Zaiton seperti yang diceritakan
Oleh Syazwan Zakariah
(syazwan_zakariah@astro.com.my)
Membikin filem berdasarkan kisah sebenar, baik peristiwa mahupun individu, adalah sesuatu yang sangat kompleks. Kerumitan itu bukan saja terbeban pada pasukan rekaan produksi yang merangkumi set, kostum dan sebagainya, malah paling penting kepintaran penulis dalam menyusun cerita dan karakternya.
Dalam konteks filem autobiografi, penulis mesti sedar apa yang ingin dicapai. Dia harus teliti dengan setiap perincian individu yang diceritakan, bukan saja dari aspek fizikal, malah mendalami perbuatan dan jiwanya. Dalam durasi kurang lebih dua jam, apa yang ingin dirumuskan dalam naskhah itu amat mustahak.
Justeru, selepas menonton Zaiton Ceritaku, saya tidak pasti apa ‘misinya’.
Zaiton Sameon yang sebenar muncul pada penghujung cerita, memberitahu bahawa “jangan lupa diri ketika berjaya dan sentiasa ingat mereka yang di bawah”. Tidak ada cacat celanya nilai moral itu, tetapi saya tidak faham dengan apa yang dimaksudkan ‘ketika berjaya’ dan ‘jangan lupa diri’.
Ini kerana Zaiton Ceritaku hanya memberi fokus kepada keperitan hidupnya selepas kemalangan - bagaimana dia harus survive dalam keadaan hilang ingatan, harta, keluarga dan segala-galanya. Zaman ‘ketika berjaya’ sehingga dia ‘lupa diri’ tidak jelas, tidak dikembangkan dan tidak diterokai.
Terdapat babak pembukaan yang menunjukkan Zaiton selesai membuat persembahan, kemudian disorak dan dipuji di belakang pentas. Babak seterusnya, dia ditimpa kecelakaan jalan raya.
Bayangkan jika saya tidak mengenali langsung siapa Zaiton Sameon. Adakah dengan hanya satu adegan awal tadi sudah cukup untuk membuatkan saya percaya dia penyanyi yang sangat gah, masyhur dan ‘berjaya’ satu ketika dulu?
Sepanjang filem berputar, penulis skrip Ainon Arif dan pengarah Esma Daniel lebih selesa untuk mempamerkan ‘ketidakwarasan’ Zaiton dan orang-orang sekeliling yang cuba mengambil kesempatan ke atasnya.
Lalu, saya merasakan, bukankah lebih relevan jika Zaiton pada penghujung cerita sepatutnya memberitahu, “jangan pinggirkan insan seperti saya”?
Saya pasti banyak kekangan yang perlu dihadapi sepanjang pembikinan autobiografi. Sama ada kisah itu dari orang yang masih hidup ataupun sudah mati, tentu banyak perkara sensitif yang harus dijaga dan diambil kira. Begitu pun, ia berbalik semula kepada kreativiti penulis untuk memanipulasikannya.
Saya kurang jelas mengapa era kegemilangan Zaiton tidak ditunjukkan. Kewujudan watak seperti komposer, penari pengiring, pemuzik, peminat atau wartawan barangkali dapat membantu; sekurang-kurangnya memberi idea kepada penonton siapa Zaiton ketika di kemuncak.
Ainon seperti malas untuk memikirkan soal ini dan menganggap penonton sudah terus kenal.
Saya juga kurang jelas mengapa nama sebilangan watak, misalnya adik-beradik Zaiton ditukar. Bukankah ini berdasarkan kisah benar? Alasan untuk menutup aib keluarga seakan tidak munasabah. Atau adakah filem ini separa fiksyen?
Saya berkata demikian kerana seingat saya, selepas kemalangan, Zaiton tidak pernah menjadi duta produk kecantikan, apatah lagi kesihatan. Namun, di dalam filem ini, dia ditawarkan menjadi jurucakap produk Kilauan Platinum. Saya mungkin silap tetapi saya merasakan ‘realiti’ itu sangat janggal.
Kesulitan dan kesengsaraan Zaiton hanya ditunjukkan menerusi siri babak dia ‘ketagih’ menyanyi, tidak kira di kenduri kahwin, gerai durian mahupun di tepi jalan. Babak-babak ini seharusnya mengundang simpati, tetapi kebanyakannya menjadi bahan ketawa. Salah penonton atau penulis yang silap mengolahnya?
Zaiton Ceritaku mempunyai banyak ruang untuk penonton merasai penderitaan penghibur ini. Kisah Zaiton kehilangan anaknya - bagaimana dia berasa trauma dan terigau-igau - barangkali lebih menyayat hati, berbanding penonton menyaksikan dia ke hulu ke hilir menyanyi seperti tidak tentu arah.
Sebenarnya Zaiton Ceritaku adalah cerita Zaiton yang sekarang. Generasi hari ini sepatutnya diberi peluang untuk mengenali siapa Zaiton yang dulu.
Dari aspek pengarahan, Esma banyak membuang masa dengan syot-syot yang tidak membantu penceritaan, seolah mahu mengisi durasi dengan bingkai-bingkai cantik tetapi tidak bermakna.
Misalnya, babak ketika Zaiton terlentang di tengah-tengah jalan dan tidak dipedulikan. Saya tidak pasti signifikannya. Lebih mengelirukan apabila ‘establishment’ diberi kepada seorang wanita muda yang tidak penting pun untuk babak itu.
Begitu juga babak penamat di mana Zaiton berbual dengan seorang gadis yang asalnya watak tempelan. Rasanya lebih kemas jika filem ini dibuka dengan perbualan mereka dan ditutup juga dengan perbualan itu, agar lakon layarnya lebih ‘structured’. Bukan sekadar suka-suka mewujudkan sesuatu babak.
Momen yang benar-benar menyentuh hanyalah apabila visual asal dipaparkan, misalnya ketika Zaiton menang Anugerah Juara Lagu, gambar-gambar bersama keluarga, ketika kemalangan serta rakaman dia menziarah pusara arwah anak.
Selain busana dan tatarias yang harus diberikan penekanan (aura Zaiton dalam filem ini tidak cukup flamboyant dan sepadan dengan Zaiton sebenar), rasanya Ainon juga harus berhati-hati dengan penggunaan kosa kata. Rasanya terma ‘diva’ hanya mula diguna pakai pada era milenium, tidak pada era Zaiton.
Saya tidak mahu menyalahkan Nadia Aqilah yang nampak berusaha keras menghidupkan karakter ini. Bakatnya boleh dipuji, lebih-lebih lagi ini filem pertamanya. Perbezaan dari sosok fizikal juga bukan masalah Nadia sebaik saja penerbit dan pengarah memutuskan peranan ini miliknya.
Saya hargai hasrat murni penerbit yang ingin menaikkan semula nama Zaiton dan memberikan penghargaan. Namun, lebih seronok jika rasa hormat itu dapat diterjemahkan dengan cermat, tanpa membuatkan Zaiton sendiri tersinggung atau mempersoalkan kewajaran ketika dia menyaksikannya.
No comments:
Post a Comment