Thursday, May 26, 2011

NUR KASIH THE MOVIE (2011)


‘Cahaya yang terlalu terang’

APABILA sesebuah produk itu disanjung dan diterima ramai, produk susulannya pasti berdepan dengan cabaran dan kesukaran yang bukan sedikit.

Nur Kasih The Movie adalah filem yang menerima tekanan itu selepas siri televisennya (2009) mencetuskan fenomena dengan 19 juta penonton.

Filem ini bergerak dari dasar cerita yang sudah diwujudkan dalam drama 26 episod. Kepada mereka yang sudah lupa atau tidak pernah mengikuti sirinya, usah bimbang kerana versi filem mampu berdiri sendiri tanpa banyak berkait dengan peristiwa lalu.

Apa yang dilakukan Mira Mustaffa selaku penulis skrip ialah membangunkan lagi watak-watak utama dan mengembangkan jalan cerita, enam tahun selepas kisah di dalam sirinya berakhir.

Aidil, anak sulung dalam keluarga Ustaz Hassan kini bergelar duda anak dua selepas isterinya meninggal dunia. Manakala adiknya, Adam dan isteri, Nur Amina terus berusaha mendapatkan zuriat dan menjadi sukarelawan di pusat perlindungan remaja terbiar.

Keguguran yang dialami Nur Amina memutuskan mereka suami isteri untuk menunaikan umrah, sekali gus bercuti di Jordan.

Namun, mereka ditimpa kemalangan di sana seterusnya mencetuskan satu lagi berita buruk. Adam berdepan maut ekoran kecederaan lamanya semasa berkhidmat di Mumbai.

Satu demi satu musibah menimpa, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Bayangkan dalam durasi satu jam 34 minit, penonton disogokkan dengan sebanyak mungkin kesedihan menyebabkan saya berasa sedikit penat.

Saya menyifatkan Nur Kasih The Movie sebagai sebuah projek yang sangat bercita-cita tinggi. Itu tidak salah kerana pihak produksi terutamanya pengarah Kabir Bhatia sudah tentu mahu memberikan yang terbaik dan menjangkaui standard siri televisyen.

Bagaimanapun, impian itu tidak dapat dicapai sepenuhnya. Terlalu banyak yang ingin diceritakan dalam waktu yang singkat sehingga penonton tidak sempat merasa kesannya.

Tidak dinafikan dialog-dialog tulisan Mira tepat, mendalam dan berkesan, tetapi lakon layarnya agak gelojoh. Sebagai naskhah bergenre drama, Nur Kasih The Movie tidak menampakkan sifat-sifat ringkas tetapi menyentuh seperti yang pernah ditunjukkan Kabir dalam Cinta (2006).

Segalanya mengenai filem ini adalah ‘besar’ – konfliknya, efeknya dan bajetnya - sehingga kelihatan terlalu mencuba dan memaksa penonton untuk menangis atau bersimpati.

Nur Kasih The Movie seperti suluhan cahaya yang terlalu terang sehingga menyilaukan mata dan meresahkan jiwa.

Saya tidak pasti jika Mira sengaja mengambil semangat filem Hindustan dalam membentuk karya ini menjadi sebuah melodrama.

Biar apa pun rujukan atau formulanya waima dari Bollywood sekali pun, bagi saya itu tidak salah. Yang saya terkilan ialah perasaan semasa menonton filem tidak mencengkam seperti menonton siri tv.

Sementara itu, adegan yang menggunakan imej janaan komputer (CGI) agak janggal. Ia mungkin lulus untuk skala televisyen, tetapi tidak bagi layar lebar.

Benar, Nur Kasih The Movie bukanlah sebuah filem efek khas tetapi itu bukan alasan untuk ia dibikin ala kadar. Beberapa babak yang membabitkan CGI agak penting dan menjadi kunci cerita.

Mujurlah penonton sudah begitu dekat dengan karakter Adam, Nur Amina dan Aidil. Barisan pelakon seperti Remy Ishak, Tiz Zaqyah serta Fizz Fairuz menyambung kecemerlangan dan menumbuhkan jiwa yang lebih besar. Mereka membuatkan kita percaya kewujudan mereka sebagai insan sebenar.

Filem ini diakhiri dengan sedikit kejutan. Ia membayangkan jika ada sekuel, Nur Kasih The Movie barangkali akan bermula dari generasi anak-anak Adam, Nur Amina dan Aidil pula.

Kerana kejutan itu juga, filem ini dibuka dengan suara seorang lelaki sebagai pencerita. Suara Datuk Rahim Razali yang begitu tersendiri dan ikonik, mengingatkan saya kepada pembukaan filem Puteri Gunung Ledang (2004), dengan lenggok tutur dan intonasi serupa.

Apabila sesebuah produk itu disanjung dan diterima ramai, produk susulannya pasti berdepan dengan cabaran dan kesukaran yang bukan sedikit. Saya percaya jika Nur Kasih The Movie diterbitkan dulu sebelum siri televisyen, penerimaan saya terhadap filem ini akan berbeza.

1 comment:

zubin said...

mungkin selepas ini akan dijadikan sebuah teater muzikal pula di Istana Budaya