Filem seram yang efisyen
Sinonim dengan karya berunsur komedi seperti Ngangkung (2010) dan Bini-Biniku Gangster (2011), Ismail Bob Hasim mengarahkan pula filem bergenre seram sepenuhnya. Menerusi filem kelimanya, Bob dan penulis skrip Meor Shariman mempertaruhkan kisah legenda urban dalam Sumpahan Kum Kum.
Mengisahkan Mila seorang gadis kampung yang sering dikeji kerana wajahnya menggerutu. Kerana mahu kelihatan cantik, dia nekad mendapatkan bantuan seorang dukun susuk bernama Mak Tom.
Bagaimanapun, Mila melanggar pantang iaitu untuk tidak memandang cermin selama 44 hari. Dia kemudian terpaksa meminum darah sembilan gadis sunti untuk kembali jelita dan mangsa pertamanya ialah anak Mak Tom sendiri.
Sinopsis itu merupakan babak imbas kembali dalam Sumpahan Kum Kum. Filem ini dibuka dengan mimpi ngeri anak lelaki Mak Tom, Adi seterusnya menerima berita kematian ibunya yang membuka pelbagai rahsia. Dengan bantuan Mak Leh, Adi bertanggungjawab menyelamatkan keluarganya dari terus diganggu.
Saya pasti kita pernah mendengar pelbagai versi hantu kum kum yang popular sekitar era 1980-an dan 1990-an. Seperti siri televisyen Kum Kum (2011) di Astro Ria ( filem ini tiada kena-mengena dengan siri tersebut), ini hanyalah fiksyen rekaan penulis skrip, tidak merujuk kepada satu-satu peristiwa sebenar.
Sumpahan Kum Kum juga tidak sama dengan Susuk (2008), meskipun bertitik-tolak daripada subjek penggunaan jarum mistik untuk cantik dan 'kuasa'.
Sebagai 'kilang' pembuat filem, sepatutnya Metrowealth Movies mempunyai sumber yang cukup untuk menghasilkan naskhah-naskhah yang baik. Kekerapan David Teo menerbitkan filem, termasuk genre seram, seringkali memberikan keputusan atau produk yang hampir sama.
Misalnya, pengarah muzik Metrowealth gemar memainkan skor muzik yang serupa berulang kali. Saya menyedari pada hampir setiap babak, baik sedih, takut mahupun suspen, alat yang sama digunapakai. Perkara ini agak menjengkelkan dan sedikit sebanyak mengganggu mood tontonan.
Mujurlah penceritaan Sumpahan Kum Kum berada di landasan yang lancar, biarpun terdapat beberapa kekeliruan kecil dan kelemahan dari sudut teknikal. Bob dan Meor menghuraikan satu persatu apa yang terjadi dengan berkesan selain meletakkan nuansa seram secukup rasa dan tidak berlebih-lebihan.
Perjalanan hantu kum kum iaitu Mila dibina dengan baik. Bermula dari sejarah wajah hodohnya, roh merayau-rayau di kampung sehinggalah dia mengikut keluarga Adi ke bandar. Filem ini tidak terlepas daripada babak-babak kejutan stereotaip beserta kesan bunyi. Tetapi ia dibikin dengan terkawal.
Adegan kemuncak ketika roh Mila memasuki tubuh Adi boleh disifatkan sebagai yang terbaik. Gerak kameranya efektif, terutama sekali shot dari luar tingkap yang menandakan roh Mila sudah pergi. Namun begitu, kekuatan utama adegan itu terletak pada keberkesanan lakonan Fezrul Khan.
Biji mata yang merah, mulut terkumat-kamit, riak wajah yang menakutkan dan gerak tubuh yang bergelut seorang diri membuatkan penonton terlupa pada persembahannya yang kaku dalam beberapa babak awal.
Mungkin bukan salah Fezrul tetapi bunyi dubbing yang tidak seimbang, begitu juga dialog-dialog yang tidak kedengaran natural 'melemahkan' lakonannya. Keserasian dan kemesraan di antara Adi (Fezrul) dengan isteri, Nurul (Putri Mardiana) dan anaknya, Tini (Farisha Fatin Faizal) nampak sedikit dibuat-buat.
Saya suka babak imbas kembali ketika Mak Tom membunuh Mila. Komposisi warna dan letak duduk kamera dari bawah yang melihatkan wajahnya tersenyum dalam busana tradisi memberikan perasaan filem-filem seram klasik. Lydiawati menepati kriteria watak Mak Tom yang rupawan tetapi misteri.
Bagaimanapun saya kurang bersetuju dengan pencahayaan babak-babak malam dalam filem ini. Misalnya suasana yang cerah di tanah perkuburan serta lampu yang seakan-akan diletakkan di bawah kaki pelakon semasa babak dalam kereta.
Merujuk kepada kekeliruan kecil yang berlaku dalam penceritaan, ia mungkin tidak memberikan kesan besar tetapi tetap menimbulkan persoalan.
Misalnya adakah Mila sengaja memilih anak Mak Tom sebagai mangsa pertama atau kebetulan? Mengapa Nurul masih sambil lewa terhadap kawan khayalan anaknya, Tini sedangkan dia pernah melihat kelibat Mila?
Dan babak 'twist' paling akhir yang saya kurang jelas maksudnya (atau ia sekadar dibikin sebagai petanda filem ini bakal disambung?)
Secara keseluruhan, Sumpahan Kum Kum adalah usaha terbaik Bob setakat ini. Walaupun digerakkan dengan tenaga kerja yang sama daripada Metrowealth, penonton dapat membezakan gaya pengarahannya dengan filem-filem seram Azhari Zain seperti Santau (2009), Mantera (2010) dan Keramat (2012).
Syazwan Zakariah ialah seorang penonton wayang tegar. Bertugas sebagai Pengarang Hiburan Astro Awani.
No comments:
Post a Comment