Jiwa gelisah
OSMAN Ali pernah menghasilkan filem Anak Halal (2007), kisah survival remaja yang membesar di lorong Chow Kit dan rumah flat. Dia juga pernah mengarahkan muzik video Bisakah nyanyian Datuk Siti Nurhaliza (2006) yang berlatarkan lorong gelap dan kemahuan penagih dadah kembali ke pangkal jalan.
Untuk filem kelima arahannya, Osman sekali lagi memilih subjek yang saya kira menjadi kegemarannya. Jiwa Taiko seolah kesinambungan pengarah ini untuk bercerita kisah anak-anak jalanan yang mencari arah serta erti hidup.
Jiwa Taiko mengisahkan Firman (lakonan Remy Ishak) yang keluar penjara selepas lima tahun dihukum. Melalui seorang kaunselor bernama Kak Pora (Mislina Mustafa), dia dibawa ke Wira Cinta, sebuah kelab komuniti untuk remaja terpinggir menghabiskan masa dengan beriadah dan belajar ilmu silat.
Di situ, dia jatuh cinta kepada Trisha (Diana Danielle) sehingga seorang gadis lain bernama Lara (Nadiya Nissa) kecewa kerana bertepuk sebelah tangan. Lara kemudian melarikan diri sehingga terjatuh ke dalam genggaman Pinto (Bront Palare), sahabat lama Firman yang menyebabkan dia meringkuk dalam penjara.
Pinto menggunakan kesempatan ini untuk mengajak Firman kembali melakukan kerja-kerja terkutuk, apatah lagi dia kini samseng terhebat Kuala Lumpur. Lalu, bermulalah 'peperangan' Firman bukan saja ke atas dirinya sendiri untuk memadam masa silam tetapi untuk menyelamatkan rakan-rakan barunya.
Sinopsis seperti ini bukanlah sesuatu yang di luar kotak malah penceritaan tentang bekas banduan ingin mendapatkan semula kehidupan sejahtera sudah diulang pakai di mana-mana 'kilang' filem seluruh dunia. Bagaimanapun, ia bukanlah satu kesalahan, asal saja olahannya mampu menghiburkan.
Saya mengikuti hasil kerja Osman seawal dia membikin filem bebas, antaranya Bukak Api (2000), drama televisyen seperti Toll Gate Girl (2001) serta filem-filem cereka, bermula dengan Puaka Tebing Biru (2005) sehinggalah Ombak Rindu (2011) yang mendapat kutipan pecah panggung mencecah RM11 juta.
Saya menyifatkan Osman antara pengarah tempatan yang pandai bercerita. Kecuali Puaka Tebing Biru yang agak bercelaru, kebanyakan naskhahnya terhasil kemas. Namun mengejutkan apabila Jiwa Taiko mengecewakan saya.
Walaupun filem ini dibuka dengan banyak tenaga iaitu babak-babak bergasak namun perjalanannya yang agak perlahan membuka ruang untuk penonton berasa gelisah. Jiwa Taiko bukanlah sebuah filem yang susah untuk difahami tetapi masalah di sini ialah pengarahan Osman yang seperti separuh hati.
Di dalam filem Cun (2011), penonton seakan masuk ke dalam dunia fiksyen ciptaan Osman iaitu suasana Kampung Mata Ayer dan dunia hiburan serba flamboyant. Berlainan dengan Jiwa Taiko, atmosfera yang dicipta yakni dunia 'putih' Wira Cinta dan dunia 'hitam' Pinto terasa palsu dan dipaksa-paksa.
Misalnya, babak buka silat yang sangat bersalut Hollywood dengan lokasi di atas bumbung bangunan dan di tepi pantai. Ia tidak salah tetapi kelihatan janggal, terlalu mencuba dan sangat kosmetik.
Nilai, tertib dan adab persilatan Melayu tidak dirasai seperti mana yang pernah diperkasakan Rahim Razali (kini Datuk) menerusi Matinya Seorang Patriot (1984) atau Puteri (1987).
Namun demikian, itu sekadar aspek kecil yang boleh dilupakan jika fokus penceritaannya dihasilkan dengan teliti. Sayang sekali, saya merasakan Osman lebih leka mencipta babak-babak cumbuan, berpesta dan berkelahi, dari membangunkan karakter dan plot kerana segalanya sekadar di permukaan.
Benar, watak Firman dan Pinto diberikan latar cerita (backstory) yang jelas, yakni bagaimana mereka bermula di kampung sebagai rakan silat sehinggalah hanyut di bandar menggunakan kekuatan yang ada. Tetapi itu sajalah yang harus 'dipegang' penonton dari mula cerita sehingga ke penghujung.
Babak demi babak berlalu tanpa saya mempercayai apa yang berlaku kerana kelemahan skrip dan gaya lakonan serupa yang pernah saya saksikan. Babak-babak pergaduhan yang dikoreografi tidaklah teruk tetapi tidak juga menggemparkan. Keserasian sesama pelakon masih ada tetapi tidak cukup kuat.
Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai persembahan lakonan. Masing-masing diakui berbakat tetapi mereka pernah dilihat lebih baik dalam filem lain.
Kecuali Nadiya Nissa yang membawa karakter Lara ke tempat yang subtle. Watak seperti ini, jika salah pembawaan, boleh saja kelihatan stereotaip, murah dan mendorong pelakon menjadi over-acting. Lara bukan saja selamat di tangan Nadiya tetapi dia menambah nilai kepada watak antagonis yang lazim.
Walaupun Jiwa Taiko berakhir dengan kegembiraan, babak penamat terasa seperti tergesa-gesa dan seperti mahu cepat disudahkan. Namun saya menyukai adegan kematian Pinto yang sempat melihat kelahiran anaknya, di mana saya dapat merasai sisi dramatik yang cuba dicipta.
No comments:
Post a Comment