Thursday, March 10, 2011

HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA (2011)

Blockbuster hikayat Melayu


UMMI Nazeera (kanan), Rahim Razali dan Stephen Rahman-Hughes memberikan lakonan yang variasi menerusi watak masing-masing.


HAMPIR setiap kerajaan mempunyai hasil sasteranya sendiri yang berkaitan dengan perkembangan sejarah seperti asal usul raja-raja dan negeri.

Menurut ceritera Melayu lama, Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) menerangkan mengenai penubuhan negeri Kedah dan tampuk pemerintahannya.

Biarpun mempunyai beberapa versi, cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut selama beberapa generasi itulah yang menjadi teras pegangan sesuatu kerajaan sebagai satu dokumen sah bagi pengabsahan hak dan kuasa raja.

Seperti Puteri Gunung Ledang (2004), filem HMM dihasilkan dengan asas mitos yang diketahui dan diterima umum - cuba mengekalkan fakta sejarah sedaya mungkin. Meskipun pada awalnya, saya membayangkan adanya burung garuda dalam HMM, seperti teks yang pernah saya baca semasa kecil.

Barangkali pengarah Yusry Abdul Halim dan penulis skrip Amir Hafizi mempunyai alasan mengapa menukarkan burung garuda kepada puak geruda dan jentayu sebagai nama kapal.

Legenda HMM adalah sebuah hikayat yang wujud sebelum kedatangan Islam. Justeru, terdapat beberapa elemen yang mungkin tidak wajar atau sensitif untuk dipaparkan.

Berlatarkan tahun 120 masihi, HMM mengisahkan seorang nakhoda dan pahlawan bernama Merong Mahawangsa yang berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain. Dia dipilih angkatan Rom bagi mengiringi Putera Rom ke Langkasuka, untuk dikahwinkan dengan Puteri China dari Dinasti Han.

Kekuatan dua empayar itu dicemburui puak lanun Geruda, lalu menculik Puteri China untuk dijadikan tebusan.

Di hujung perairan Selat Melaka juga, Merong dan angkatannya diserang sehingga berlaku pertempuran yang akhirnya mengangkat Merong daripada seorang gelandangan menjadi wira.

Memang tidak adil untuk membandingkan HMM dengan filem Hollywood, apatah lagi dengan bajet sekitar RM8 juta saja, walaupun acuannya ketara mengikut blockbuster luar.

Sekali imbas, penonton akan terbayang keganasan dan gerak pantas filem 300 (2006), babak laut dan kapal dengan dialog humor ala siri Pirates of The Carribean (2003-2007) atau kecantikan kesan khas dan sinematografi Queens of Langkasuka (2008).

Keaslian barangkali bukanlah misi utama Yusry, kerana sifat mana-mana filem pun berkitar kepada pengulangan yang serupa - baik dari segi teknik mahupun penceritaan. Rasanya Yusry juga tidak mahu HMM versinya dilihat sebagai karya sejarah serius secara total. Sebaliknya medium yang tetap menghiburkan.

Walaupun isinya berat, HMM adalah satu fiesta mata dengan props, set dan imej janaan komputer CGI yang menakjubkan.

Skripnya agak ketat, berjaya menyampaikan apa yang mahu diceritakan dalam tempoh singkat - kurang dari dua jam. Mudah difahami, filem HMM dipersembahkan secara bercerita oleh pewaris Merong iaitu Phra Ong Mahawangsa atau nama Islamnya, Sultan Mudzafar Shah.

Saya tertarik dengan penggunaan pantun gurindam yang membawa kepada pencarian Merong. Pantun yang diingati daripada ibunya itu dijadikan klu yang berjaya menimbulkan intrig.

Pantun itu bukan sekadar bidalan tentang dua cinta yang tidak bertemu, tetapi satu alamat yang diterima oleh pawang Kesum tentang kedatangan seorang penyelamat.

Pantun itu juga memberi makna yang jelas kepada babak akhir, tentang pengorbanan Merong menghapuskan Taji, ketua kumpulan Geruda yang mengamalkan sihir. Babak penghabisan ini merupakan momen yang paling dramatik dan berjaya bagi saya.

Selaku pemeran utama, watak berat Merong digalas Stephen Rahman-Hughes seadanya.

Dari sudut ketangkasan dan aksi dia memang boleh dipercayai. Tetapi ruang penjiwaannya masih kosong. Babak di mana dia memberi kata-kata semangat sebelum bertarung habis-habisan agak formulaic dan dibuat-buat.

Lakonan aktor veteran Datuk Rahim Razali sebagai Kesum, tidak banyak berbeza. Kecuali kostum dan rambut panjang putihnya. Jing Lusi sebagai Puteri China agak kaku. Namun, diselamatkan oleh persembahan bersahaja inangnya, Ying Ying lakonan Nell Ng.

Saya menyukai Ummi Nazeera sebagai Embok yang sifat rapuhnya amat dirasai - betapa dia berasa sunyi akibat kematian ibu bapa, kehilangan mahkota dan penantian seorang perwira.

Sementara Khir Rahman beruntung kerana diberikan peranan jahat, Kamawas yang membolehkan dia lebih menyinar.

Secara peribadi, saya menyifatkan HMM bukan sekadar kerja terbaik Yusry, tetapi produksi terbaik KRU Studios selepas menerbitkan tujuh filem.

1 comment:

zubin said...

melihat foto yang diselitkan di dalam komentar ini seperti adegan dalam filem red indian Amerika