Tuesday, May 15, 2012

DARK SHADOWS (2012)

Bayang yang tipis

Sebuah naskhah yang menyeronokkan tetapi dalam masa yang sama mendukacitakan.
DARK Shadows merupakan kerjasama kelapan untuk pengarah Tim Burton dan Johnny Depp selepas yang terakhir Alice In Wonderland (2010).
Di tangan pengarah eksentrik ini, Depp sekali lagi diberikan watak ala kartun yang semakin sinonim dengannya, antara lain Captain Jack Sparrow dari siri Pirates of the Carribean (2003-2011) dan Willy Wonka dari Charlie and the Chocolate Factory (2005).
Dark Shadows diinspirasikan dari drama bersiri popular tahun 1966-1971 dengan judul serupa. Kisahnya bermula di Liverpool pada 1752, di mana keluarga Collins iaitu bapa, ibu dan anak paling bongsu, Barnabas, berpindah ke Maine di Amerika Syarikat.
Di sana mereka membuka perniagaan perikanan dan menjadi keluarga terkaya di bandar Collinsport. Ketampanan Barnabas memikat hati anak pembantu rumah, Angelique Bouchard yang akhirnya kecewa kerana Barnabas tidak membalas cintanya.
Akibat dendam, Angelique yang mengamalkan ilmu sihir telah membunuh ibu bapa Barnabas serta teman wanitanya. Barnabas juga disumpah menjadi pontianak agar dia hidup menderita. Angelique menghasut orang kampung untuk menghapuskan Barnabas dan mengambil alih perniagaan keluarga Collins.
Dua ratus tahun kemudian, secara tidak sengaja, keranda yang menempatkan Barbanas dijumpai pekerja-pekerja projek pembangunan. Kembali bebas, Barnabas bukan saja ingin menuntut bela dan merampas semula haknya, tetapi terpaksa mengadaptasi gaya hidup tahun 1972 yang sangat asing baginya.
Melihat pada jalur cerita yang bernuansa gelap dan gothic, Burton mungkin pilihan paling tepat untuk membawa Dark Shadows ke layar perak. Dia mempunyai kepakaran dalam menangani naskhah-naskhah sebegitu seperti mana Sleepy Hollow (1999) atau Sweeney Todd (2007).
Filem ini bermula dengan suasana dan perasaan yang suram untuk menjelaskan latar belakang watak utama. Menginjak ke pertengahan, imej berwarna-warni dan runut bunyi yang rancak mula memenuhi layar, tetapi itu tidak menjadi masalah kerana ia memang secocok dengan penggayaan era 1970an.
Apa yang menjadi masalah ialah pembangunan plot. Ya, Dark Shadows adalah sebuah naskhah yang menyeronokkan tetapi dalam masa yang sama mendukacitakan. Apa pun, penilaian yang saya berikan ini adalah seratus-peratus berdasarkan versi filem kerana saya tidak pernah menonton siri tvnya.
Burton memang dikenali sebagai pengarah yang bervisi, sangat teliti dan mengambil berat tentang visual yang terhasil. Dia berjaya mewujudkan atmosfera 1970-an menerusi rekaan produksi seperti set, props, kostum dan solekan yang menawan.
Lagu-lagu latar juga berjaya menimbulkan mood dan mendefinisikan generasi era tersebut, termasuk babak konsert Alice Cooper di tangga rumah agam keluarga Collins. Tidak syak lagi filem ini memang dibuat untuk berseronok, tetapi sayang jenakanya tidak cukup melucukan dan membuat penonton ketawa.
Jenaka 'a fish-out-of water' iaitu kejanggalan Barnabas cuba menyesuaikan diri dengan zaman moden, semakin lama semakin lesu. Banyak peristiwa di dalam filem ini berlaku secara rawak dan tidak begitu penting untuk menghubungkan jalan cerita sebenar.
Misalnya, apabila Barnabas mengorbankan sekumpulan 'hippies' demi memenuhi nafsunya yang hauskan darah atau kegilaan Dr.Hoffman (lakonan Helena Bonham Carter) yang mahu menjadi muda. Begitu juga kejutan watak Carolyn (Chloe Grace Moretz) yang tiba-tiba ditampilkan sebagai serigala jadian.
Kewujudan peristiwa-peristiwa yang kurang signifikan seperti ini, sedikit sebanyak membuatkan penonton gelisah kerana apa yang mereka mahu lihat sebenarnya ialah perhubungan dendam di antara Barnabas dan Angelique.
Akibat terlalu banyak karakter, fokus filem ini menjadi agak celaru dan durasi masa terpaksa dibahagi-bahagikan untuk setiap watak yang dicipta.
Dark Shadows mempunyai resepi terbaik untuk sebuah filem yang hebat. Barisan pelakon handalan, pengarah berpengaruh dan jenama siri tv yang popular. Namun, potensi ini gagal dimanipulasikan kerana skrip tulisan Seth Grahame-Smith yang tidak meyakinkan dan superficial.
Lakonan Depp sebagai Barnabas boleh dijangka. Di sebalik wajahnya yang pucat dan kostum drakula, penonton dapat membaca gerak tubuh dan lontaran dialognya. Memang tidak semua pelakon mampu menghidupkan watak-watak aneh seperti mana Depp, tetapi tiada faktor 'wow' yang dibawakan kali ini.
Begitupun, saya tertarik dengan lakonan Eva Green sebagai Angelique. Dia mempunyai aura wanita cantik dengan pandangan yang jahat, dilengkapi dengan penggayaan dari segi kostum dan solekan sepadan.
Dark Shadows masih boleh ditonton sebagai filem yang menghiburkan, tetapi 'bayang' yang ditinggalkan filem ini agak tipis, kesannya tidak akan kekal lama. Ia tidak termasuk dalam senarai filem Burton yang akan dikenang-kenang, sebaliknya sekadar memanjangkan profilnya sebagai pengarah dengan idea unik.

No comments: