Tidak cukup mendampingi
|
|
Saya akui saya seorang yang penakut. Bila saya memilih untuk mengulas Damping Malam dan menontonnya seorang diri pada pagi Isnin, saya sudah bersedia untuk keluar awal.
Bukan kerana bimbang filem itu membosankan, tetapi membayangkan jika pawagam yang gelap itu kosong tanpa penonton, diiringi bunyi-bunyian yang menyeramkan.
Namun, saya berjaya menyaksikannya sehingga selesai. Ada petanda baik dan buruk di sini. Baiknya, saya tidak membazirkan wang tiket yang dibayar untuk tugasan ini, manakala yang buruknya filem itu tidak menyeramkan langsung.
Damping Malam bermula apabila Aiza masuk ke sekolah berasrama penuh. Ibunya, Ku Khalira sangat resah kerana mereka tidak pernah berjauhan. Kerisauannya bertambah apabila Aiza dirasuk selepas dibuli pelajar senior. Sejak itu, Aiza sering diganggu bayangan hitam.
Gangguan itu bukan sekadar di asrama, malah terbawa sehingga ke rumah. Bapa Aiza, Wadi ialah seorang usahawan moden yang tidak percaya dengan perkara-perkara halus, sehinggalah dia sendiri berdepan dengan kejadian aneh.
Ku Khalira menuduh ibu saudaranya, Ummi Siah sebagai punca kerana percaya Ummi Siah masih mengamalkan tradisi turun-temurun iaitu memelihara ‘pendamping’ sebagai penjaga keluarga. Dalam masa yang sama, rakan Wadi iaitu ustaz Bakri mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
Filem ini mempunyai premis yang baik. Subjek ‘pendamping’ yang diamalkan orang Melayu sejak dulu merupakan sesuatu yang menarik untuk dikupas, seperti mana Shuhaimi Baba pernah membawakan topik saka harimau dalam Waris Jari Hantu (2007).
Bagaimanapun, babak awalnya saja sudah membuatkan saya hampir mencebik. Mengapa filem seram Melayu kebanyakannya dibuka dengan adegan bomoh atau pawang sedang membaca jampi serapah dan mentera?
Saya faham, setiap adegan itu memberi signifikan kepada jalan cerita tetapi mengapa mesti sesuatu yang klise dan sudah boleh dijangka penonton?
Damping Malam seterusnya bergerak dalam naratif yang lemah, penceritaannya longgar dan untuk sebuah filem seram, saya hampir kebosanan. Barangkali Ahmad Idham mempunyai alasan mengapa dia perlu mengambil masa yang lama untuk mengembangkan setiap karakter, tetapi hasilnya mendatar.
Saya sangkal jika Idham bukan seorang pengarah yang bijak. Secara peribadi, saya menyukai Adnan Sempit dan Niyang Rapik, yang kedua-duanya ditayangkan tahun lalu. Sayangnya, Idham tidak berjaya mengawal momentum filem terbarunya ini sehinggakan semuanya serba tidak kena.
Banyak aspek penceritaan yang ditinggalkan tanpa jawapan. (Maaf, beberapa kejutan terpaksa didedahkan. Jika anda berniat untuk menonton filem ini, lebih baik berhenti membaca sekarang).
Tidak mendapat jawapan
Apa tugas sebenar ‘pendamping’ sehingga dia menuntut nyawa? Mengapa di antara empat beranak, Aiza yang menjadi sasaran utama? Selain sunyi ditinggalkan, apa sebab lain yang membuatkan Ku Khalira sanggup memelihara ‘pendamping’? Alasan yang diberikan dalam filem ini tidak cukup meyakinkan saya.
Saya tidak nampak pun jika ‘pendamping’ itu menjadi penemannya. Tiada satu babak pun yang menunjukkan ‘pendamping’ berkawan dengannya atau cuba melindungi keluarga mereka.
Tahu-tahu, Aiza diserang kerana Ku Khalira melanggar janji yang sepatutnya diperbaharui. Apa janji yang diberikannya kepada ‘pendamping’? Saya tidak mendapat jawapan kepada persoalan-persoalan ini.
Persembahan barisan pemain juga berada pada tahap biasa, sedangkan mereka pelakon berpengalaman.
Siapa yang tidak kenal dengan kehebatan Azizah Mahzan? Amy Mastura pula pernah menang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke -14 ( 1999), sementara Idham yang sudah tidak berlakon filem selama 13 tahun sepatutnya menggunakan peluang ini sebaik mungkin.
Sebahagiannya, saya mahu menyalahkan proses memasukkan suara (dubbing) yang ‘membunuh’ lakonan mereka. Mood dan ekspresi yang diberikan tidak selari dengan audio, menyebabkan persembahan mereka kelihatan janggal.
Alang-alang membangkitkan perkara ini, saya tertanya mengapa sehingga hari ini, kebanyakan filem kita masih tidak merakamkan bunyi secara langsung?
Damping Malam mempunyai resepi dan rencah yang cukup untuk muncul sebagai filem seram yang baik. Sayang sekali, adunannya tidak menjadi kerana saya merasakan ia dibuat dengan terburu-buru dan tidak teliti.
Benar, ia bukan sebuah filem hantu yang berat. Penonton tidak dimomokkan dengan kesan bunyi yang keterlaluan atau imej hantu secara jelas yang datang merangkak dan terbang. Begitupun, kesan dramanya juga tidak saya rasai.
Saya akui saya seorang yang penakut. Selalunya selepas menonton filem-filem sebegini, saya akan teringat-ingat bila hendak tidur. Damping Malam tidak termasuk dalam kategori tersebut.
No comments:
Post a Comment