawah; di dalam rumah, bilik mayat mahu pun di dalam hutan penonton berdepan dengan dua kemungkinan.

Sama ada mereka seronok untuk terus dimomokkan atau 'penat' kerana sudah dapat mengagak helah yang seterusnya.

Barangkali Syamsul mempunyai alasan yang kuat mengapa hantu itu selalu mengacau kerana ia ada hubung kait perjanjiannya dengan Tok Bomoh.

Kerana Syamsul merupakan lulusan 'sekolah Yusof Haslam', dialog-dialog Khurafat masih tidak lari dari gaya filem-filem arahan bapanya. Lurus, skema dan tidak berkias, ia dicacatkan dengan proses memasukkan suara (dubbing) yang tidak kemas.

Bagaimanapun, Syamsul bijak mengakhiri filem ini dengan kejutan dan persoalan. Ia membuatkan penonton tertanya adakah keseluruhan filem ini satu koma yang panjang atau hanya bermula selepas Johan kemalangan.

Dakwah bahana perlakuan khurafat juga disampaikan secara halus, tanpa 'bersyarah.'

Lakonan Syamsul lebih bersahaja berbanding filem-filem sebelum ini, begitu juga dengan Sabrina Ali. Cuma mungkin bakat Liyana Jasmay tidak dimanipulasikan. Sepatutnya sebagai seorang isteri, Aishah turut merasai apa yang Johan rasa tetapi dia digambarkan seperti watak sampingan saja.

Izinkan saya mengulangi perenggan pertama.

Reaksi penonton yang sudah menyaksikan Khurafat lebih awal membuatkan saya sangat teruja. Rata-rata memberitahu filem ini amat seram dan membuatkan penonton tidak berhenti menjerit.

Justeru, saya mempunyai harapan yang sangat tinggi dan harapan itu separuh dipenuhi.

No comments: