Jauh daripada kegelapan
SAYA bukanlah peminat setia Star Trek atau nama gelarannya Trekkie. Saya tidak mengikuti perkembangan francais ini yang mana sirinya bermula seawal 1966 sebelum filemnya yang pertama, Star Trek: The Motion Picture (1979) diterbitkan. Jika saya pernah menonton pun, ingatan terhadapnya amat kabur.Lima filem menyusul selepas itu sebelum J. J Abrams (Mission: Impossible III, 2006) membikin versi 'reboot' pada 2009. Saya menonton versi itu - tidak menggilainya, namun tidak juga membenci kerana secara umumnya genre sains fiksyen dan filem yang banyak menggunakan kesan khas bukan kegemaran saya.
Sebab saya menontonnya ketika itu, selain dari publisiti meluas dan jenama Star Trek itu sendiri, adalah kerana trek rekod Abrams yang bukan saja mengarah, tetapi turut menerbitkan filem popular seperti Cloverfield (2008) dan siri televisyen Felicity (1998-2002) dan Alias (2001-2006).
Selepas Abrams mengarahkan Super 8 (2011), keyakinan saya terhadap bakatnya bertambah. Jangkaan itu tidak meleset apabila Star Trek Into Darkness terhasil dengan cemerlang. Sekuel ini lebih mencuri tumpuan saya berbanding versi 2009 dan saya percaya Abrams berjaya menambah peminat francais ini.
Memandangkan pengenalan terhadap latar dan karakter sudah dilakukan dalam filem pertama, Abrams bersama tiga penulis skrip mempunyai lebih kebebasan untuk mencipta plot yang baru. Saya akui tidak berasa sedikit mengantuk pun semasa menontonnya dari mula hingga akhir walaupun tayangan tengah malam.
Filem ini dibuka dengan misi yang harus Starfleet selesaikan di planet Nibiru. Walaupun sukses, ibu pejabat berasa kecewa dengan beberapa kecuaian yang ditunjukkan, terutamanya tindakan Kapten James T. Kirk (lakonan Chris Pine).
Starfleet kemudian dikejutkan dengan ancaman terbaru yang dicetuskan seorang lelaki bernama John Harrison (Benedict Cumberbatch). Kirk, yang diberikan peluang kedua untuk membuktikan kebolehannya, diarahkan mengetuai anak kapal Enterprise dalam memburu Harrison yang bersembunyi di Kronos.
Mereka dibekalkan dengan 72 prototaip torpedo yang mana ketua jurutera, Scotty (Simon Pegg) berasa was-was dengan senjata tersebut. Apa yang berlaku seterusnya ialah pendedahan dan jawapan terhadap setiap keraguan, terutamanya identiti sebenar Harrison dan kaitan dengan torpedo itu.
Apa yang mengagumkan saya terhadap keupayaan Abrams dan penulis skrip ialah menjadikan filem ini sentiasa bergerak pantas dalam aksi dan debarannya, tanpa berkompromi soal cerita dan perkembangan karakter. Perjalanannya lancar dengan turun naik emosi dalam skrip yang kemas dan pintar.
Sebagai contoh, watak Kirk yang agak menjengkelkan dalam filem pertama kini berubah matang, sesuai dengan peningkatan usia dan tanggungjawab yang lebih besar. Dia masih suka melanggar peraturan dan selalu bertekak dengan Spock (Zachary Quinto), tetapi dia mempunyai alasan yang boleh dipakai kali ini.
Personaliti yang kontra di antara Kirk dan Spock mencetuskan elemen humor sama ada secara sengaja atau tidak. Pine dan Quinto mempamerkan keserasian dan masing-masing memberikan persembahan yang baik. Beberapa babak emosional berjaya ditonjolkan tanpa penonton ketawa atau mencebik.
Cumberbatch, walaupun menjadi pilihan terakhir pengarah untuk menggalas watak penjahat Harrison, berjaya memberikan dimensi lakonan yang berkesan. Dengan tona suaranya yang 'dalam dan menakutkan', riak wajahnya juga menjadikan watak antagonis ini yang terbaik berbanding versi 2009.
Setiap kemunculannya di layar berjaya memaku penonton. Harrison adalah sejenis penjahat di mana penonton 'menyayanginya'. Bukan bermaksud lakonannya tidak bagus, tetapi di samping wajah kacak, Harrison begitu tangkas ketika bertarung. Justeru, penonton tidak mahu dia cepat tewas dan diberkas.
Selain itu, setiap watak mempunyai momen mereka tersendiri. Antaranya Dr. Carol Marcus (Alice Eve), krew baru Starfleet yang mencetuskan dinamik perhubungan di antara Kirk, Spock dan bapanya, Admiral Marcus.
Chekov (Anton Yelchin) dengan loghat Rusianya yang turut menjadi 'hero', Bones (Karl Urban) dengan sikapnya yang suka mengeluh dan skeptikal, Sulu (John Cho) yang dapat duduk di kerusi Kapten sebagai pemangku, serta Scotty yang semakin disenangi dan lebih banyak babak kali ini.
Cuma mungkin percintaan di antara Spock dan Uhura (Zoe Saldana) yang agak merimaskan bagi saya. Tidak banyak perkembangan pada Uhura, selain dia mampu bercakap dalam bahasa Klingon semasa menjejak Harrison di Kronos.
Di sebalik kehebatan efek dan kesan khas serta skala naskhah yang bertaraf epik, Abrams mampu membuatkan penonton peduli terhadap setiap karakter, dan ini adalah kejayaannya yang terbesar.
Dia bukan saja meneruskan legasi Star Trek agar terus disanjung, tetapi menjadikan karya ini mudah diakses generasi baru yang mungkin tidak pernah menonton siri atau filem sebelumnya. Walaupun judulnya tentang kegelapan (darkness), mood filem ini jauh dari tekanan, sebaliknya satu keseronokan.
No comments:
Post a Comment