Tuesday, June 5, 2012

SNOW WHITE AND THE HUNTSMAN (2012)



Serikandi satu emosi

INI merupakan filem Snow White kedua untuk 2012 selepas Mirror Mirror ditayangkan April lalu. Berbanding filem arahan Tarsem Singh yang cenderung ke arah komedi romantik atau animasi Disney yang berwarna-warni; versi kali ini lebih gelap mengikut naskhah asal tulisan Grimm Bersaudara.

Walaupun masih berlatarkan era kuno, penulis skrip Evan Daugherty menyuntik semangat feminisme yang kuat untuk disesuaikan dengan cita rasa kontemporari. Dua karakter wanita iaitu Snow White dan Queen Ravenna dijadikan tunjang utama dan pemimpin sementara watak lelaki hanya sebagai pengikut.

Ravenna, yang semasa kecilnya hidup merempat, menggunakan sihir untuk kekal cantik dan menawan hati raja. Berkelana dari satu takhta ke takhta yang lain, King Magnus yang menemuinya sebagai tawanan perang menjadi mangsa terbarunya. Raja itu diracun dan ditikam pada malam perkahwinan mereka.

Anak Magnus, Snow White dikurung di dalam menara sehingga meningkat remaja. Kemarahan Ravenna memuncak apabila cermin emas kepunyaannya menyatakan Snow White adalah wanita tercantik dunia. Ravenna harus mendapatkan jantung Snow White agar dia kekal muda, jelita dan berkuasa.

Bagaimanapun, Snow White berjaya melepaskan diri sehingga tersesat ke rimba gelap. Tiada siapa yang berani masuk ke lembah puaka itu kecuali seorang lelaki pemabuk tetapi perkasa yang dipanggil The Huntsman.

Dia dipaksa Ravenna untuk membawa pulang Snow White tetapi kemudian berpaling tadah selepas mengetahui permaisuri kejam itu mungkir janji untuk menghidupkan semula isterinya yang sudah mati. The Huntsman kini menjadi penyelamat Snow White dan bukan lagi musuh.

Untuk melengkapkan konflik dan formula cinta tiga segi, teman baik Snow White semasa kecil, William pulang ke kampung selepas berperang. William ingin membuktikan dia juga mampu menjadi pelindung apatah lagi dia adalah anak kepada Duke Hammond, orang kanan pasukan tentera King Magnus.

Jika anda bertanya, adakah wujud tujuh lelaki kerdil di dalam versi ini? Ya, sudah tentu tetapi mereka hanya muncul di pertengahan filem. Kehadiran mereka memberikan lebih warna, secara literalnya, pada set dan lokasi yang sebelum itu suram dan kelam.

Golongan kerdil ini tinggal di satu tempat seakan inderaloka yang penuh dengan pari-pari, unggas serta kehijauan. Dengan keyakinan dan kudrat yang ada, mereka bersama Snow White, The Huntsman, William dan bala tentera Duke Hammond, nekad untuk menyerang istana dan menjatuhkan Queen Ravenna.

Sebagai sutradara yang pertama kali mengarahkan filem, Rupert Sanders menghasilkan sebuah kerja yang kemas. Dia bijak menggunakan set yang hebat dan imej janaan komputer (CGI) yang imaginatif, seimbang penceritaan.

Apa yang sedikit mengganggu adalah pacing atau perjalanan yang sedikit lembab di pertengahan. Sanders memanjangkan sesuatu babak yang dirasakan tidak perlu dan memendekkan babak yang mempunyai potensi untuk meraih lebih perhatian.

Masih mengekalkan elemen signature seperti epal beracun dan cermin sakti, pengarah dan penulis skrip juga mengadaptasi nilai-nilai filem fantasi pengembaraan yang standard seperti siri Narnia (2005-2010).

Malah landskap gunung-ganang dan muzik celtic ciptaan James Newton Howard juga sedikit sebanyak mengingatkan penonton kepada siri The Lord of the Rings (2001-2003).

Snow White versi Sanders ini bukanlah gadis yang memakai gaun cantik dan kembang sebaliknya seorang serikandi yang memakai baju besi, menunggang kuda dan memegang pedang. Biarpun sedikit sangsi dari mana dia belajar berlawan, anggap sajalah dia mewarisi kekuatan dan semangat bapanya.

Snow White kali ini ibarat Robin Hood versi wanita, yang bukan saja mahu menentang ketidakadilan tetapi menjadi ketua pertempuran. Cuma apa yang merosakkan idea itu ialah lakonan Kristen Stewart yang stereotaip dan lesu.

Saya tidak pasti mengapa Stewart mempunyai satu emosi saja untuk semua situasi. Saya boleh memaafkannya jika itu berlaku di dalam saga Twilight (2008-2012) tetapi sepatutnya dia mampu menunjukkan peningkatan untuk filem ini.

Jika ini filem bisu, saya gagal mentafsir reaksi wajah dan bahasa tubuh Stewart sama ada dia marah, dendam, kecewa atau gembira. Penonton masih dapat melihat dia mengetap bibir seperti mana Bella dalam Twilight. Atau mungkin bayang Bella terlalu kuat sehingga dia terperangkap.

Charlize Theron, bagaimanapun memainkan peranan Ravenna seperti tiada masalah. Watak jahat yang selalunya kelihatan satu dimensi saja, mendapat nilai tambah di tangan pemenang Oscar ini. Dia berbicara menerusi lirikan mata, sama ada seimbas kerlingan atau renungan.

Dia bukan saja mampu membuatkan penonton benci tetapi takut dan simpati dalam masa yang sama. Bahagian di mana permaisuri kejam harus mengekalkan kuasa dan kecantikan, mungkin agak klise tetapi Theron melakukannya dengan penuh komitmen dan tenaga, sehingga kita 'taksub' dan seronok menontonnya.

Snow White and the Huntsman bukanlah filem fantasi terbaik tahun ini tetapi Mirror Mirror seharusnya malu dengan adaptasi yang dilakukannya terhadap naskhah Snow White.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan filem ini lebih memberi keadilan berbanding adaptasi naskhah dongeng sebelumnya seperti Red Riding Hood (2011) dan Alice In Wonderland (2010).

1 comment:

FaizalSulaiman said...

setuju disini. Watak K-Stew sangat tak beremosi tetapi Theron sangat menyelamatkan filem ini.

Harap dia tercalon dalam Best Actress in a Supporting Role Oscar depan!