'Berikrar' jangan mengeluh
Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my
THE Vow mengisahkan pasangan yang baru berkahwin, Leo (Channing Tatum) dan Paige (Rachel McAdams). Suatu hari, mereka terlibat dalam kemalangan dan Paige hilang ingatan. Memori Paige terhadap perkahwinannya lenyap kecuali perkara-perkara yang berlaku lima tahun sebelum kemalangan.
Paige mencari semula bekas tunangnya, Jeremy serta menghubungi kembali keluarganya. Wanita itu cuba memahami mengapa dia pernah membuang keluarga, melupakan cita-citanya untuk bergelar peguam dan lari kepada Leo untuk menjadi seorang pembuat arca terkenal.
Leo sedaya-upaya cuba memenangi hati isterinya semula dan membantunya mengingati saat-saat percintaan mereka namun menemui jalan buntu.
The Vow menambahkan judul koleksi filem drama romantik dengan label 'berdasarkan kisah benar' sebagai daya penarik. Melihat kepada sedutan dan barisan pelakonnya, khalayak tahu ini adalah sebuah lagi naskhah 'glossy' Hollywood yang mempunyai pengikut setia meskipun olahan dan ceritanya klise.
Sayangnya, penceritaan filem ini hanya berada pada tahap ala kadar. Ia tidak terlalu teruk tetapi tidak juga baik malah banyak perkara yang boleh dipersoalkan. Saya tidak pasti jika tiga penulis lakon layarnya menokok tambah atau benar-benar mengikut pengalaman sebenar dari kisah yang diadaptasi.
Terdapat cubaan untuk menjadikan dialog Leo kedengaran mendalam dan tersirat, sama ada melalui percakapan mahupun dalam narration. Sebagai contoh tentang pembuat pai dan impiannya. Ia kedengaran agak janggal, mungkin kerana Tatum bukan pelakon yang sajak untuk watak dramatik.
Perasaannya mendatar apatah lagi bagi saya Tatum selalu 'mengulum' perkataan sehingga kadangkala apa yang dikatakan tidak jelas. Begitupun, dia masih mampu menjadi gula-gula mata yang amat manis buat peminatnya apatah lagi keserasiannya dengan McAdams agak berkesan dan ini sedikit mengejutkan.
Tatum dan McAdams berjaya membuatkan penonton percaya mereka adalah pasangan suami isteri, biarpun garis skala perhubungan dan perbuatan mereka agak ekstrem. Ertinya semasa bercinta, mereka sangat intim dan manja melampau-lampau tetapi semasa dingin, mereka boleh menjadi sangat dingin.
Selepas The Notebook (2004), McAdams nampaknya sudah menjadi stereotaip. Saya tidak pasti jika dia sengaja atau secara kebetulan mahu dilabel ratu filem air mata dan romantik tetapi persembahannya membosankan. Wataknya sebagai pembuat arca dalam The Vow sama seperti The Time Traveler's Wife (2009).
Apatah lagi cara karakter Paige ditulis membuatkan penonton lebih menyampah daripada bersimpati. Selepas kemalangan, Paige dilihat tidak berusaha untuk memberi peluang kepada suaminya, sebaliknya hanya mahu kembali ke zon selesa, iaitu satu-satunya zon yang diingati dan dikenalinya.
Itu masih boleh dimaafkan tetapi apa yang tidak difahami ialah mengapa Paige meninggalkan kolej undang-undang dan ingin menjadi seniman secara tiba-tiba? Dia digambarkan mempunyai masalah dengan bapanya yang bermain kayu tiga lalu terus 'membuang' keluarga, tetapi apa kena-mengena dengan cita-cita?
Barangkali seni adalah minatnya sejak kecil dan ini tidak mustahil tetapi penulisan lakon layar yang tidak tersusun membuatkan persoalan ini timbul. Elemen drama demi drama ditambah sampai ke penghujung, sehinggakan ia terasa direka-reka dan saya tidak percaya lagi akan 'kebenaran' kisah benar ini.
Kelemahan ini membuatkan The Vow tidak beremosi lalu babak-babak sedihnya hanya membuatkan pelakon yang menangis, bukan penonton.
Filem ini hanyalah tentang Paige yang ingin kembali ke masa silamnya dan tidak pasti untuk membuat keputusan sehinggalah muncul satu detik yang mengejutkannya. Detik itu menjadi penyelesaian kepada semua masalah dan membawa kepada penamat yang menggembirakan.
Kehadiran pelakon senior seperti Sam Neill dan pemenang Oscar, Jessica Lange gagal memberikan impak kerana watak yang tidak begitu besar. Sesiapa saja boleh memainkan peranan mereka, namun sedikit sebanyak ia menambah kredibiliti filem berkelas A sebegini.
Cubaan pertama Michael Sucsy (telefilem Grey Gardens, 2009) untuk mengarahkan filem cereka nampaknya kurang berjaya. Dia masih belum mahir menangani konsep drama romantik walaupun kelihatan biasa dan mudah.
Kepada yang masih mahu menonton, saya tidak menghalang tetapi anda harus 'berikrar' tidak akan mengeluh kerana membazirkan masa dan wang selepas menyaksikannya.
No comments:
Post a Comment