Thursday, February 14, 2013

HUSIN, MON DAN JIN PAKAI TONCIT (2013)

Kak Limah 'sengat' Husin

BARANGKALI Mamat Khalid sendiri tidak percaya Hantu Kak Limah Balik Rumah mampu mencatat kejayaan besar pada 2010 sehingga kutipan pawagam mencecah RM8 juta. Merupakan filem kedua dari trilogi Kampung Pisang, filem pertamanya, Zombi Kampung Pisang (2007) hanya memungut RM2.4 juta.
Kutipan box-office itu menterjemahkan keseronokan khalayak terhadap Hantu Kak Limah. Dialog-dialognya menjadi ikutan; gerak laku dan bahasa tubuh watak-wataknya, terutama Usop Wilcha menjadi ajukan; malah filem itu juga menggerakkan ramai penerbit dan pengarah membikin naskhah komedi seram.
Barangkali kerana tidak begitu tertekan untuk menyaingi filem terdahulu, Mamat dapat menghasilkan Hantu Kak Limah dengan begitu relaks, babak demi babak tersusun cantik, serta jenakanya yang jujur dan tepat pada sasaran. Mamat sangat bernasib baik pada masa itu.
Sudah pasti apabila filem ketiganya, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit hendak dibikin, Mamat meletakkan harapan dan jangkaan yang lebih tinggi. Apatah lagi penonton. Mereka tidak sabar-sabar untuk mengikuti semula telatah masyarakat Kampung Pisang yang penuh semangat ingin tahu, gelabah dan cepat melatah.
Husin (lakonan Awie) pulang ke kampung dengan menaiki teksi sapu, tidak lagi bermotor besar seperti dulu. Dia berhasrat menetap terus di Kampung Pisang selepas hilang pekerjaan di Singapura akibat muflis ditipu skim cepat kaya.
Kepulangan Husin bukan saja disambut para pengunjung tetap warung Pak Jabit serta rakan-rakan, malah kekasih lamanya, Mon (Ezlynn) juga muncul semula.
Suatu hari, Husin hilang dari kampung dan tidak dapat dikesan. Kehadiran Dr. Samsudin (Rashidi Ishak) yang menawarkan bantuan menimbulkan misteri.
Sebagai pencerita, Mamat sememangnya sinonim dengan humor yang merapu, tetapi meninggalkan kesan. Perbualan-perbualan yang direka selalunya ringkas, bukan saja boleh mencetuskan ketawa serta-merta, malah dialog-dialog itu mampu diingati penonton untuk jangka masa yang agak lama.
Begitupun, nikmat untuk gelak berterusan seperti menyaksikan Hantu Kak Limah tidak dirasai. Penonton masih boleh terhibur, tetapi sekejap-sekejap.
Mamat seolah tidak dapat mencari 'punch line' yang benar-benar menyengat serta tempo komik yang tepat; menyukarkan Husin, Mon dan Jin untuk memiliki momen-momen yang bersifat malar segar.
Jangan salah faham, saya tidak bermaksud ingin menonton satu lagi filem Hantu Kak Limah atau meminta Mamat mengulang jenaka yang sama. Tetapi, Husin, Mon dan Jin tidak selancar dulu dan kurang 'mengenggam'.
Husin, Mon dan Jin cuba membawa penonton ke arah penceritaan yang lebih gelap. Jika Zombi dulu ialah kisah orang-orang kampung yang sebenarnya terkena toksik, dan Kak Limah sebenarnya bukan hantu tetapi wanita berusia yang kurang sihat, filem ketiga ini pula memang kisah makhluk dari alam lain.
Bagi pengikut sejati Mamat serta pengkaji filem, karya-karyanya sering dikaitkan dengan aspek sosio-budaya, termasuk perihal politik, secara halus. Ini tidak salah, malah ia adalah sebahagian dari pemikiran Mamat sendiri, baik untuk menghantar pesan, ataupun semata-mata sebagai sindiran.
Namun, seperti yang ditawarkan dalam Hantu Kak Limah, Mamat seharusnya memberi pilihan yang sama menerusi Husin, Mon dan Jin. Penonton, dalam erti kata lain golongan massa, berhak menentukan sama ada mahu gelak kosong, atau cuba memahami lapis-lapis tersirat, atau kedua-duanya sekali.
Tanpa membaca semiotik (teori pemberian simbol, tanda atau metafora) yang dicipta Mamat, penceritaan filem ini agak kabur. Motif Ayu menyamar sebagai Mon tidak dijelaskan sehingga ke akhir cerita. Begitu juga sebab mengapa Ayu/Mon yang juga kuasa jahat berebut dengan Jin untuk memiliki Husin.
Benar, Mamat ada menceritakan sejarah Kampung Pisang yang pernah membuat perjanjian syaitan, namun mengapa Jin itu hanya mengidamkan anak teruna? Dan mengapa hanya Husin, secara khususnya menjadi idaman? Adakah Husin teruna terakhir yang wujud di Kampung Pisang? Persoalan ini tiada jawapan.
Awie mengekalkan konsistensi lakonannya untuk watak Husin, begitu juga dengan watak pembantu yang sangat ikonik seperti Pak Abu (Zami Ismail), Pak Jabit (Man Kadir) dan Usop Wilcha (Shy8). Interaksi sesama watak ini cukup serasi, malah dirasakan lebih kuat berbanding dua filem sebelumnya.
Watak-watak tambahan seperti Wan Kaswi (Azwan Annuar) dan pemandu van ambulan, Zulfekar (Zainuri Misfar) dulunya dianggap 'secukup rasa' dan sekadar penambah perisa.
Kini, apabila mereka diberikan lebih masa tayangan dan dialog, mereka seolah tidak mampu menggalasnya - menjadikan lakonan mereka yang sememangnya kaku sejak awal tidak lagi boleh dihadam.
Menyentuh tentang kesan khas, saya tidak pasti jika Mamat sengaja mencipta imej-imej makhluk itu dengan sedikit sentuhan kartun atau kelemahan jabatan grafik. Namun demikian, rupa dan perasaan yang ditampilkan bersesuaian dengan sifat filem ini yang tidak masuk akal seperti Mamat bayangkan.
Tiada yang mengejutkan dalam lakonan Ezlynn. Adegan duet Mon bersama Husin menerusi lagu Lamunan Terhenti juga gagal menyaingi, atau setidak-tidaknya menjadi adegan kenangan, seperti mana dendangan Cinta Kristal dari Husin kepada Cik Nin dalam Hantu Kak Limah.
Inilah risikonya apabila filem prekuel mencatat sukses yang besar. Perbandingan tidak boleh dielakkan.
Begitupun, dengan lengkapnya trilogi ini, roh serta semangat Kampung Pisang akan terus dikenang sebagai karya yang mengingatkan Melayu tentang asal-usulnya, seperti mana komedi-komedi lama dari A.R Badul atau filem kelakar seram klasik, antara lain Setinggan (1981) dan Toyol (1981). Syabas Mamat.

No comments: