Julia, Julia
MEMBERIKAN Julia Roberts watak antagonis The Evil Queen dalam kisah dongeng Snow White adalah satu keseronokan buat peminatnya.
Sebagai seorang aktres Hollywood terbaik, termahal dan terkenal, jarang sekali kita dapat melihat Roberts berkelakuan komikal dan ‘mengarut’ seperti dalam Mirror Mirror.
Filem ini merupakan sebuah lagi naskhah interpretasi terhadap karya klasik Snow White tulisan Grimm Bersaudara (1812). Versi asalnya diubahsuai dan ditokok tambah demi kelainan dan kejutan, tetapi plot utamanya masih tidak berubah.
Apabila The King hilang semasa keluar merantau, The Evil Queen serta-merta menjadi pemerintah. Dia mengurung anak tirinya, Snow White kerana tidak mahu puteri itu mengambil alih takhta bapanya. Permaisuri kejam itu juga mengamalkan ilmu hitam untuk terus hidup dan kelihatan muda.
Satu hari, seorang putera dari negara jiran, Prince Alcott tersesat ke negara itu lalu jatuh cinta kepada Snow White. The Evil Queen yang merasa terancam mengarahkan orang kanannya, Brighton untuk membunuh Snow White di dalam hutan dan menyebarkan berita kononnya Snow White mati akibat sakit.
Brighton bagaimanapun melepaskan Snow White kerana tidak sampai hati. Dengan bantuan sekumpulan penyamun kerdil, Snow White mengambil semula haknya yang dirampas The Evil Queen, menyelamatkan Prince Alcott dari disihir serta memakmurkan semula negaranya yang kian sengsara akibat kemiskinan.
Apa yang menarik tentang Mirror Mirror ialah gaya adaptasinya yang menjadikan The Evil Queen sebagai pencerita. Filem ini bermula dan berakhir dengan penceritaan yang menggunakan suara Roberts, mewakili apa yang dirasai oleh permaisuri kejam itu serta ‘hantu’ dari cermin yang menyerupai dirinya.
Dalam filem ini, Snow White ingin dibunuh bukan kerana kecantikannya tetapi kerana dia pewaris takhta. The Evil Queen mahukan kuasa lebih dari segalanya dan rupa paras sekadar aset kedua untuk dia terus kekal sebagai pemerintah.
Beberapa susur galur Snow White yang selalu kita dengar dan baca ditukar atau hampir ditiadakan di dalam versi ini.
Misalnya, buah epal beracun pemberian The Evil Queen hanya muncul selepas dia tewas kepada Snow White. Sementara ciuman ‘sakti’ yang sepatutnya diberikan oleh Prince Alcott kepada Snow White, beralih peranan apabila Snow White yang harus mencium Prince Alcott untuk menyembuhkannya dari sihir.
Kerana Mirror Mirror ditulis dari perspektif The Evil Queen, tidak salahlah jika Roberts yang mendominasi filem ini. Kisah Snow White seakan dikurangkan dan kisah The Evil Queen yang dilebih-lebihkan.
Roberts mencuri perhatian bukan saja kerana Mirror Mirror memang berpihak kepadanya, tetapi kerana dia pelakon yang sangat cocok dengan watak tersebut.
Dia menjadi talam dua muka hanya melalui senyuman lebarnya yang biasa kita tonton. Cuma kali ini, sama ada penonton akan ikut tersenyum atau berasa geram dengan kelicikannya. Apa pun, dia tetap ‘disayangi’ kerana dia adalah Julia Roberts, seorang aktres hebat dari era ini.
Namun Mirror Mirror tidak boleh mengharap sepenuhnya kepada Roberts. Penceritaannya, walaupun jelas tetapi agak lemah pada perjalanannya. Terdapat detik-detik yang membosankan dan tidak mengunci ketat perhatian saya.
Saya merasakan filem ini hanya sesuai ditonton golongan matang kerana pendekatannya tidak begitu ‘mesra kanak-kanak’. Bukan kerana ia mengandungi elemen-elemen dewasa tetapi rupa dan perasaannya tidak cukup ‘Disney’.
Barangkali pengarah Tarsem Singh sengaja mahu menjadikan Mirror Mirror sebagai karya ‘anti-Disney’ agar dilihat kontra dengan versi Snow White yang tipikal.
Dikenali sebagai pengarah penuh visi (The Cell, 2000; Immortals, 2011), Singh mengekalkan identitinya menerusi visual yang berkesan, penataan seni yang sangat terperinci di samping rekaan produksi dan kostum yang avant-garde.
Bagaimanapun akibat kelemahan lakon layar tulisan Jason Keller dan Melisa Wallack, arah filem ini kabur. Mirror Mirror tidak cukup kuat untuk dikatakan sebagai filem pengembaraan fantasi, tidak juga cukup kelakar untuk dikatakan komedi dan tidak cukup serius untuk sebuah naskhah drama.
Tidak dinafikan, ia masih filem ringan yang menghiburkan, tetapi sayangnya terhasil separuh masak. Adaptasi seperti ini mempunyai potensi yang besar untuk cemerlang, jika tidak dari segi pencapaian sinematik pun, sekurang-kurangnya dalam carta box-office. Namun ia gagal dalam kedua-dua aspek itu.
Persembahan Nathan Lane sebagai Brighton agak mencuit hati. Lily Collins sebagai Snow White biasa-biasa saja manakala Armie Hammer sebagai Prince Alcott tidak kelihatan segak, sebaliknya sedikit dungu dan cemerkap. Ketampanan Hammer hilang mengikut arus peranan putera yang lembik.
Jika filem ini digemari, sebab utamanya ialah kerana Julia Roberts dan saya pasti kebanyakan yang pergi menonton pun adalah kerana mahu menyaksikan dia.
No comments:
Post a Comment