Warm Bodies
Dari semasa ke semasa, beberapa filem zombi diterbitkan dan disuntik dengan elemen humor selain drama dan seram, antaranya Shaun of the Dead (2004) dan Zombieland (2009). Di Malaysia sendiri, kita ada Zombi Kampung Pisang (2007).
Kejayaan siri televisyen The Walking Dead (sejak 2010 sehingga kini) merancakkan lagi pembikinan kisah-kisah zombi, malah ada yang meletakkannya sebagai genre khusus.
Selepas rentetan cerita pontianak 'menawan' Hollywood, kini giliran zombi pula.
Warm Bodies merupakan filem adaptasi novel tulisan Isaac Marion di mana pengarahnya, Jonathan Levine (50/50, 2011) turut bertindak sebagai penulis lakon layar. Sekali imbas, mirip francais saga Twilight (2008-2012) tentang percintaan antara manusia dengan bukan manusia.
Bagaimanapun, Warm Bodies dirasakan lebih jujur dengan sifatnya sebagai sebuah naskhah 'main-main'. Dalam erti kata lain, tidak memaksa penonton mempercayai apa yang berlaku, tetapi pada masa yang sama boleh menikmati susur galur cerita dengan penuh keseronokan.
Warm Bodies tidak seperti Twilight yang berusaha keras menjadi epik drama, sebaliknya sebuah naskhah romantik komedi (atau slanganya zomedi).
Filem ini mengisahkan seorang jejaka zombi yang hanya mengingati huruf pangkal namanya, R (lakonan Nicholas Hoult). Dia berkeliaran tanpa arah tujuan pada era akhir zaman, tanpa mengingati apa yang berlaku sebelumnya.
Pada waktu ini, dunia dihuni tiga kelompok makhluk iaitu manusia (humans), mayat (corpses) dan rangka (bonies). Manusia membina kubu dan tembok untuk memisahkan mereka dari dua kelompok tadi. Manusia juga sedaya-upaya memusnahkan musuh-musuh ini dan cuba memiliki dunia semula.
R termasuk dalam kategori mayat iaitu zombi tipikal yang cuba mengelak dari dibunuh manusia, manakala rangka ialah kelompok yang paling jahat dan ditakuti kerana sangat agresif dalam memburu manusia untuk dimakan.
Warm Bodies disampaikan melalui pandangan R, di mana sepanjang cerita, penonton akan mendengar 'suara hati dan pemikirannya' tentang apa yang berlaku. Ini memberi ruang untuk penonton berhubung dan memahami dunia zombi yang seakan menjadi mangsa keadaan.
Saya tertarik dengan babak pembukaan yang menunjukkan R seakan terasing walaupun dikelilingi ramai zombi. Ia seolah metafora bahawa kesepian itu sama seperti satu kematian dan juga petunjuk R berbeza dari zombi-zombi yang lain.
Dalam satu pertempuran di antara puak zombi dan manusia, R membunuh seorang lelaki bernama Perry (lakonan Dave Franco) yang cuba menembaknya. Dan untuk mendapatkan semula ingatan bagaimana rasanya menjadi manusia, R telah memakan otak Perry.
Pertempuran itu juga menemukan R dengan Julie (Theresa Palmer) iaitu kekasih kepada Perry. Atas dasar simpati (atau mungkin kerana telah 'mengenali' Julie melalui 'memori' Perry), R menyelamatkan gadis itu dari diserang zombi. Lalu bermulalah satu pertalian dan persahabatan yang aneh.
R cuba untuk menjadi manusia semula dan di sini penonton dapat merasakan sifat perwira yang ada di dalam karakternya. Dia menjadi mangsa keadaan yang tersepit sama ada untuk menyebelahi puak zombi atau sebaliknya.
Julie yang pada awalnya tertekan kerana menjadi 'mangsa tebusan' R, akhirnya belajar untuk menerima lelaki itu. Sudah tentu wujudnya dilema untuk pasangan ini, lebih-lebih lagi apabila hubungan mereka diketahui bapa Julie, Kapten Grigio (John Malkovich) yang mengetuai misi menghapuskan puak bukan manusia.
Untuk sebuah filem komedi romantik, konflik yang dibawakan Warm Bodies menjelang ke penamat agak berat. Begitupun, kebijaksanaan Levine dalam mengolah skripnya yang diselang selikan dengan jenaka tidak keterlaluan, menjadikan suasana tontonan tidak begitu menekan.
Secara kasar, apa yang ditawarkan Warm Bodies tidaklah begitu asli, tetapi pendekatan yang dibawakan Levine dalam menyampaikan cerita agak segar. Saya tidak pasti jika ilham itu diambil dari novel kerana saya tidak membacanya, tetapi Levine menjadikan ia berfungsi dengan baik di layar perak.
Hoult menghidupkan watak R dengan cukup sifat sebagai zombi yang keliru, dalam masa sama berupaya menjadi pemberontak, tetapi masih menawan. Dia seorang yang gagap, tetapi dalam pemikirannya (menerusi suara latar), dia mampu bercakap dengan normal dan masih bersifat kemanusiaan.
Filem ini mengukuhkan lagi nama Hoult sebagai bintang baru Hollywood yang harus diperhatikan, apatah lagi projek-projeknya yang lain juga tidak kurang hebat dari aspek publisiti dan pembikinan seperti Jack The Giant Slayer (2013).
Sementara itu, Palmer sebagai Julie tidak menjengkelkan seperti Kristen Stewart sebagai Bella. Barangkali kerana karakter itu sendiri yang 'berisi' dan dewasa, tidak sekadar seorang gadis yang lemah dan tidak tahu membuat keputusan.
Solekan zombi agak minimal, tidak terlalu mencuba untuk menakut-nakutkan, walaupun efek yang dihasilkan untuk puak rangka agak menyeramkan, apatah lagi dalam suasana gelap dengan pergerakan mereka yang pantas.
Walaupun penyudah filem ini agak bercirikan 'Disney' iaitu kegembiraan, tetapi Warm Bodies memberikan satu perspektif baru yakni zombi tidak akan selamanya 'mati'.
Zombi di dalam filem ini mampu untuk berevolusi ('evolve') sebagai hero ataupun 'devolve' menjadi rangka. Ia adalah dongeng percintaan ala Romeo dan Juliet atau Beauty and the Beast dalam era milenium serba kreatif hari ini.
No comments:
Post a Comment