Thursday, March 14, 2013

OZ THE GREAT AND POWERFUL (2013)

Tidak hebat, tetapi tidak teruk 

Oleh Syazwan Zakariah  

syazwan_zakariah@astro.com.my

SAYA kira, meletakkan harapan yang tinggi untuk Oz the Great and Powerful menjadi setaraf dengan filem asalnya, The Wizard of Oz (1939) adalah tindakan yang tidak adil, atau lebih tepat tidak masuk akal.
Penonton sendiri tahu jawapannya. Tidak mungkin filem yang baru ini, walau sehebat mana pun pembikinannya, akan dapat menyaingi naskhah klasik yang sudah dipertontonkan dari generasi ke generasi sehingga diangkat American Film Institute (AFI) sebagai filem fantasi terbaik sepanjang zaman.
Oz the Great and Powerful adalah prekuel kepada The Wizard of Oz.
Bagaimanapun, disebabkan hak cipta filem lama dipegang Metro-Goldwyn-Mayer (MGM), selaku penerbit baru Disney terpaksa menggunakan lesen kreatif agar versi arahan Sam Raimi (pengarah Spider-Man, 2002) ini masih senada dengan latar asal cerita.
Filem ini dibuka dengan babak hitam putih dalam nisbah 4:3 Academy, sebagai satu alusi atau tekapan kepada filem lama.
Penonton diperkenalkan dengan watak ahli silap mata bernama Oscar Diggs (lakonan James Franco) yang menghibur di Baum Family Circus di Kansas pada tahun 1905.
Oscar bukanlah seorang lelaki budiman. Seperti pekerjaannya yang bijak bermain helah, begitu jugalah kehidupan peribadinya yang angkuh dan mementingkan diri sendiri. Akibat diburu, dia melarikan diri dengan menaiki belon udara, membawa bersama topi keramatnya dan beg perkakas silap mata.
Perjalanannya digugat oleh puting beliung yang kemudian membawanya masuk ke alam Oz. Di sinilah berlakunya satu lagi tanda ingatan atau penghormatan Raimi terhadap filem lama apabila babak hitam putih bertukar kepada warna, sekali gus nisbah tontonan bertukar kepada skrin lebar nisbah 2.35:1.
Kehadiran Oscar disambut oleh ahli sihir bernama Theodora (Mila Kunis). Dia percaya bahawa lelaki inilah yang bakal melepaskan kota mereka, Emerald City dari belenggu kuasa jahat seperti yang diramalkan ahli nujum.
Theodora mempunyai seorang kakak bernama Evanora (Rachel Weisz) yang penuh muslihat. Penonton juga diperkenalkan, atau lebih tepat diperkenalkan semula dengan seorang lagi ahli sihir, Glinda (Michelle Williams) yang turut bertarung mendapatkan hak kebebasan dan keadilan.
Alam khayalan Oz kini menaruh harapan yang tinggi kepada Oscar.
Lelaki itu berada dalam dilema, sama ada mahu terus berpura-pura menjadi 'lelaki sakti' dan membantu rakyat, atau lari saja ke tempat lain demi meneruskan sifat sebenarnya yang licik, penipu dan tidak memikirkan orang lain.
Sejujurnya, saya mendapati filem ini tidaklah menghampakan. Benar, ia mempunyai beberapa masalah, tetapi tidaklah menjadikannya sangat teruk. Saya berkata begitu kerana ini adalah produk Disney. Penonton sudah boleh meramal bagaimana hasilnya dan apa yang boleh dinikmati daripadanya.
Raimi menghidangkan penonton jamuan mata dengan penggunaan kesan dan imej janaan komputer (CGI) yang disengajakan kelihatan sedikit kartun. Dalam kebanyakan filem hari ini di mana kehebatan mutu CGI hampir menyamai objek sebenar, Oz the Great and Powerful memberi perasaan nostalgia kanak-kanak.
Peminat filem pertama pastinya akan gembira melihat kemunculan sekumpulan babun terbang, orang-orang kerdil bergelar Munchkin yang menari dan menyanyi, bunga popi yang beracun serta buih gergasi yang terapung. Raimi mampu menghubungkan penonton menerusi visual yang cantik dan menarik.
Sayangnya, kelebihan itu tidak mampu menyelamatkan lakon layar tulisan Mitchell Kapner dan David Lindsay-Abaire. Skripnya lesu, tiada kejutan dan mendatar. Naratifnya tidak cukup 'menghentam', seolah menganggap penonton akan berpuas hati hanya dengan visual dan gambaran yang menakjubkan.
Sebagai filem prekuel, ia harus berfungsi sebagai asas cerita yang kukuh sebelum The Wizard of Oz bermula. Misalnya, dari mana asal-usul jalan bata kuning? Atau bagaimana Glinda boleh mempunyai istana lain ketika dia ditindas dan apa yang terjadi kepada istana itu selepas Glinda kembali ke Emerald City?
Pembinaan karakter juga boleh dipersoalkan, apabila pelakon sebaik Kunis sekadar mampu memberikan lakonan yang separuh masak. Wataknya ditulis seperti tergesa-gesa, membuatkan penonton tidak dapat memberikan emosi yang sesuai sama ada mahu bersimpati atau membencinya.
Tidak seperti kebanyakan pengkritik Hollywood yang mengutuk Franco, saya berasakan persembahannya tidaklah begitu lemah, tetapi tidak juga cemerlang. Lakonannya yang dianggap 'malas' itu ibarat secocok dengan karakter Oscar sebagai lelaki yang awalnya lembik, tidak berguna dan tidak boleh diharap.
Barangkali apa yang kurang ialah sifat atau keperibadian menawan seperti yang Franco sering tonjolkan dalam filem-filem lakonannya sebelum ini. Entah mengapa, dalam beberapa babak, saya merasakan dia seperti sedikit mabuk sebelum masuk ke set penggambaran dan tidak henti-henti tersenyum.
Begitupun, Weisz dan Williams menyinar apabila berjaya menterjemahkan watak mereka dengan baik. Mereka memahami kerumitan karakter yang dibawa dengan menyuntik perspektif kemanusiaan dalam watak dongeng. Mungkin inilah yang kurang difahami oleh Kunis dan Franco.
Selain itu, rakan-rakan mengembara Oz seperti monyet Finley (suara oleh Zach Braff) dan patung porselin China Girl (Joey King) turut mencuri perhatian dengan anekdot dan dialog mereka yang menyentuh hati serta melucukan.
Oz the Great and Powerful mungkin tidak disukai pengkritik, tetapi masih termasuk dalam kategori filem untuk seisi keluarga yang menyenangkan.

No comments: