Tuesday, March 13, 2012

BUNOHAN (2012)

Lukisan ciptaan Dain Said
Oleh Syazwan Zakariah
(syazwan_zakariah@astro.com.my)

Saya mengibaratkan pengalaman menonton Bunohan selama sejam 37 minit seperti berada di dalam sebuah galeri lukisan. Setiap bingkai yang dilihat mempunyai maksud-maksud sendiri, sama ada secara jelas mahupun tersirat.

Bunohan ialah nama kampung, tempat asal tiga beradik iaitu Ilham, Adil dan Bakar. Mereka kembali dengan tujuan masing-masing. Ilham diupah untuk membunuh adiknya sendiri, Adil, peninju tomoi yang dipaksa pulang untuk bersembunyi, manakala Bakar menginginkan tanah warisan untuk dijual. Bapa mereka, Pok Eng ialah seorang tok dalang wayang kulit. Ibu mereka pula, Mek Yah ialah seorang pawang dan primadona main puteri, sejenis upacara puja semangat bagi menyembuhkan penyakit.

Sekali imbas, Bunohan ialah sebuah filem yang mudah. Tetapi Dain Said selaku penulis dan pengarah (Dukun, 2006) tidak mahu menjadikannya sebagai naskhah yang biasa, lurus dan selapis. Sama ada sengaja atau tidak, Dain mahu penonton kita belajar ‘membaca’ filem, bukan sekadar menonton. Bagi saya, Bunohan ialah sebuah kisah cinta. Babak ketika Mek Yah berbicara dengan ‘semangat’ Pok Eng adalah kesimpulan untuk segalanya. Tengku Azura mungkin bukan pelakon terbaik, tetapi dialog-dialognya sebagai Mek Yah menjadikan penamat filem ini sangat berkesan dan bermakna.

Keluarga Pok Eng menjadi porak-peranda dan berpecah-belah apabila Mek Yah membawa diri, kecewa kerana suaminya berkahwin lain. Dia menukar dirinya menjadi buaya putih, tetapi masih mengawasi dan merawat anak-anaknya ketika mereka memerlukan. Ini bukan cerita seram atau tahyul, tetapi unsur mistikal yang sememangnya wujud dalam masyarakat setempat sejak dulu. Dain ‘memperkenalkan semula’ budaya dan mitos rakyat kita yang bukan aneh, tetapi tidak dipedulikan.

Sama halnya seperti kanak-kanak lelaki, jiran Pok Eng yang selalu datang ke rumahnya untuk bermain. Dia bukanlah hantu, tetapi kerana keakraban mereka, roh mereka bersatu dan dia menjadi pewaris semangat Pok Eng. Secara simbolik, mungkin dia sajalah harapan Pok Eng untuk meneruskan tradisi wayang kulit selepas ketiga-tiga anaknya membawa haluan sendiri. Cara Dain mengangkat dan meraikan permainan tradisi itu berbeza sekali dengan cara Prof. Dr. Hatta Azad Khan dalam Wayang (2008) yang lebih konvensional.

Di sebalik adegan-adegan lasak dan berkelahi yang menjadi faktor pelaris untuk memikat penonton massa, Dain mencipta sebuah drama kekeluargaan yang bukan melankolik seperti dalam Cerekarama, tetapi kuat jati diri Melayunya. Bagaimana Pok Eng berusaha untuk memujuk Adil selepas 27 tahun meminggirkannya, penemuan Adil terhadap dirinya yang sebenar, kerakusan Bakar sehingga sanggup membelot, serta Ilham yang merindui asal-usulnya.

Sukar untuk memahami maksud mimpi Ilham, antaranya piramid di tepi pantai dan bangkai-bangkai buaya bergelimpangan. Imej-imej ini seakan dari peti televisyen, juga imej yang sama dari kotak permainan yang tergantung pada dinding bot usang. Kerana itu, saya menyifatkan Bunohan seperti bingkai-bingkai lukisan. Penonton mampu melihat secara ketara apa yang dipersembahkan, tetapi erti dan nilainya boleh ditafsirkan berbeza mengikut interpretasi masing-masing.

Keputusan Dain untuk melakukan penggambaran semasa musim tengkujuh membawa keajaiban kepada visual Bunohan. Jurukamera dari Thailand, Charin Pengpanich (Tropical Malady, 2004) berupaya menangkap mood keseluruhan yang suram, kelam dan misteri menerusi landskap serta persekitaran alam. Sukar untuk tidak mengagumi sinematografi filem ini, lebih-lebih lagi apabila didokong pengarahan seni seperti solekan, kostum, rekabentuk dan tangkapan cahaya yang terkawal. Suntingan audionya teliti dan menghasilkan bunyi yang tulen, serta penataan muzik Tan Yuan Wei yang mengusik emosi.

Imaginasi Dain tidak akan menjadi tanpa persembahan hebat barisan pemain. Faizal Hussein bernafas sebagai Ilham, melunaskan watak yang rumit dan kompleks seperti tiada masalah. Meskipun seorang pembunuh upahan, dia masih menerima empati penonton yang menyedari akan ‘kehilangannya’. Pekin Ibrahim sebagai Bakar amat dibenci, walaupun kejahatan tidak terpamer pada wajah, Wan Hanafi Su sebagai Pok Eng yang kacau perasaannya, serta Zahiril Adzim sebagai Ilham yang rapuh walau tangkas di gelanggang tomoi. Setiap pelakon saling melengkapi, sama ada watak kecil atau pun besar. Ini termasuklah watak batu api kampung, Jolok lakonan Hushairy Hussin. Di sebalik pertuturan, kelakuan dan gaya melibas rambutnya yang menjengkelkan, karakter ini seronok untuk diperhatikan.

Bunohan adalah sebuah cerita orang kampung, tetapi dibikin untuk tontonan masyarakat dunia. Aspek teknikalnya bersifat antarabangsa dan penceritaannya universal, tidak hanya relevan untuk sesetengah kelompok audiens. Biarpun dialognya seratus peratus dalam loghat Kelantan, penonton tidak akan berasa asing, malah mempercayai penuh setiap pertuturan. Skrip asal tulisan Dain molek bahasanya, penuh realisme, dengan suntikan dramatik dan humor.

Begitu pun, saya kira kejayaan terbesar untuk Dain ialah apabila Bunohan masih berlegar-legar dalam fikiran penonton selepas filem tamat. Sekurang-kurangnya ini terjadi kepada saya. Selepas dua kali menonton, saya masih dihantui keasyikannya dan ini sangat jarang dirasai untuk filem Melayu.

Filem: Bunohan
Pengarah: Dain Said
Pelakon: Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim, Namron, Tengku Azura

2 comments:

PERANGFILEM said...

Nice review, menambahkan lagi pemahaman PF ttg filem ini pada sesetengah point. Good review!

budak_kawaii said...

Oh...akhirnye sy paham sape bdk kecik tu..thanks ya..nice review