Thursday, January 12, 2012

RELATIONSHIP STATUS (2012)


Status: perlukan perhatian
Oleh Syazwan Zakariah
(syazwan_zakariah@astro.com.my)
Terma ‘relationship status’ begitu sinonim kepada generasi berteknologi hari ini iaitu pengguna laman sosial Facebook. Pada ruangan informasi, mereka mempunyai pilihan untuk mendedahkan status; sama ada bujang, berkahwin, bercerai atau dibiarkan saja kosong kerana tidak penting untuk dikongsikan.
Filem Relationship Status berkaitan dengan Facebook, tetapi bukan mengenai Facebook. Selaku pengarah dan penulis lakon layar, Khairil M. Bahar mahu bercerita bagaimana rangkaian sosial mengubah landskap sosio-budaya serta pemikiran kita, dengan memberi fokus terhadap isu cinta dan perhubungan.
Ini merupakan cubaan kedua Khairil menghasilkan filem cereka selepas Ciplak (2006) yang hanya menelan belanja RM10,000. Diangkat sebagai pemenang Filem Alternatif Terbaik dalam Anugerah Skrin, kejayaan itu menandakan potensi pengarah muda ini.
Relationship Status juga dibikin dengan bajet rendah, cuma menggunakan kamera DSLR dan ditayangkan di pawagam terpilih saja. Meskipun aspek teknikal seperti gerak kamera dan audionya terasa ‘mentah’ dan memiliki semangat ‘indie’ yang kuat, Khairil seakan ingin mendekati jiwa arus perdana.
Dengan idea bersalut Hollywood (dan ini bukanlah komen yang buruk), Relationship Status membina karakter enam pasangan yang mewakili golongan kelas sederhana di Kuala Lumpur.
Khairil meminjam struktur penceritaan ensemble seperti dalam Love Actually (2003) atau Valentine’s Day (2010) atau jika filem tempatan seperti Cinta (2006) dan Sepi (2008); di mana watak-wataknya mungkin tidak mengenali secara langsung tetapi dihubungkan dengan permasalahan serupa.
Antaranya, tentang Anna yang enggan mengaku mencintai Dave, meskipun kelakuan mereka seperti sepasang kekasih. Apabila Anna mengosongkan ruangan ‘relationship status’ dalam Facebook, Dave terasa seperti dipermainkan dan dia mahu Anna ‘mengumumkan’ keintiman mereka kepada khalayak.
Manakala Trisya menuntut cerai apabila mengetahui kecurangan suaminya melalui gambar-gambar yang dimuat naik dan Selina yang cuba untuk tidak menatap Facebook kepunyaan mendiang suami selepas kematiannya.
Ini adalah contoh kisah yang rapat dengan kita, kesan pengaruh laman sosial pada abad ke-21. Sebagai pengguna Facebook, kita mudah mengaitkan apa yang terjadi dalam filem ini, baik pengalaman peribadi mahupun orang di sekeliling, seperti abang, kakak, adik atau rakan sekerja.
Saya sendiri pernah bercinta dan kecewa menerusi laman sosial, malah apabila insan terdekat meninggal dunia, saya juga merasai apa yang dialami Selina – berasa janggal apabila orang tidak henti-henti menulis di dinding Facebook si mati dengan pelbagai doa dan ucapan selamat tinggal.
Kekuatan Relationship Status adalah pada skripnya yang kemas, tajam dan bersahaja. Meskipun terdapat satu-satu babak yang agak panjang, Khairil bijak mengisinya dengan dialog yang tepat, yang mampu menimbulkan simpati, empati dan serta perasaan ingin ambil peduli pada setiap karakter.
Begitupun, saya kurang bersetuju dengan beberapa dialog awal apabila Dave menerangkan apa itu Facebook kepada rakan serumahnya, atau apabila teman sepejabat Dave bertanya dalam nada penuh teruja jika dia mempunyai Facebook.
Penerangan atau pertanyaan sebegitu dirasakan kurang relevan kerana pada hari ini, ketika filem ini ditayangkan, Facebook sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat dunia. Hampir semua orang tahu apa itu Facebook, bagaimana ia berfungsi dan sudah menjadi ‘makanan ruji’.
Lainlah jika Relationship Status dibikin beberapa tahun terkebelakang, semasa Facebook baru bangkit, serentak kemunculan The Social Network (2010) arahan David Fincher. Dialog sebegitu tidak salah, cuma kurang sesuai pada masanya.
Khairil beruntung apabila projek ini disokong barisan pelakon yang tahu untuk menyampaikan emosi secara subtle dan tidak berlebih-lebih. Misalnya, Daphne Iking sebagai Trisya yang menggunakan kata-kata sebagai senjata berbanding air mata. Penonton masih boleh merasai luka di hatinya menerusi pandangan mata.
Babak konfrantasi Trisya dan bekas suami diakhiri dengan lagu latar yang amat serasi, malah saya memuji pemilihan muzik untuk keseluruhan filem ini.
Sama halnya dengan Susan Lankester yang bijak memanipulasikan intonasi, terutama pada babak ketika dia berinteraksi dengan anaknya menerusi Skype. Getar suaranya mengundang sebak, dalam masa sama mampu ketawa apabila dia bercerita tentang perilaku mendiang suaminya yang obses Facebook.
Relationship Status adalah contoh pembikin filem kita berupaya memberikan naskhah yang universal dengan penceritaan yang baik tanpa modal berjuta-juta. Saya percaya aspek teknikal boleh diperbaiki jika Khairil mempunyai lebih dana, tetapi dia masih boleh berbangga dengan apa yang dihasilkan sekarang.
Filem kecil sebegini mampu mengejutkan, sekaligus memberi harapan kepada industri sinema tempatan bahawa kita tidak kurang penggiat muda yang berbakat. Apa yang mereka perlukan adalah perhatian dan sokongan daripada pelabur yang bersedia untuk membiayai visi dan karya mereka.
Namun untuk strategi pemasaran yang lebih berkesan, Khairil patut belajar untuk membikin treler yang lebih menarik. Sayang sekali bila filem sebaik ini tidak disokong dengan material promosi yang sewajarnya dan memberi keadilan terhadap produk sebenar.

Filem: Relationship Status
Pengarah: Khairil M. Bahar
Pelakon: Gavin Yap, Susan Lankester, Tony Eusoff, Daphne Iking, Baki Zainal

* Syazwan Zakariah ialah seorang penonton wayang tegar. Bertugas sebagai Pengarang Hiburan Astro Awani (saluran 501), dia boleh ditonton dalam Gala TV, setiap hari pukul 4.30 petang dan 10.30 malam.

No comments: