Perlukan lebih 'watt'
SEBELUM ini, filem-filem seperti X-Men atau Spider-Man dilihat sebagai sebuah naskhah aksi; diletakkan dalam satu kategori yang lebih umum sifatnya. Bagaimanapun, lewat kebelakangan ini (terutamanya setiap kali musim panas), filem-filem superhero sudah pun dikhususkan dalam genrenya sendiri.
Ini menandakan permintaan yang tinggi terhadap filem-filem adaptasi komik dan kebanjirannya membuatkan penerbit lebih kompetetif.
Pembikinannya diambil serius, bukan saja dari aspek teknikal seperti efek khas dan lagak ngeri, tetapi dari sudut penceritaan yang lebih kemanusiaan dan 'berisi'.
Green Lantern meneruskan legasi komik DC seperti Superman dan Batman yang dibawa ke layar perak.
Walaupun asas penceritaannya sama - seorang lelaki biasa yang bertukar sifat menjadi luar biasa - Green Lantern cuba menawarkan plot yang lebih mistikal dengan mengaitkan kuasa dari angkasa. Hal Jordan ialah seorang pemandu pejuang yang 'dipilih' oleh kuasa cincin kepunyaan Abin Sur yang sedang nazak.
Insan terpilih ini bakal meneruskan perjuangan komuniti The Green Lantern di Planet Oa yang dinaungi sekumpulan penjaga yang dipanggil The Guardian untuk membanteras kejahatan.
Untuk seorang yang bukan pengikut komiknya, kefahaman saya terhadap jalan cerita Green Lantern hanya setakat itu. Saya percaya falsafah dari komik asal lebih mendalam, bercerita tentang ketamakan dan perebutan kuasa dengan karakter-karakter berat seperti Sinestro, Kilowog atau Tomar-Re.
Namun, cara skrip ditulis membuatkan saya tidak mahu ambil peduli. Apa yang ingin ditonjolkan hanyalah transformasi Hal menjadi Green Lantern, sedikit rencah cinta di antara Hal dan rakan lamanya, Carol Ferris serta keinginan Dr. Hector Hemmond untuk diperhatikan sehingga dia bertindak di luar batas.
Saya tidak pasti jika itu memang disengajakan kerana tempoh tayangan yang terhad atau supaya penonton lebih mudah menghadamnya, terutama sekali kanak-kanak.
Kerana filem ini diterbitkan dalam kepesatan genre adiwira, imej janaan komputer (CGI) yang digunakan tidaklah 'wow', malah terasa seperti tiada apa-apa kemajuan. Rasanya sepuluh tahun dulu pun, teknologi seperti dalam Green Lantern sudah mampu dihasilkan.
Cincin ajaib menjadi elemen terpenting atau mungkin alasan paling kukuh untuk pengarah Martin Campbell (Casino Royale, 2006) menciptakan imej ala kartun apabila Jordan bertukar menjadi Green Lantern.
Penonton 'dihantar' ulang alik dari angkasa ke bumi dalam gerak yang tidak seimbang, malah kuasa di antara Hal dan lawannya, Dr. Hector juga kelihatan tidak setara.
Hal/Green Lantern digambarkan menjalani latihan untuk membiasakan diri dengan kuasa yang dimiliki, sedangkan kuasa yang diperolehi Dr. Hector adalah secara tidak sengaja iaitu melalui jangkitan radiasi.
Begitupun, dari mana sumber kuasa sebenarnya tidak penting, namun ia menjadikan pertarungan terakhir nampak terburu-buru, tidak mendebarkan dan berat sebelah. Malah, percaya atau tidak, kebanyakan babak aksi sudah pun disaksikan dalam 'trailer'.
Mark Strong merupakan pilihan yang tepat untuk watak Sinestro. Hubungan panas dingin Sinestro dan Hal mungkin boleh diperkembangkan lagi supaya peminat dapat merasakan talian emosi dan konflik di antara mereka (rujuk perhubungan Peter Parker dan Norman Osbourne dalam tiga filem Spider-Man; 2002-2007).
Ini adalah persiapan sekiranya Green Lantern dibikin untuk sekuel apabila Sinestro beralih arah kepada kuasa jahat.
Lakonan Peter Sarsgaard sebagai Dr. Hector berada pada tahap biasa kerana aktor ini memang sinonim dengan watak antagonis. Apa yang lain barangkali hanyalah bentuk fizikalnya yang lebih kecil dan kurus, serta teknik solekan yang merubah wajah.
Blake Lively juga sekadar pelakon untuk melengkapi plot percintaan. Wataknya tidak memberikan sebarang impak (sekali lagi mengambil contoh Spider-Man) seperti mana penonton percaya dengan perasaan Mary Jane (lakonan Kirsten Dunst) terhadap Peter Parker (Tobey Maguire).
Ryan Reynolds adalah Ryan Reynolds yang biasa kita tonton. Secara keseluruhan, dia tidaklah mengecewakan, tetapi tidaklah juga mengagumkan.
Watak Hal/Green Lantern di tangannya adalah sifat biasa Reynolds - komikal, acuh tidak acuh tetapi masih heroic - yang pernah kita saksikan dalam sitkom Two Guys, a Girl and a Pizza Place (1998-2001) atau Van Wilder (2002).
Green Lantern tidak termasuk dalam senarai filem musim panas pilihan, apatah lagi filem superhero yang akan terus dikenang. Cahaya lantera hijaunya perlukan kuasa 'watt' yang lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment