Tuesday, April 24, 2012

MY WAY (2012)

Cara Hollywood buatan Korea

Tidak salah kalau filem ini dianggap sebagai campuran idea antara filem Chariots of Fire dengan Saving Private Ryan.
MY Way bukanlah filem biopik tentang Frank Sinatra, seperti mana judul lagunya yang popular itu. Sebaliknya, ia filem termahal terbitan Korea dengan bajet hampir RM100 juta dan mengambil latar perang dunia kedua.
My Way diarahkan Kang Je-Kyu yang pernah menghasilkan Tae Guk Gi (2004). Filem itu mencatat antara kutipan tertinggi dalam sejarah sinema Korea. Seakan ingin mengulangi kejayaan yang sama, dia menggunakan formula serupa iaitu perang dan persahabatan sebagai tema dalam nuansa melodrama.
Filem ini diinspirasikan dari sekeping gambar simpanan arkib negara Amerika Syarikat yang didedahkan menerusi sebuah dokumentari. Imej itu memaparkan seorang tentera berwajah Asia yang berdiri di kalangan tentera-tentera Jerman.
Menurut sejarah, lelaki itu ialah satu-satunya tawanan perang berketurunan Asia yang terselamat selepas menempuh tiga insiden perang yang dahsyat. Lalu, menerusi imaginasi Kang dan penulis skrip Kim Byung-In, mereka mencipta naskhah sendiri.
Jun-Shik ialah seorang budak Korea yang berkawan dengan Tatsuo, seorang kanak-kanak Jepun semasa Jepun menakluk Korea. Keakraban mereka diikat dengan impian yang sama iaitu untuk menyertai acara larian Olimpik.
Bagaimanapun, satu insiden kematian telah memutuskan persahabatan mereka. Apabila dewasa, Jun-Shik (lakonan Jang Dong-Sun) dipaksa menyertai bala tentera Jepun di bawah pentadbiran Tatsuo (lakonan Joe Odagiri) yang berpangkat Kolonel.
Tatsuo mengambil kesempatan untuk membalas dendam dengan menggunakan kuasanya, tetapi untuk tempoh yang tidak lama. Apabila Jepun ditewaskan Soviet Union, bermulalah pengembaraan mereka dari Mongolia ke Siberia ke Jerman ke Normandy, dan daripada musuh mereka kembali menjadi sahabat.
Filem ini tidak ubah seperti campuran idea Chariots of Fire (1981) dengan Saving Private Ryan (1998). Untuk makluman, Chariots of Fire mengenai dua kanak-kanak berlainan agama yang bersaing untuk Olimpik, sementara Saving Private Ryan adalah contoh terbaik blockbuster perang.
My Way dibuka dengan babak-babak drama kurang setengah jam; menceritakan latar belakang setiap watak penting; sebelum adegan perang meletus dan berlarutan sehingga dua jam lamanya.
Ibarat penonton tidak mempunyai idea langsung tentang perang, Kang mewujudkan segala jenis letupan, efek darah, pelbagai jenis senjata dan kereta kebal dalam kebanyakan babak. Kang seakan terlupa untuk menulis aliran cerita dan dialog yang baik akibat terlalu ghairah pada sudut teknikal.
Saya berasa My Way terlalu meleret, semata-mata kerana Kang mahu 'menyumbatkan' kronologi sejarah berdasarkan julat tahun yang dipilihnya. Saya kepenatan menonton peluru dan tubuh manusia saling melayang tanpa henti.
My Way adalah impian Kang untuk duduk sebaris dengan filem-filem Barat, apatah lagi memang strategi pemasarannya untuk menembusi pasaran antarabangsa. Kerana itu dia 'menciplak' gerak kamera, efek khas, mahupun skor orkestra yang mega untuk menghidupkan filem ini.
Saya tidak pasti jika dia sengaja meminta jurukamera mengambil syot-syot yang bergegar dengan stail suntingan yang agak celaru. Sudahlah saya tidak mengenali pelakon-pelakonnya, menonton setiap babak pula membuatkan saya keliru kerana sukar mengecam siapa dan apa kerana segalanya nampak serupa.
Agak melucukan apabila masing-masing memahami setiap bahasa asing yang dipertuturkan, malah ada ketikanya mereka bercakap dalam bahasa sendiri di antara satu sama lain, seperti ayam bercakap dengan itik.
Jang dan Odagiri memberikan persembahan yang sederhana, walaupun persahabatan di antara Jun-Shik dan Tatsuo digambarkan dalam cara yang sangat melankolik. Ditambah dengan alunan muzik yang mendayu dan cara mereka berpandangan, saya terasa sedikit lucu pula.
Pastinya ini bukan kisah cinta ala Brokeback Mountain (2005), tetapi Kang secara tidak sengaja telah melebih-lebihkan momen dramatik di antara dua karakter lelaki jagoan ini. Odagiri kelihatan kaku pada beberapa babak, sementara reaksi wajah dan emosi Jang kelihatan sama sepanjang filem.
Saya tertarik dengan karakter Shirai, seorang gadis China yang ingin menebus dendam lakonan Fan Bing Bing. Walaupun sekejap, ia terasa berkesan. Mungkin kerana watak itu memang dicipta secukup rasa supaya penonton tidak bosan, apatah lagi dia merupakan satu-satunya pelakon wanita.
Sebagai sebuah naskhah yang formulaic, My Way tidaklah asli Korea. Kecuali bahasa dan latar sejarah, jiwa dan rupanya adalah cedukan Hollywood. Penonton Korea pasti menyambutnya dengan tangan terbuka kerana ia epik terbitan tempatan, tetapi pasaran luar mungkin melihatnya sekadar filem klon.

No comments: