Wanita itu Michelle Yeoh
The Lady bermula pada 1947 ketika Aung San Suu Kyi berusia dua tahun. Bapanya, Aung San, seorang pejuang kemerdekaan mati dibunuh, menjadikan Myanmar terus huru hara di bawah pemerintahan junta tentera.Mara ke tahun 1988, Suu Kyi (Datuk Michelle Yeoh) menetap di Oxford bersama suaminya, seorang profesor bernama Michael Aris dan dua anak lelaki.
Panggilan dari Myanmar yang menyatakan ibunya diserang strok membuatkan Suu Kyi bergegas pulang. Niat untuk tinggal beberapa minggu bagi menjaga ibunya mengubah takdir hidup Suu Kyi.
Kepulangannya menyaksikan Myanmar sebagai lembah penuh kekejaman, tekanan dan kesengsaraan. Dia melihat dengan mata sendiri penunjuk perasaan mati ditembak dan orang awam berdemonstrasi memegang sepanduk wajah bapanya.
Suu Kyi menyedari dialah orang yang tepat untuk meneruskan perjuangan bagi menuntut demokrasi, sebaik saja orang kampung datang bertemu dan memujuknya agar menjadi ketua.
Membikin filem biopik seorang pemimpin terkenal dunia yang masih hidup dan belum tamat lagi perjuangannya adalah risiko yang amat besar.
Dua individu penting yang menggerakkan filem ini, Yeoh (Crouching Tiger, Hidden Dragon, 2000) dan pengarah dari Perancis, Luc Besson (The Fifth Element, 1997) mengambil cabaran itu dengan menukar label stereotaip mereka - daripada filem-filem bergenre aksi kepada sebuah drama riwayat.
Yeoh adalah pilihan sempurna untuk watak Suu Kyi. Dia bukan saja mempunyai persamaan fizikal; yang menuntut pelakon ini menurunkan berat badan dan membuat kajian selama tiga tahun; tetapi gerak tubuh, riak wajah dan penghayatan emosi yang sangat luar biasa.
Saya tidak memahami bahasa Myanmar, tetapi saya mempercayai apa yang diucapkan Yeoh semasa dia bertutur. Ia kelihatan serupa dan hampir mirip dengan laporan-laporan berita yang saya tonton mengenai Suu Kyi.
Namun, tanggungjawab untuk menjadikan The Lady sebuah naskhah cemerlang tidak sepatutnya digalas Yeoh seorang.
Kekuasaan dan kehebatan persembahannya, yang saya kira patut dipertimbangkan pihak Oscar, tergugat kerana penceritaan filem yang kurang mendalam dan fokus yang agak bercelaru.
Saya mengerti tidak mudah untuk memuatkan segala perincian tentang Suu Kyi serta momen-momen bersejarah yang dilaluinya. Namun, kerana durasi yang terhad, penulis skrip dari Britain, Rebecca Frayn terpaksa memasukkan setiap aspek secara sedikit-sedikit tanpa mendalaminya.
The Lady terhasil sebagai sebuah filem yang bercerita dari satu dimensi dan menyentuh hanya di permukaan.
Besson yang sinonim dengan kreativiti visual menghasilkan babak-babak perang dan keganasan yang baik. Ini sememangnya 'makanan' Besson dalam memberikan kepuasan pancaindera secara sinematik. Malah, dia juga berjaya mencipta kontras di antara suasana panas Myanmar dengan kedinginan Oxford.
Begitupun, untuk babak-babak drama, Besson dirasakan sedikit tergesa-gesa. Dia seperti mahu cepat ke babak seterusnya kerana mungkin merasakan ada banyak lagi cerita yang mahu disampaikan.
Misalnya, babak perbualan hati ke hati di antara Suu Kyi dan suaminya selepas berpisah sekian lama. Saya mengerti fokus The Lady adalah untuk menunjukkan semangat patriotik seorang wanita, isteri dan ibu, tetapi babak ini sepatutnya menjadi satu babak yang paling diingati.
Dalam babak ini, emosi Suu Kyi yang berbelah bagi di antara perjuangan untuk keluarga dan negara seakan tidak kesampaian kerana penulis skrip tidak cukup memanipulasikannya. Dilema ini sepatutnya sudah ditampilkan sejak awal supaya penonton dapat berbagi rasa dan berkongsi apa yang Suu Kyi alami.
Meskipun umum mengetahui junta tentera adalah golongan yang kejam dan tidak berhati perut, tetapi dalam beberapa babak, mereka kelihatan komikal.
Ini kerana gambaran yang lemah dan dialog yang tidak sesuai, ditambah pula dengan skor muzik ala kehadiran Darth Vader dari filem Star Wars, untuk menampakkan lagi kejahatan mereka.
Begitupun, demi berlaku adil, beberapa babak seperti ketika Suu Kyi diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel dan dia hanya mampu mendengar melalui radio; serta babak kematian suaminya, Aris tanpa Suu Kyi dapat bertemu, menjadi antara yang tragis dalam filem ini.
Yeoh bertuah kerana David Thewlis mampu membawakan watak Aris dengan begitu secocok, melengkapi permainannya sebagai Suu Kyi.
Mengenepikan segala kelemahan yang ada, The Lady adalah sebuah filem yang mesti ditonton. Pertama, kerana kita patut berbangga dengan pencapaian Yeoh sebagai anak seni kelahiran Malaysia, dan kedua, kerana filem ini adalah sebuah kisah pejuang Asia penuh inspirasi yang menuntut hak asasi manusia.
1 comment:
akan cuba menonton nanti :-)
Post a Comment