Thursday, May 26, 2011

NUR KASIH THE MOVIE (2011)


‘Cahaya yang terlalu terang’

APABILA sesebuah produk itu disanjung dan diterima ramai, produk susulannya pasti berdepan dengan cabaran dan kesukaran yang bukan sedikit.

Nur Kasih The Movie adalah filem yang menerima tekanan itu selepas siri televisennya (2009) mencetuskan fenomena dengan 19 juta penonton.

Filem ini bergerak dari dasar cerita yang sudah diwujudkan dalam drama 26 episod. Kepada mereka yang sudah lupa atau tidak pernah mengikuti sirinya, usah bimbang kerana versi filem mampu berdiri sendiri tanpa banyak berkait dengan peristiwa lalu.

Apa yang dilakukan Mira Mustaffa selaku penulis skrip ialah membangunkan lagi watak-watak utama dan mengembangkan jalan cerita, enam tahun selepas kisah di dalam sirinya berakhir.

Aidil, anak sulung dalam keluarga Ustaz Hassan kini bergelar duda anak dua selepas isterinya meninggal dunia. Manakala adiknya, Adam dan isteri, Nur Amina terus berusaha mendapatkan zuriat dan menjadi sukarelawan di pusat perlindungan remaja terbiar.

Keguguran yang dialami Nur Amina memutuskan mereka suami isteri untuk menunaikan umrah, sekali gus bercuti di Jordan.

Namun, mereka ditimpa kemalangan di sana seterusnya mencetuskan satu lagi berita buruk. Adam berdepan maut ekoran kecederaan lamanya semasa berkhidmat di Mumbai.

Satu demi satu musibah menimpa, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Bayangkan dalam durasi satu jam 34 minit, penonton disogokkan dengan sebanyak mungkin kesedihan menyebabkan saya berasa sedikit penat.

Saya menyifatkan Nur Kasih The Movie sebagai sebuah projek yang sangat bercita-cita tinggi. Itu tidak salah kerana pihak produksi terutamanya pengarah Kabir Bhatia sudah tentu mahu memberikan yang terbaik dan menjangkaui standard siri televisyen.

Bagaimanapun, impian itu tidak dapat dicapai sepenuhnya. Terlalu banyak yang ingin diceritakan dalam waktu yang singkat sehingga penonton tidak sempat merasa kesannya.

Tidak dinafikan dialog-dialog tulisan Mira tepat, mendalam dan berkesan, tetapi lakon layarnya agak gelojoh. Sebagai naskhah bergenre drama, Nur Kasih The Movie tidak menampakkan sifat-sifat ringkas tetapi menyentuh seperti yang pernah ditunjukkan Kabir dalam Cinta (2006).

Segalanya mengenai filem ini adalah ‘besar’ – konfliknya, efeknya dan bajetnya - sehingga kelihatan terlalu mencuba dan memaksa penonton untuk menangis atau bersimpati.

Nur Kasih The Movie seperti suluhan cahaya yang terlalu terang sehingga menyilaukan mata dan meresahkan jiwa.

Saya tidak pasti jika Mira sengaja mengambil semangat filem Hindustan dalam membentuk karya ini menjadi sebuah melodrama.

Biar apa pun rujukan atau formulanya waima dari Bollywood sekali pun, bagi saya itu tidak salah. Yang saya terkilan ialah perasaan semasa menonton filem tidak mencengkam seperti menonton siri tv.

Sementara itu, adegan yang menggunakan imej janaan komputer (CGI) agak janggal. Ia mungkin lulus untuk skala televisyen, tetapi tidak bagi layar lebar.

Benar, Nur Kasih The Movie bukanlah sebuah filem efek khas tetapi itu bukan alasan untuk ia dibikin ala kadar. Beberapa babak yang membabitkan CGI agak penting dan menjadi kunci cerita.

Mujurlah penonton sudah begitu dekat dengan karakter Adam, Nur Amina dan Aidil. Barisan pelakon seperti Remy Ishak, Tiz Zaqyah serta Fizz Fairuz menyambung kecemerlangan dan menumbuhkan jiwa yang lebih besar. Mereka membuatkan kita percaya kewujudan mereka sebagai insan sebenar.

Filem ini diakhiri dengan sedikit kejutan. Ia membayangkan jika ada sekuel, Nur Kasih The Movie barangkali akan bermula dari generasi anak-anak Adam, Nur Amina dan Aidil pula.

Kerana kejutan itu juga, filem ini dibuka dengan suara seorang lelaki sebagai pencerita. Suara Datuk Rahim Razali yang begitu tersendiri dan ikonik, mengingatkan saya kepada pembukaan filem Puteri Gunung Ledang (2004), dengan lenggok tutur dan intonasi serupa.

Apabila sesebuah produk itu disanjung dan diterima ramai, produk susulannya pasti berdepan dengan cabaran dan kesukaran yang bukan sedikit. Saya percaya jika Nur Kasih The Movie diterbitkan dulu sebelum siri televisyen, penerimaan saya terhadap filem ini akan berbeza.

Thursday, May 12, 2011

WATER FOR ELEPHANTS (2011)

Titanic di atas keretapi


PERCINTAAN antara Jacob Jankowski (Robert Pattinson) dan Marlena (Reese Witherspoon) kelihatan janggal dan seakan tidak asli.


PADA era Great Depression, Jacob Jankowski dilihat mempunyai masa depan yang cerah. Dia bakal menamatkan pengajian di kolej berprestij dalam jurusan veterinar, seterusnya mempunyai kehidupan yang stabil.

Bagaimanapun, Tuhan merencanakan yang sebaliknya apabila ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan semasa dia menduduki peperiksaan akhir.

Tidak layak menetap di rumah sendiri kerana bapanya menanggung hutang, Jacob bergelandangan sehinggalah dia mencuri naik sebuah gerabak keretapi yang mengubah destinasi kehidupannya.

Keretapi itu adalah keretapi kumpulan sarkas Benzini Brothers yang dimiliki August dan isterinya, Marlena yang merupakan penghibur utama.

Ilmunya mengenai haiwan melayakkan dia bekerja dengan pasukan itu. Namun dia tidak mampu menolak perasaan cinta terhadap Marlena dan secara senyap, menjalinkan hubungan di belakang August, lelaki yang sanggup melakukan apa saja demi wang dan kuasa.

Water For Elephants adalah kisah cinta Titanic (1997) di atas keretapi. Bukan saja kerana isinya tentang asmara dua insan berlainan kasta, tetapi filem ini bermula dan berakhir dengan olahan serupa. Menerusi teknik imbas semula yang linear, saya dapat menangkap persamaan di antara dua filem tersebut.

Sesuatu yang menyegarkan mengenai Water For Elephants ialah latarnya yang berlegar dalam dunia sarkas, satu tema yang semakin terpinggir di sebalik lambakan adaptasi komik superhero atau filem sambungan dan bikin semula.

Rasanya kali terakhir saya menonton filem mengenai dunia sarkas ialah Big Fish (2003) arahan Tim Burton.

Barangkali kerana itu, saya lebih seronok mengikuti kisah survival Benzini Brothers untuk menjadi kumpulan sarkas terunggul, berbanding kisah cinta Jacob dan Marlena. Tambahan pula dengan lakonan cemerlang pemenang Oscar, Christoph Waltz yang menggalas peranan August sebaiknya.

Penonton dibawa merasai kesengsaraan yang terpaksa dihadapi pasukan itu, di sebalik cahaya terang dan warna-warni pentas sarkas. Bagaimana mereka gusar dan takut dengan kepimpinan August yang sering membuat keputusan di luar batas kemanusiaan, demi memastikan Benzini Brothers terus bergerak.

Seperti wataknya dalam Inglourious Basterds (2009) dan The Green Hornet (2011), dia menampilkan sisi yang selesa pada awalnya sebelum menunjukkan kejahatan.

Kebijaksanaan Waltz ialah memberikan dimensi kepada watak August. Ada ketika penonton dapat merasai betapa dia terdesak akan kehilangan isteri dan syarikatnya.

Kepada mereka yang sangsi dengan kemampuan Robert Pattinson, dia bukan lagi pontianak ‘kayu’ seperti dalam saga Twilight (2008). Dia tidak hebat, tetapi sekurang-kurangnya mampu mempamerkan spektrum emosi seorang lelaki yang cuba mencari arah hidup.

Raut tampan dan sifat budimannya membuatkan penonton mahu terus mengikuti filem ini.

Sebaliknya, Reese Witherspoon sekadar mengisi tempat kosong untuk watak heroin. Dia kelihatan kurang selesa sebagai primadona sarkas. Gerak lakunya janggal, begitu juga dengan babak-babak romantis di antara Marlena dan Jacob yang seakan tidak asli.

Sebagai peraih Oscar, semestinya Witherspoon punya pesona dan keupayaan, tetapi dia tidak bersinar dalam Water For Elephants. Keserasian di antara Jacob dan gajah bernama Rosie lebih dirasai. Penulis skrip, Richard LaGravenese (P.S. I Love You, 2007) bijak membina hubungan unik di antara dua mamalia tersebut.

Ada minit-minit filem ini kehilangan genggaman, membuatkan penonton mahu cepat berakhir. Apatah lagi ia berjalan tanpa sebarang kejutan dan boleh dibaca seperti kebiasaan novel cinta.

Begitupun, sebagai peminat filem tanpa CGI melampau, saya berterima kasih kepada Francis Lawrence (I Am Legend, 2007).

Dia mengembalikan pengalaman tontonan filem-filem klasik Hollywood yang mudah, ringkas dan menghiburkan. Nilai produksinya tinggi dengan sinematografi, set dan kostum yang cantik serta skor muzik James Newton Howard yang efektif.

Thursday, May 5, 2011

PENUNGGU ISTANA (2011)

Realiti rekaan


LAKONAN lima orang pelajar dalam filem Penunggu Istana ini benar-benar terasa tulen.


PENUNGGUIstana diiklankan sebagai filem realiti seram pertama Malaysia. Penerbit menguar-uarkan ia adalah cantuman pita rakaman sebenar lima pelajar yang membuat kajian paranormal di sebuah rumah tinggal yang dikenali sebagai Istana Billah di Papan, Perak.

Kajian ini adalah rentetan beberapa insiden aneh yang pernah dialami krew produksi drama Warkah Terakhir: Rosli Dhoby yang disiarkan di Astro Citra pada 2009. Dibantu pasukan paranormal terkenal Seekers, lima pelajar itu cuba 'mendekati' keanehan tersebut sebagai tugasan pengajian mereka.

Saya mahu mempercayai ini adalah sebuah dokumentari, bukan satu rekaan. Bagaimanapun, beberapa sebab secara tidak sengaja telah membocorkan rahsia bahawa ia adalah lakonan semata-mata (ketika itu saya baru bercadang untuk menonton).

Antaranya, gambar publisiti yang disiarkan di merata media menunjukkan lima pelajar beraksi di tangga Istana Billah seperti artis. Apatah lagi salah seorang daripadanya ialah Sara Ali, pelakon yang sedang mencipta nama (atau mungkin ketika penggambarannya Sara belum lagi menjadi pelakon profesional?)

Barangkali penerbit/pengedar harus lebih berhati-hati dalam merancang strategi pemasaran filem seperti ini.

Namun demikian, ia tidak mengurangkan keinginan saya untuk menyaksikannya. Seperti mana acuan The Blair Witch Project (1999) dan Paranormal Activity (2007), Penunggu Istana adalah sebuah mockumentary - sebuah naskhah fiksyen yang dipersembahkan dalam format dokumentari.

Harus diakui, helah Penunggu Istana berjaya pada beberapa minit pertama. 'Lakonan' lima pelajar dengan kehadiran pasukan Seekers terasa tulen. Sisi nakal dan lepas laku Sara, Yaya, Fira, Mus dan Amar ditampilkan bersahaja, masing-masing dengan karakter tersendiri yang melengkapi pembinaan sebuah plot.

Beberapa shot di dalam istana berjaya membangkitkan mood seram, terutamanya shot statik hasil kamera pacak untuk merakam entiti halus. Ia membangkitkan perasaan resah secara semula jadi, sama ada lembaga akan muncul ataupun tidak. Babak-babak awal berjaya disempurnakan dengan baik.

Kewujudan sebuah bilik yang dimangga pintunya juga adalah satu helah berkesan untuk kisah rumah berpuaka dan penonton tidak semestinya diberitahu apa yang ada di dalam. Sayangnya, lima pelajar itu hanya berminat untuk merakam 'hantu' tanpa menyelidik latar sejarah Istana Billah.

Saya tertarik dengan idea apabila pelajar cuba 'menipu' dengan penghasilan visual palsu untuk mendapatkan lebih markah. Ini adalah paparan realiti secara sinikal, di mana kita sebagai penonton sentiasa mahu dimomokkan dengan sesuatu yang boleh dilihat secara jelas dengan mata kasar.

Menginjak ke pertengahan sehingga ke hujung filem, beberapa aspek ketulenan mula hilang. 'Lakonan' Fira sudah nampak dibuat-buat dan babak pertelingkahan sesama mereka terasa lemah. Saya tidak dapat menangkap emosi marah bercampur takut yang sepatutnya dirasai kelima-lima pelajar tersebut.

Kerana filem ini dibikin sebagai sebuah dokumentari, penonton berhak untuk mempersoalkan logiknya. Bayangkan apabila sesuatu yang benar buruk sudah berlaku (sebagai contoh, Amar tiba-tiba hilang dan kelibat seakan hantu mula kelihatan), mengapa mereka masih lagi mahu berkeliaran di situ?

Saya memahami jika Penunggu Istana sebuah cereka fiksyen. Ada sebab mereka terus berada di situ untuk dijadikan cerita. Tetapi ini dokumentari.

Sepatutnya, pelajar cuba keluar dari istana dan mendapatkan bantuan. Apatah lagi pada babak awal, istana itu ditunjukkan tidak jauh dari jalan raya.

Apabila babak berbunuhan ditunjukkan, saya bertambah kecewa kerana ia tidak masuk akal. Jika benar ada yang mati di Istana Billah, sudah pasti berita itu pernah disiarkan di surat khabar. Ia satu kejadian tragis, bukan sekadar kes kematian terpencil.

Filem sebegini sepatutnya ditamatkan dengan kesudahan yang lebih tergantung dan misteri sifatnya. Saya yakin penonton tidak kisah untuk 'ditipu' jika mereka memang bersedia untuk itu, tetapi iklan filem ini tidak seperti yang disarankan.

Bagaimanapun, melihatnya dari sudut positif, Penunggu Istana menjadi perintis kepada subgenre filem seram tempatan yang sudah dimulakan di luar negara sejak sedekad lalu.