Thursday, April 11, 2013

SIDE EFFECTS (2013)

Kesan terakhir tinggalan Soderbergh

EMILY (lakonan Rooney Mara) menunggu selama empat tahun untuk suaminya keluar penjara. Bagaimanapun, selepas Martin (Channing Tatum) dibebaskan, Emily masih mempunyai masalah kemurungan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan hakikat hidup yang berubah selepas suaminya itu ditangkap.
Depresi yang berlarutan menyebabkan Emily cuba membunuh diri dengan melanggar dinding di tempat letak kereta. Hampir dimasukkan ke hospital sakit jiwa, dia berjaya memujuk Dr. Jonathan Banks (Jude Law) agar melepaskannya. Emily berjanji mengambil ubat dan hadir ke sesi kaunseling setiap minggu.
Malangnya, Emily masih gagal mengawal perasaan dan hampir membunuh diri sekali lagi. Kali ini, dia meminta preskripsi ubat yang lebih kuat sehingga Dr. Banks terpaksa merujuk kes Emily kepada pakar psikiatrinya terdahulu, Dr. Victoria Siebert (Catherine Zeta-Jones).
Emily diberikan dos ubat bernama Ablixa yang dilihat berkesan terhadapnya, tetapi membawa kesan sampingan iaitu berjalan di dalam tidur. Suatu hari, Emily menikam Martin sehingga mati semasa menyediakan makan malam, tetapi mengaku tidak bersalah. Dia tidak mengingati jika dia yang melakukannya.
Tragedi ini bukan saja membawa impak kepada kehidupan Emily, tetapi Dr. Banks. Jika benar Emily berada di bawah sedar kerana kesan ubat yang diambil, adakah doktor itu yang harus bertanggungjawab di atas kematian Martin?
Apa yang menarik tentang Side Effects ialah ia bermula seperti sebuah program realiti dokumentari tentang ubatan dan kesannya kepada pengguna. Ini mengingatkan saya kepada satu lagi filem arahan Steven Soderbergh, Contagion (2011) mengenai penularan epidermik merbahaya ke serata dunia.
Kedua-dua filem ini dibuka dengan wajah dan perasaan yang serupa - muram dan suram seolah memberi bayangan sesuatu yang menakutkan bakal berlaku.
Beberapa minit selepas penonton diperkenalkan dengan watak-watak terlibat, plotnya kemudian berubah kepada kisah misteri pembunuhan. Struktur penceritaan yang disangkakan lurus itu serta-merta bertukar menjadi kompleks.
Di sinilah terletaknya kepandaian penulis skrip Scott Z. Burns dalam mencipta naskhah thriller yang bukan saja mendebarkan, tetapi menganjak pemikiran.
Soderbergh tidak memerlukan helah murahan seperti bunyi yang kuat, muzik yang menggemparkan atau ekspresi lakonan berlebihan untuk membuatkan penonton terkejut. Gaya pengarahan yang dikraf dengan tersusun membuatkan penonton peduli dan 'mengambil bahagian' dalam penceritaan.
Soderbergh tidak memaksa penonton untuk memerhatikan secara terperinci apa yang dipaparkan di skrin. Namun kerana lakon layar dan kerja kameranya yang digerakkan dengan begitu teliti, kita akan melakukannya sendiri tanpa disuruh.
Tumpuan kita akan tertangkap kepada label-label ubat, tag nama, logo dan sebagainya. Mata penonton meliar untuk mencari pembayang kepada beberapa persoalan, begitu juga dengan perbualan-perbualan yang mungkin kedengaran tidak penting, tetapi boleh dijadikan panduan untuk merungkai jawapan.
Soderbergh yang pernah menang Pengarah Terbaik Oscar menerusi Traffic (2000) turut menampilkan keyakinannya untuk menangani naskhah serumit ini. Tanpa kebijaksanaan dan kawalan yang betul, Side Effects boleh saja terhasil sebagai filem yang mengarut, membosankan dan tidak masuk akal.
Begitupun, ia tidak berlaku. Situasi huru-hara yang tercetus dalam filem ini digambarkan dalam rentak perlahan dan dikira tenang dengan syot-syot 'close-up' yang mewakili perasaan setiap watak. Setiap 'kekacauan' yang terjadi akhirnya diselesaikan dalam satu kesimpulan yang memuaskan.
Tentunya segala aspek teknikal yang baik tidak akan lengkap tanpa lakonan cemerlang. Mara sekali lagi membuktikan dia antara aktres muda yang bakal meneruskan legasi primadona Hollywood selepas tercalon untuk Oscar menerusi The Girl with the Dragon Tattoo (2011).
Karakter Emily jauh lebih sukar dari apa yang penonton dapat bayangkan ketika dia mula-mula muncul di skrin. Dia menunjukkan rangkaian emosi yang pelbagai, mencuri perhatian penonton dalam setiap adegan. Kerapuhan sifatnya dan lemah-lembut bicaranya membuatkan sesiapa pun terpedaya.
Sementara itu, Law sebagai Dr. Banks mempamerkan tindak balas yang sewajarnya melalui setiap tindakan dan perbuatan.
Ini merupakan persembahan terbaik Law dalam tempoh beberapa tahun, yang kebelakangan ini seakan dilupakan bakatnya untuk menjadi lebih daripada Dr. John Watson dalam siri filem Sherlock Holmes (2009-2011).
Begitu juga dengan Zeta-Jones yang babaknya tidak banyak, tetapi memberikan permainan yang tepat menerusi gerak mata dan bahasa tubuh.
Agak menghairankan dan menyedihkan apabila Soderbergh menyatakan hasrat untuk bersara apabila Side Effects menjadi filem terakhirnya (walaupun dia masih terlibat untuk produksi televisyen).
Saya berharap keputusan itu dipertimbangkan semula kerana saya percaya filem ini membuatkan audiens terkesan dan teringat-ingat. Alangkah ruginya jika dunia sinema kehilangan seseorang yang berbakat hebat sepertinya.

No comments: