Thursday, November 15, 2012

ISTANBUL AKU DATANG (2012)


Poskad istimewa dari Istanbul
Oleh Syazwan Zakariah
(syazwan_zakariah@astro.com.my)
Sedar atau tidak, genre komedi romantik di Malaysia seakan sedikit terpinggir berbanding genre lain. Sama ada pembikin menganggap jenis filem sebegini terlalu ringan, remeh dan kurang mencabar; atau mereka sebenarnya menyedari tidak mempunyai kepakaran untuk melakukannya.
Bukan tiada yang mencuba, tetapi selalunya tidak kesampaian. Hasilnya seperti separuh masak - hanya komedi tetapi tidak romantik, atau hanya romantik tetapi tidak komedi atau kedua-duanya tidak menjadi. Nampak mudah, tetapi genre ini harus ada kehalusan pembuatannya kerana kuat bermain dengan perasaan.
Menerusi Gol & Gincu (2005) dan Pisau Cukur (2009), pengarah Bernard Chauly dan penulis skrip Rafidah Abdullah membuktikan yang mereka memahami acuan dan struktur komedi romantik. Kedua-dua filem itu mendapat sambutan yang baik, mendorong mereka untuk menawarkan menu serupa sekali lagi.
Istanbul Aku Datang mengisahkan Dian yang sanggup terbang ke Istanbul untuk bertemu teman lelakinya, Azad yang menuntut di sana. Ingin mengambil kursus jangka masa pendek di universiti yang sama, dia harus memastikan Azad melamarnya dalam tempoh enam bulan.
Bagaimanapun, perancangan itu tidak selicin yang disangka. Dia terpaksa duduk berasingan apabila Azad tidak selesa mereka sebumbung dengan pelajar-pelajar Malaysia yang lain. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dia ditipu ejen rumah sewa dan terpaksa tinggal dengan Harris, lelaki Melayu yang tidak dikenalinya.
Seperti dua naskhah Bernard dan Rafidah sebelum ini, watak utama wanita adalah ‘hero’ yang menjadi tunjang penting penceritaan. Dian merupakan simbol gadis moden yang berdikari, pintar dan berjiwa kental, tetapi tidak terlepas dari sisi semulajadi seorang perempuan yang rapuh dan mampu terpedaya.
Bernard dan Rafidah berupaya mengangkat semangat feminisme dengan cermat. Mereka tidak memperlekeh wanita, tetapi tidak juga menjulang secara berlebihan. Ciri-ciri ini bukan saja terbias pada Dian tetapi sudah diwujudkan pada Puteri (Gol & Gincu) serta Intan dan Bella (Pisau Cukur).
Ketiga-tiga karakter ini mempunyai persamaan yang jelas, di mana pada awal cerita mereka seakan ‘hilang’ tetapi mula mengenali diri sepanjang perjalanan. Benar, ia bukanlah sesuatu yang baru dalam naskhah komedi romantik, tetapi tidak semua pembikin mampu membina perwatakan yang ‘solid’ dan dipercayai. 
Kelebihan Bernard dan Rafidah ialah mencuri stail ‘chick flick’ Hollywood dan mengadaptasikannya dalam persekitaran Melayu hari ini. Perbuatan itu tidak ‘berdosa’ asal saja ia dilakukan dengan betul, baik dan bercita rasa tinggi.
Mereka tahu untuk menyusun babak demi babak, serta peristiwa demi peristiwa untuk ‘memaku’ penonton. Dialog-dialog yang ditulis kedengaran organik dan relevan, terutamanya kepada golongan muda yang menjadi sasaran utama demografi. Bernard dan Rafidah berjaya mencipta sebuah dunia yang kita semua tahu ia sekadar khayalan tetapi masih berpaksikan realiti.
Kraf dalam menangani genre komedi romantik boleh menjadi ‘tricky’, lebih-lebih lagi untuk mereka berdua yang sudah kerap melakukannya. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan Bernard dan Rafidah apabila menjadikan latar dan suasana sebagai salah satu watak penting, dalam konteks ini Istanbul itu sendiri.
Filem Kad Cinta (1995) arahan Julie Dahlan pernah menjalani penggambaran di kota yang sama, tetapi apa yang terhasil sekadar rakaman tempat-tempat cantik tanpa signifikan. Watak-wataknya tidak berkaitan dengan situasi, menjadikan babak itu tiada bezanya jika dirakamkan di Kuala Lumpur atau di tempat lain.
Berlainan dengan Istanbul Aku Datang, kota itu dan orang-orangnya ‘dilibatkan’ dalam penceritaan, supaya pemilihan lokasi di luar negara tidak sia-sia dan lebih memberi makna. Filem ini ibarat kiriman poskad cantik yang menuliskan cerita-cerita menarik dan istimewa agar boleh dibaca berulang-ulang kali tanpa jemu.
Ini terbukti apabila kali kedua saya menontonnya di pawagam, saya masih terusik dan terhibur. Antara babak yang paling mengesankan ialah ketika Harris membantu mencuci rambut Dian. Emosi pada adegan ini begitu kuat, bercampur baur di antara sayu dan senyuman, ditambah dengan lagu latar yang tepat.
Watak Harris dibina dengan sempurna, di mana asalnya disangkakan sekadar peranan pembantu tetapi menjadi ‘prominent’ menuju ke penghujung cerita. Menyerahkannya kepada Beto Kusyairi adalah keputusan yang tepat kerana dia mengerti apa yang perlu dilakukan menerusi bahasa tubuh dan nada suara.
Pada awal kemunculan, penonton hampir percaya Harris ialah lelaki gay apabila dia kelihatan sedikit lembut dari gaya berjalan dan bercakap, lebih-lebih lagi dalam babak perang mulut. Begitupun, Beto mengubah persepsi itu dalam sekelip mata apabila Harris kemudiannya menjadi pelindung kepada Dian.
Tidak keterlaluan jika dikatakan filem ini menonjolkan lakonan terbaik Lisa Surihani. Watak Dian bukan saja diresapi melalui pengayaan busana yang lebih muda, segar dan manis, tetapi penjiwaannya diselami dengan baik. Lisa yang selama ini banyak diserahkan watak matang kelihatan ‘playful’ dan ‘quirky’.
Dia juga mampu menukar suis perasaan dengan sekali petik, misalnya ketika babak dia terpaksa berkemas beg untuk keluar rumah. Walaupun babak itu tidak menunjukkan wajah Dian dan hanya sisi tubuh yang bergetar, namun sudah cukup untuk membuatkan penonton berkongsi hiba.
Barangkali kerana kurang pengalaman berbanding Lisa dan Beto, Tomok ada masanya kelihatan kaku. Begitupun, lakonan Tomok tidaklah teruk kerana keserasiannya dengan pelakon lain, terutamanya Lisa masih boleh ‘dibeli’.
Sedikit kelemahan dari aspek kerja kamera, Istanbul Aku Datang terhasil sebagai sebuah filem cinta tempatan yang menyeronokkan; dibumbu dengan panorama dan landskap indah serta skor muzik yang nyaman.

1 comment:

Anonymous said...

cerita Istanbul aku datang betul2 comel,menarik dan santai serta di hujungnya yg punya pengajaran...tak rugi kita subscribe kat astro first...suka sangat...congrats to Lisa,Beto,Tomok n the gang...