Semangat baru, jiwa lama
SELEPAS kali terakhir mengarahkan filem Senario Pemburu Emas Yamashita (2006), Aziz M. Osman memberanikan diri membikin semula filem popular Azura (1984). Turut bertindak selaku penerbit dan penulis skrip, keputusan itu adalah satu risiko yang amat besar kerana perbandingan pasti akan dibuat.
Azura versi lama diarah dan diterbit Deddy M. Borhan. Jalan ceritanya ringkas, tentang cinta antara dua darjat dan berakhir dengan kegembiraan. Kuat dengan elemen ala Hindustan dan melodrama, ia meletup di pawagam kerana gandingan Ogy Ahmad Daud dan Jamal Abdillah.
Azura yang lama dianggap legenda kerana ia filem berstatus senior, tetapi harus diingat, senior tidak semestinya sempurna. Perbandingan secara terus barangkali tidak adil untuk Aziz, namun penonton mempunyai contoh atau asas untuk menilai jika Azura versi baru berjaya memenuhi citarasa mereka.
Azura hari ini ialah watak seorang gadis yang bercita-cita tinggi. Dia tekun belajar dan bekerja sambilan demi mencari wang poket. Azura digambarkan sebagai gadis yang tahu merancang masa depannya dan mahu mengubah nasib.
Ini berbeza dengan karakter Azura 28 tahun lalu yang 'clueless' dan hanya mengikut arus hidup yang tidak pasti. Aziz memberikan lebih 'empowerment' kepada Azura hari ini agar relevan dengan semangat wanita generasi milenium.
Latar wataknya yang tinggal bersama ibu saudara masih sama, tetapi disesuaikan dengan situasi moden. Azura kini dipaksa menyertai skim jualan langsung, berbanding Azura dulu yang membantu ibu saudara berniaga di kedai makan.
Sementara itu, watak Zek yang dulunya jaguh motor scrambler, kini ditukar kepada jaguh sukan paintball. Ciri-cirinya sebagai anak orang berada dan berpengaruh masih kekal (untuk mencipta konflik cinta dua darjat), tetapi 'disenyapkan' oleh semangat Azura yang lebih matang, kental dan cekal.
Pendek kata, Aziz menjadikan Azura sebagai 'hero', menukar stereotaip yang dicipta dalam versi Deddy M. Borhan di mana Zek yang lebih banyak memimpin dan membuat keputusan untuk Azura. Babak Azura menampar Zek di dalam versi baru adalah contoh 'kekuasaan' wanita yang ingin ditampilkan Aziz.
Bagaimanapun, menjadikan babak itu sebagai permulaan Zek jatuh cinta kepada Azura adalah faktor yang lemah. Memang tidak mustahil, tetapi penonton tidak dapat 'menangkap' dan kurang mempercayai perasaan yang tiba-tiba berputik hanya kerana Zek dilempang.
Aziz mencedok beberapa babak asal untuk dimasukkan ke dalam versinya. Antaranya, adegan Zek mencari Azura di dalam kelas untuk menghadiahkan sejambak bunga, malah dialog Jamal Abdillah iaitu "belajar rajin-rajin, jangan jadi macam saya" juga digunapakai semula. Ini satu bentuk penghormatan atau 'homage' yang menarik.
Walaupun plotnya tidak sempurna, sekurang-kurangnya penceritaan Aziz lancar. Masih terdapat persoalan-persoalan yang boleh didebatkan, tetapi ia tidaklah begitu besar sehingga mengganggu dan mengelirukan penonton.
Inilah kelebihan Aziz sebagai pengarah yang pernah membawakan kita filem-filem kesukaan ramai, antaranya Fenomena (1990), siri Puteri Impian (1997, 1999) dan siri XX-Ray (1992, 1995). Aziz juga masih berupaya menjadi 'witty' menerusi beberapa dialog di dalam Azura.
Antaranya, babak Azura mengajak Zek menyapu sampah di kawasan pasar malam selepas dia menyanyikan lagu Malaysia Berjaya. Ironinya, Azura ingin menyampaikan mesej tersirat bahawa kita belum maju dari segi pemikiran.
Namun demikian, ia tidak dapat menutup kekurangan bahawa Azura versi baru berjalan dalam gerak yang perlahan. Ia mengambil masa yang lama untuk penonton merasai dan memahami emosi sebenar filem ini.
Walaupun Aziz cuba memperbaharui naskhah ini menerusi sikap dan perilaku masyarakat, gaya pengarahan Azura masih terperangkap dalam jiwa sinema lama. Ini boleh dilihat menerusi gerak kamera dan suntingan, malah gaya lakonan yang dramatik sedikit lari dari dunia realiti.
Saya sungguh tidak berkenan dengan montaj pembukaan untuk kredit nama pelakon dan tenaga kerja. Neelofa yang membawa watak Azura beraksi seksi dengan pakaian ketat sambil memeluk patung mainan, tersasar dengan imej wanita berdikari dan berani yang ingin ditampilkan.
Montaj ini kelihatan sedikit 'out of place' dan tidak munasabah. Adakah ia dibikin semata-mata kerana ingin meletakkan lagu tema Sandarkan Pada Kenangan yang menjadi lagu 'trademark' Azura?
Aziz pernah membuat montaj serupa untuk filem Idola (2002) dan Bintang Hati (2004), tetapi ia kena gaya kerana Jeslina Hashim dan Amy Mastura, masing-masing memegang watak penyanyi.
Audio filem Azura juga kedengaran mono, tidak tajam dan proses memasukkan suara dilakukan dengan tidak teliti. Paling ketara ialah suara Mak Su, lakonan Erma Fatima yang menggunakan suara orang lain pada separuh filem, dan separuh lagi menggunakan suara Erma yang sebenar.
Sebagai aktres baru, Neelofa tidak mengecewakan. Dia mengisi peranan Azura dengan sifat yang cukup, walaupun dalam beberapa babak intonasinya kedengaran kaku. Neelofa tidak gagal untuk mempamerkan sisi wanita yang cantik, bijak dan tegas, tetapi masih banyak ruang untuk diperbaiki.
Gandingannya dengan Shahz Jaszle juga sepadan. Jaszle menepati ciri-ciri watak Zek dan memainkannya dengan bersahaja, cuma persembahannya mengingatkan peminat dengan drama bersiri Asmara (2010) di TV3.
No comments:
Post a Comment