Tiada faktor-x
Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my
The Viral Factor dibuka dengan babak pasukan polis daripada International Disease Commission(IDC) cuba membawakan seorang saintis dan keluarganya keluar dari Jordan. Dianggotai Jon dan diketuai oleh Sean, misi mereka diserang, lalu mencetuskan pertempuran ala filem Black Hawk Down(2001).
Jon kemudian ditembak di kepala dan Sean didedahkan sebagai pembelot yang menjadi dalang di sebalik serangan tersebut.
Saintis itu dilarikan ke Malaysia dengan tujuan mencipta penawar bagi sejenis virus cacar merbahaya. Sean dan konco-konconya mahu meraih kekayaan menerusi penjualan vaksin dan ubat kepada virus yang bakal mereka sebarkan bermula di perairan pantai timur negara ini.
Jon terselamat, tetapi peluru di dalam tengkoraknya tidak mampu dikeluarkan, menyebabkan dia mempunyai jangka hayat yang tidak panjang. Kunjungannya ke Beijing untuk bertemu ibu yang lumpuh membuka rahsia keluarga. Dia sebenarnya mempunyai seorang abang yang ditinggalkan bersama bapanya.
Plot seterusnya memperkenalkan penonton dengan Rachel Kan, seorang pakar virus yang menaiki penerbangan yang sama ke Kuala Lumpur. Cubaan menangkap Rachel digagalkan oleh Jon, yang kemudian mengetahui bahawa penjahat itu ialah abangnya, Man Yeung yang baru dibebaskan dari penjara.
Yeung mempunyai seorang anak, Champ yang tinggal bersama datuknya yang berkaki tempang. Selepas melalui beberapa 'siri' kebetulan, Yeung dan Jon bersepakat untuk menghapuskan Sean dan kumpulannya. Nyawa Rachel dan Champ dalam bahaya dan penyebaran virus itu harus dihentikan.
Dengan bajet lebih RM60 juta dan menjadi produksi termahal yang dikendalikannya, Dante Lam (The Beast Stalker, 2008; The Stool Pigeon, 2010) bercita-cita sangat tinggi. Daripada sedutan treler lagi, kita dapat merasai bahang Hollywood yang cuba ditampilkan.
Cita-cita Lam bukan saja untuk menghasilkan filem aksi penuh efek, letupan dan kejar-mengejar, tetapi mempunyai weight pada jalan cerita. Lam dengan bantuan penulis skrip Jack Ng ingin menghasilkan sebuah naskhah yang berisi dan kelihatan pintar apabila mengutarakan isu sains dan pandemik global.
Plotnya mempunyai sedikit bayangan filem Mission Impossible II (2000) arahan John Woo (ejen Ethan Hunt dihantar ke Sydney untuk memusnahkan virus Chimera). Perkara ini mungkin sekadar kebetulan, walaupun hasil kerja Lam sering dibandingkan dengan Woo kerana mempunyai 'getaran' serupa.
Menolak faktor dialek yang bercampur-campur (Jon bercakap dalam Mandarin, Yeung bertutur dalam Kantonis dan Sean bercakap dalam bahasa Inggeris), saya merasakan terlalu banyak yang hendak diceritakan dalam The Viral Factor.
Hubung kait di antara setiap watak mencetuskan terlalu banyak kebetulan menyebabkan naratif dan pembinaan plot tidak seimbang. Kisah virus yang dijadikan tajuk filem - yang sepatutnya diutamakan - tenggelam timbul di sebalik aksi, letupan, tembak-menembak dan segala macam perkelahian.
Dalam masa sama, Lam dan Ng 'menyumbatkan' kisah persaudaraan, sehingga mencetuskan momen-momen melodrama; antara lain gangguan migrain yang dialami Jon, rintihan ibu mereka yang menyesal atas perbuatan silamnya serta dua kali tangisan Yeung yang meratap hiba sehingga hingusnya meleleh.
Dua pertiga filem ini dirakamkan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Bagi penonton tempatan, ini adalah satu 'hidangan' yang menyeronokkan, melihat setiap aksi berlaku di tempat-tempat yang biasa kita lalui.
Dari ruang angkasa yang menangkap imej KLCC serta bangunan-bangunan pencakar langit, kesibukan KL Sentral dan kawasan tren di MidValley, sehinggalah kejar-mengejar di Bukit Bintang dan kereta 'terbang' di Pavilion, gerak kamera pengarah fotografi Kenny Tse, penuh dengan perspektif panorama.
Ia mencetuskan perasaan debar, tidak selamat dan goyah, tetapi visualnya kemas dan tidak bergoyang-goyang seperti sesetengah filem aksi, misalnya trilogi Bourne (2002-2007). Biarpun ada babak yang agak meleret, tetapi peminat genre sebegini tidak akan merungut, malah mengetap bibir keseronokan.
Tidak dinafikan Jay Chou mempunyai persona di layar lebar, tetapi saya masih merasakan dia jauh lebih berbakat sebagai penyanyi berbanding pelakon. Dilihat sedaya-upaya menghidupkan watak Jon, kemunculan Nicholas Tse sebagai Yeung pada pertengahan filem mencuri tumpuan penonton sepenuhnya.
Tse mempunyai kebolehan untuk kita percaya dia sememangnya samseng menerusi gaya rambut, cara pemakaian, bentuk fizikal dan renungan mata yang menakutkan. Dalam masa sama, kita juga percaya dia seorang anak dan bapa yang baik menerusi tingkah laku dan dakapannya kepada keluarga.
The Viral Factor adalah sebuah filem yang 'besar dan lantang'. Dengan bajet yang jauh beza dengan Hollywood, Lam sebenarnya berjaya menghasilkan karya dalam skala serupa dan John Woo patut berasa malu. Filem ini menyeronokkan, walaupun masih kurang faktor-x dan tiada kredibiliti dari segi penceritaan.
No comments:
Post a Comment