Sekali dan berhasil
Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
SAYA kurang pasti mengapa penerbit melabelkan Sekali Lagi sebagai filem komedi romantik. Dua atau tiga babak yang membuatkan penonton ketawa bukanlah ukuran untuk sesebuah naskhah itu diklasifikasikan sebagai karya jenaka. Barangkali label sebegitu lebih mudah untuk menarik khalayak.
Bagaimanapun, filem sulung arahan Hashim Rejab (pengarah drama bersiri, Adamaya, 2010) ini berbaloi untuk ditonton dalam masa satu jam 26 minit.
Sekali Lagi mengisahkan Arman, seorang lelaki penghidap autisme yang secara tidak sengaja berkenalan dengan anak kecil bernama Amy.
Sering menghabiskan masa bersama, bagaimanapun segalanya menjadi kacau apabila ibu Amy, Shila mengetahui perhubungan mereka. Arman sebenarnya ialah bapa Amy yang meninggalkan Shila semasa dia hamil.
Shila yang marah dan berdendam menghalang anaknya berkawan dengan Arman, dalam masa sama keliru terhadap kelakuan Arman yang keanak-anakan. Arman yang dikenalinya dulu ialah seorang lelaki normal.
Rahsia di sebalik kehilangan Arman dibongkar. Shila yang selama ini menjalani hidup sendiri berada dalam dilema - untuk menerima kehadiran Arman sekali lagi dalam 'sifat' yang baru serta menerima lamaran Haris, seorang pemuda sederhana yang ikhlas ingin menjaganya.
Tidak keterlaluan jika Sekali Lagi disifatkan sebagai filem terbaik terbitan Metrowealth dari aspek penceritaan. Walaupun diterangkan berselang-seli dengan babak imbas kembali, konsentrasi penonton tidak terganggu.
Plot yang agak rumit disampaikan dengan baik dan jelas, meskipun terdapat beberapa kejanggalan di sana-sini.
Babak-babak awal kelihatan terlalu berusaha untuk membuat penonton ketawa (mungkin kerana terikat dengan label komedi, maka Hashim terpaksa mencipta adegan komikal).
Ada yang menjadi, tetapi kebanyakannya terasa seperti 'salah tempat', misalnya ketika Amy menyelamatkan Arman dari dirompak dengan melastik penjahat.
Sementara itu, sub plot Farina sebagai wanita muslihat yang bakal berkahwin dengan Arman tidak dikukuhkan.
Ini jelas terasa apabila penonton tidak peduli pun kepada karakter itu. Farina mudah dilupakan walaupun kehadirannya mampu mencetuskan lebih konflik.
Penyesalan Farina pada penghujung cerita juga ditulis dengan longgar, seolah-olah asalkan selesai.
Sekali Lagi sangat beruntung kerana dibarisi pelakon yang popular dan pernah merangkul gelaran terbaik. Kelemahan dan kecacatan tadi ditutup dengan keupayaan mereka mewarnakan peranan masing-masing, terutamanya adik Mia Sara Nasuha yang bukan saja comel, tetapi petah dan bersahaja.
Mungkin tidak adil untuk membandingkan lakonan Mia dengan Dakota Fanning dalam I Am Sam (2001) kerana usia yang berbeza, tetapi impak yang diberikan Mia hampir serupa.
Penonton ketawa dan bersimpati dengannya, dan yang membuatkan Mia lebih hebat apabila proses memasukkan suara dilakukannya sendiri (yang mana sesetengah pelakon baru dewasa pun tidak mampu).
Mia melengkapkan lakonan Lisa Surihani yang dapat mengimbangi emosinya agar tidak berlebih-lebihan.
Saya merasakan karakter ini lebih berat dan multi-dimensi berbanding wataknya dalam Legenda Budak Setan (2010). Cuma terdapat sedikit gangguan konsistensi, bukan pada persembahan Lisa, tetapi lakon layarnya.
Shila yang pada mulanya melarang Amy untuk bertemu Arman, mula mendekati bekas suaminya semula untuk mengetahui mengapa Arman tiba-tiba mengidap autisme.
Bagaimanapun, pada beberapa babak kemudiannya, Shila kembali membenci Arman, tanpa ditunjukkan dengan terang jiwa Shila sedang bercelaru.
Shaheizy Sam pula sebagai Arman menjadi gula-gula mata kepada peminat. Apa saja perbuatannya, lebih-lebih lagi sebagai orang dewasa yang kurang sihat, dianggap sesuatu yang comel dan memikat hati.
Namun begitu, Shaheizy seharusnya sedar watak Arman lebih dari sekadar untuk tampil sebegitu rupa.
Rujukan terdekat ialah watak Sean Penn dalam I Am Sam (2001) dan Shah Rukh Khan dalam My Name Is Khan (2010). Dua pelakon ini menangani peranan orang kurang upaya dengan lebih kemas dan lebih dipercayai. Sam perlu mendalami dunia autisme agar lakonannya tidak nampak terlalu dibuat-buat.
Bagaimanapun, dalam kuantiti filemnya yang banyak, Shaheizy ada usaha mempelbagaikan persembahan.
Saya setuju bagaimana Hashim menamatkan dilema Shila. Ia menggambarkan realiti, bukan satu dongeng Hindustan dan memberikan keadilan kepada semua pihak.
Mahu saja saya meminta David Teo membetulkan semula label 'komedi romantik' yang tertera di poster filem, kerana Sekali Lagi sewajarnya dihargai sebagai naskhah yang serius.
1 comment:
belum berkesempatan untuk menonton
apa2 pun melalui cakap rakan2 saya lakonan pelakon semua mantap2
cuma jalan ceritanya sedikit lemah
Review Filem Harry Potter And Deathly Hallows Disini
Post a Comment