Tolong beri perhatian!
SEBAIK saja memasuki arus perdana, James Lee sangat sinonim dengan subjek seram. Ini dapat dilihat menerusi tiga filem cerekanya yang dibiayai Tayangan Unggul iaitu Histeria (2008), Sini Ada Hantu (2011) dan terbaru, Tolong! Awek Aku Pontianak (TAAP). Histeria merupakan naskhah serius sementara dua lagi berunsur komedi.
TAAP mengisahkan Bob, satu karakter antihero iaitu lelaki yang lurus dan lembik, baru ditinggalkan kekasih mata duitan. Akibat kesempitan wang, dia dan rakan serumahnya, Pian berpindah ke sebuah apartmen yang lebih murah sewanya tetapi sunyi, usang dan menakutkan.
Di sini mereka berjiran dengan pontianak bernama Maya dan adiknya, Liyana yang bersembunyi dari komuniti manusia. Mahu menjalani hidup seperti orang biasa, Maya terpikat dengan keikhlasan Bob lalu jatuh cinta. Namun, kerana kehidupan alam yang berbeza, Maya terpaksa berterus-terang tentang keadaannya.
Ibarat parodi terhadap lambakan siri dan filem vampire Hollywood, TAAP terhasil sebagai filem yang diakui mengarut tetapi padat hiburan. Lee mempunyai deria humor yang baik dan bersahaja. Walaupun merepek tetapi tidak menjengkelkan atau menghina pemikiran penonton.
Filem ini juga seperti satu penghormatan terhadap karya Mamat Khalid, Kala Malam Bulan Mengambang (2008) yang turut menampilkan karakter pontianak. Ini secara jelas dipaparkan menerusi poster filem itu yang tertampal di dinding rumah Bob dan babak Maya menangis ketika menyaksikan filem tersebut.
Lee menyusun naratif dengan baik. Meskipun ada beberapa ketika terasa seperti meleret dan ‘sepi’ walaupun babak itu sedang huru-hara, terutamanya pada beberapa minit pertama. Bagaimanapun, saya suka dengan caranya menceritakan setiap karakter kerana mempunyai perincian yang lengkap.
Watak kekasih lama Bob iaitu Ina ialah seorang manusia yang bersifat pontianak – ‘menghisap darah’ iaitu memerah keringat Bob dengan meminta-minta dari segi material. Dia meninggalkan Bob kerana mahu bersama jejaka kaya, Eddy.
Sebaliknya, Maya ialah pontianak yang bersifat kemanusiaan, jujur mencintai Bob. Ini dibuktikan dalam satu babak di mana Maya terpaksa menolak gelora nafsu untuk menjilat luka di jari Bob yang terkena pisau. Dia juga berhasrat meninggalkan Bob, tetapi kerana terpaksa demi kebaikan lelaki itu.
Hubungan Bob dan Pian juga direka dengan berani. Jarang sekali filem tempatan menampilkan idea bromance’, satu terma moden yang merujuk kepada hubungan sesama lelaki sejati yang sangat akrab (contoh filem I Love You, Man, 2009). Hubungan seperti ini secara semulajadinya mengundang ketawa kerana ia mungkin meragukan, tetapi tidak memualkan.
Begitu juga dengan watak bodoh sombong ketua kerja Bob iaitu Faizal dan Kamal serta pawang penghalau hantu, Aaron Slam Bach dan pembantunya yang sangat komikal. Lee beruntung kerana watak-watak ini direalisasikan pelakon yang bijak dan tepat seperti Harun Salim Bachik yang memang ketara kebolehannya.
Zahiril Adzim membuatkan penonton percaya terhadap Bob. Dia mampu berkongsi rasa dengan penonton – sedih, simpati, gembira, takut dan teruja, apatah lagi bila digandingkan dengan Sazzy Falak.
Mereka mungkin bukan pasangan ideal di realiti, tetapi dalam filem ini, mereka nampak secocok kerana tahap lakonan yang setara mencetuskan keserasian yang sempurna. Liyana Jasmay sebagai Liyana juga meneruskan lakonan yang selamba seperti dalam kebanyakan filemnya.
Sufian Mohamed yang selama ini tidak disedari kewujudannya (pernah berlakon Sini Ada Hantu dan Seru, 2011) kini dicop sebagai pelawak oleh penonton arus perdana kerana kejayaan menggalas watak Pian.
Sementara itu, Nurul Wahab yang selama ini lebih dikenali sebagai penyanyi membuktikan dia berbakat besar sebagai pelakon. Babaknya tidak banyak, tetapi watak Nadia Langsuir sebati dengannya. Momen pertarungan terakhir di antara kuasa jahat Nadia dengan kuasa baik Maya dan Liyana menjadi babak klasik.
TAAP memang bukan material untuk menang anugerah, walaupun dari aspek penceritaan, ia jelas menghiburkan. Saya juga tidak pasti jika filem ini bakal memungut kutipan berjuta-juta kerana pengarah dan pelakonnya tidak tersenarai dalam kategori artis sensasi dan paling popular.
Mungkin filem ini diklasifikasikan sebagai jenaka bandar, tidak seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) yang dilabel sebagai jenaka kampung. Namun, TAAP wajar diberikan perhatian kerana ia sememangnya dibikin untuk penonton massa.
No comments:
Post a Comment