Antara sesat dan seronok
KARAK merupakan filem KRU Studios yang ketujuh dan yang keempat arahan Yusry Abdul Halim.
Sebagai pengarah yang terkenal dengan kehandalannya bermain efek khas, filem ini dilihat sebagai naskhah yang paling minimal dalam aspek tersebut berbanding Cicak-Man (2006), Cicak-Man 2 (2008) dan Hikayat Merong Mahawangsa (2011).
Bagaimanapun, itu tidak bermakna Karak ialah sebuah filem yang mudah dibikin, lebih-lebih lagi apabila jalan cerita dijadikan pertaruhan utama.
Sesuatu yang patut dipuji mengenai KRU ialah kepintaran mereka dalam memanipulasi atau menjenamakan sesuatu yang lama kepada yang baru.
Lihat saja bagaimana Magika (2010) terhasil dengan himpunan karakter-karakter dongeng rakyat yang disatukan dalam sebuah fiksyen moden.
Taktik untuk Karak juga serupa iaitu adaptasi legenda urban lebuh raya itu yang sering didengar dalam pelbagai versi dari satu generasi ke generasi yang lain.
Dari segi pemasaran, ia sangat berkesan kerana idea sebegini sangat dekat dengan masyarakat dan mampu menarik mereka ke pawagam.
Karak 'versi' KRU mengisahkan empat pelajar kolej yang sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan, Pahang dari Kuala Lumpur. Akibat kesesakan menuju ke lebuh raya, Nik, Zura, Jack dan Ida memilih sebatang jalan lama tanpa mengetahui jalan itu berpuaka.
Semasa mereka berhenti untuk mencari tandas, Jack mengalami halusinasi (atau mungkin benar-benar berlaku). Sebagai seorang yang tidak percayakan hantu, dia 'ditemukan' dengan seorang budak berpakaian sekolah yang matanya berdarah dan ibunya, hantu penanggal yang asalnya cantik berkebaya.
Perjalanan menjadi semakin menakutkan apabila kereta mereka diekori Volkswagen kuning tanpa pemandu, tetapi penumpangnya ialah wanita berkebaya tadi. Dan akhirnya kereta mereka terbabas kerana cuba mengelak dari melanggar anaknya yang tiba-tiba berdiri di tengah-tengah jalan.
Terkandas di dalam hutan tebal, mereka tumpang berlindung di sebuah pondok buruk milik Tok Malam. Di situ, mereka mendapat jawapan asal-usul kewujudan hantu yang menganggu mereka - arwah isteri Tok Malam 'membela' makhluk halus - dan empat sekawan itu terus-terusan dikacau kerana lemah iman.
Selaku penulis skrip, Norman Abdul Halim mengumpulkan beberapa mitos lazim lebuh raya Karak untuk dijadikan cerita yang berlaku dalam satu malam.
Malah filem ini juga dimulakan dengan salah satu mitos yang paling popular, iaitu seorang suami yang mencari pertolongan kerana kereta rosak dan meninggalkan isteri serta anak di dalam kereta di tepi hutan.
Tidak dinafikan, babak-babak awal pada 20 minit pertama menimbulkan perasaan kurang selesa pada saya. Yusry berjaya membangkitkan mood seram tipikal sebuah filem hantu di mana penonton berasa cukup debar, di antara mahu menonton atau memejamkan mata, tanpa efek bunyi berlebih-lebihan.
Saya mungkin peminat 'hantu konvensional' yang lebih teruja dimomokkan dengan kelibat dan bayang, serta makhluk yang wujud secara fizikal.
Justeru, apabila rupa hantu-hantu seterusnya diadunkan dengan teknologi imej janaan komputer (CGI), saya berasa sedikit janggal dan lebih menganggapnya sebagai gula-gula mata yang menyeronokkan berbanding menakutkan.
(Amaran: perenggan seterusnya mendedahkan penamat. Jika anda belum menonton filem ini, mungkin anda mahu berhenti membaca.)
Karak diakhiri dengan kejutan. Bagaimanapun, rasanya kejutan itu lebih berkesan dan bermakna jika roh masing-masing digambarkan melihat mayat mereka, bukan hanya Nik dan Zura. Ini penting untuk menunjukkan bahawa di saat itulah baru mereka sedar yang mereka sebenarnya sudah mati.
Tanpa babak itu, saya agak 'sesat'. Jika hanya Zura yang masih hidup, babak-babak tanpa Zura adalah dari 'point of view' siapa? Misalnya, babak Ida mengejar abangnya. Jika itu sebenarnya sekadar roh Ida yang tidak aman, mengapa dia ditunjukkan mati sekali lagi dengan batang kayu terpacak di kepala?
Mungkinkah Norman dan Yusry memang sengaja ingin menimbulkan intrig dengan paparan hantu mengganggu roh-roh yang berkeliaran? Rasanya filem ini boleh menjadi lebih menarik jika kejutannya itu diperkemaskan.
Selebihnya, Karak menepati takrifan filem bertih jagung yang dapat memenuhi cita rasa penonton yang mahu bersantai sambil menyaksikan kisah-kisah yang selama ini hanya menjadi buah mulut. Pemilihan muka-muka baru yang menjadi tunggak utama juga sesuai dan mempunyai keserasian.
No comments:
Post a Comment