Thursday, July 12, 2012

THE AMAZING SPIDER-MAN (2012)


Maaf, tidak menakjubkan

SAYA sebenarnya kurang faham mengapa Spider-Man (2002) arahan Sam Raimi harus dibikin semula atau reboot mengikut terma Hollywood. Saya berpendapat, baru sedekad versi Raimi dihasilkan dan ingatan terhadapnya masih kuat. Kemunculan filem baru ini mengundang risiko dan perbandingan.

Namun demikian, The Amazing Spider-Man arahan Marc Webb (500 Days of Summer, 2009) diuar-uarkan lebih jujur kepada naskhah asal komiknya. Versi kali ini lebih terperinci dalam menerangkan asal-usul bagaimana Peter Parker menjadi Spider-Man dan ya, itu memang dijelaskan pada permulaan cerita.

Penonton diperkenalkan dengan ibu bapa Parker dan hubungan bapanya dengan Dr. Curt Connors, pemilik makmal sains dan kaji selidik Oscorp. Penonton juga ditunjukkan mengapa dia diserahkan kepada Uncle Ben dan Aunt May, walaupun sehingga penamat saya kurang jelas punca kematian ibu bapa Parker.

Selain itu, tiada apa yang berubah secara ketara. Sejam pertama memberi kegelisahan buat peminat francais ini kerana apa yang dipaparkan adalah yang pernah ditonton - Parker dibuli, Parker jatuh cinta, Parker digigit labah-labah, kematian Uncle Ben - semua ini bukan lagi satu kejutan.

The Amazing Spider-Man hanya mengulang cerita dari Spider-Man dengan sedikit tokok tambah keterujaan dari segi efek, sedikit pembinaan dalam karakter atau kewujudan peranan-peranan baru yang sebenarnya sama fungsi, hanya nama yang ditukar.

Jika anda pernah menonton versi 2002, mungkin anda tidak perlu membaca sinopsisnya. Tetapi demi keadilan ulasan ini, biarlah saya imbas kembali mengikut versi arahan Webb yang skripnya dihasilkan tiga penulis tetapi masih longgar strukturnya.

Kisah bermula di sekolah menengah di mana Parker ialah seorang jurugambar amatur yang meminati sains. Penemuan kepada sebuah fail dari beg lama bapanya membuatkan Parker mendekati Dr. Connors. Suatu hari kerana mencuri masuk makmal Oscorp, dia digigit labah-labah mutasi secara tidak sengaja.

Gigitan itu memberi tenaga dan kuasa luar biasa kepada Parker yang kemudian menggunakannya untuk membanteras jenayah di New York. Sering dibuli di sekolah, dia kini semakin berani, juga bertambah yakin untuk mendekati gadis idamannya bernama Gwen Stacy (iaitu Mary Jane dalam versi Raimi).

Tanpa disangka, Parker juga harus menghapuskan Dr. Connors yang bertukar rupa menjadi cicak gergasi The Lizard (pengganti watak jahat terdahulu, Green Goblin), kesan tindak balas uji kaji untuk menghasilkan spesies makhluk sempurna.

Saya merasakan terdapat pembinaan yang agak baik dalam karakter Parker kali ini. Penonton lebih memahami keperitan dia membesar dalam penuh teka-teki tentang 'kehilangan' ibu bapanya, juga keinginannya mencari sesuatu sebagai eskapisme.

Kehadiran Gwen Stacy juga adalah sesuatu yang dialu-alukan dari segi perwatakan. Mary Jane dulu dibentuk sebagai karakter yang asyik menjerit dan wanita lemah.

Tetapi Stacy dilihat sebagai gadis pintar malah babak-babak akhir juga menunjukkan penglibatannya untuk membantu Spider-Man menewaskan The Lizard.

Selebihnya, filem keempat ini tidak setanding tiga yang terawal dalam banyak perkara; seperti dialog, runut bunyi, skor muzik, keserasian, malah semangat keperwiraan Spider-Man itu sendiri.

Dibandingkan dengan teknologi sepuluh tahun lalu, imej janaan komputer (CGI) dalam The Amazing Spider-Man. Walaupun syot-syotnya kemas, saya merasakan ia tidak cemerlang dan tiada apa yang boleh dikenang.

Malah berbanding Green Goblin, robot itu kelihatan lebih dipercayai berbanding The Lizard yang nampak seperti menggunakan teknologi tahun 1998, ketika filem Godzilla diterbitkan. Kejahatan Rhys Ifans pada penghujungnya hanya menjadi satu bahan ketawa berbanding kebencian atau simpati.

Webb mungkin mahu penonton menilai adiwira ini dari perspektif yang lebih bersifat kemanusiaan. Namun, dia tidak mempunyai kebolehan seperti Christopher Nolan (francais Batman, 2005-2012) yang berupaya mengimbangi tema itu dalam bajet besar. Webb belum mampu menggalas tugas yang sama.

2 comments:

Anonymous said...

At least movie spiderman kali ade rasa n cukup feelingnya...lakonan pon superb!

Anonymous said...

dah namenye movie..nak cari logiknye plak?