Superman, Man of Steel
Superman, sebaliknya, memang dilahirkan sebagai adiwira dari alam yang berbeza. Ada masanya penonton atau pembaca komik sukar untuk mempunyai empati atau simpati terhadapnya kerana sedia maklum sifat luar biasanya.
Begitupun, terima kasih kepada Christopher Nolan, pengarah trilogi Batman (2005-2012) yang bertindak selaku penulis bersama untuk lakon layar filem terbaru Superman, Man of Steel.
Nolan mempunyai keupayaan dalam bercerita secara teliti dengan mendalami setiap perwatakan. Seperti apa yang dilakukan kepada francais Batman, dia bijak mengadaptasi kisah komik menjadi naskhah yang mampu dipandang serius.
Untuk Man of Steel, dia bekerjasama dengan rakan penulis The Dark Knight Rises (2012), David S. Goyer untuk memberi imaginasi baru terhadap Superman, karya DC Comics yang berusia hampir 75 tahun sejak penerbitan edisi pertama.
Jalinan cerita yang ditulis Nolan dan Goyer memberi kefahaman tentang asal-usul seorang bayi yang bernama Kal-El yang dihantar ke bumi oleh ibu bapanya ketika Krypton hampir musnah.
Man of Steel ialah 'character-driven story' tentang bayi itu yang kemudiannya membesar dengan nama Clark Kent. Dipelihara sepasang suami isteri yang menemuinya terdampar di sebuah ladang, penonton melihat sendiri bagaimana Clark 'bertarung' untuk memahami mengapa dia berbeza dari kanak-kanak lain.
Clark berasa tersisih dan takut dengan kelebihan (atau baginya sumpahan) yang ada padanya. Ibu bapa angkatnya menasihatkan agar dia membataskan penggunaan kuasa yang dikurniakan - jangan menjadi terlalu pantas atau terlalu kuat - kerana bimbang akan menyakiti orang lain dan dirinya sendiri.
Pertemuan Clark dengan roh bapa kandungnya, Jor-El meyakinkan dia adalah simbol keamanan dunia sejagat. Transformasi ini - dari seorang yang tidak menerima hakikat siapa dirinya, kepada seorang hero - adalah satu tontonan yang mengasyikkan, walaupun pernah diceritakan berulang kali.
Selain arus penceritaan yang baik, Man of Steel ditangani pengarah yang pandai membaca visi Nolan dan Goyer. Zack Snyder (Watchmen, 2009; Sucker Punch, 2011) membawa bersama kepakarannya dalam aspek teknikal serta imejan yang mengagumkan. Man of Steel adalah perkahwinan cerita dan visual yang tepat.
Filem ini berjalan lancar, tidak terlalu laju atau perlahan. Dibuka dengan babak pertempuran di Krypton dalam mood genre fiksyen sains, ia kemudian beralih kepada suasana drama dan emosi. Bagaimana Clark semasa kanak-kanak dan dewasa 'mencari dirinya' diceritakan secara non-linear.
Sejam selepas itu, tempo Man of Steel bertukar menjadi filem aksi blockbuster musim panas, apatah lagi dengan kehadiran watak antagonis utamanya, General Zod. Babak-babak lawan dihasilkan dengan kemas, menunjukkan kehalusan kerja tangan dan pemikiran Snyder dalam jabatan audio dan visual.
Synder menjadikan filem ini 'solid' - padu dengan aksi, kesan khas yang baik dan tema kemanusiaan yang yang menonjol, walaupun ini hanyalah dongeng. Pada satu-satu masa saya menyangkakan filem ini akan menjadi bosan, tetapi tidak kerana ia terus-terusan memaku penonton sehingga cerita selesai.
Man of Steel ialah interpretasi moden tentang Superman yang lebih sensitif dan mampu wujud di dunia nyata. Ia tidak sama seperti Superman lakonan Christopher Reeve dari era ibu bapa kita yang lebih mudah, ringan, memiliki unsur humor yang kuat, serta watak baik dan jahatnya mempunyai jurang besar.
Saya menyukai karakter General Zod (lakonan Michael Shannon) yang setara kuat perwatakannya dengan Clark/Superman. Meskipun jahat, Zod mempunyai niat murni untuk bangsanya. Dia mahu menjadikan bumi sebagai koloni baru selepas Krypton musnah dan umat manusia baginya adalah penghalang.
Penonton juga dapat menyaksikan watak Lois Lane sebagai wanita yang lebih kuat, matang dan berdikari - bukan mengada-ada, kepala angin dan lemah seperti mana sebelum ini. Amy Adams menggalas peranan ini sebaiknya. Perhubungan di antara Lois dan Clark/Superman juga dibentuk dengan unik.
Kerana Man of Steel kisah permulaan Superman, tidak banyak babak cinta atau romantis di antara mereka. Begitupun, mereka saling tertarik kerana Lois mengetahui identiti sebenar Clark dan Clark pasti Lois adalah wanita yang boleh dipercayai untuk merahsiakannya. Itu adalah faktor tarikan yang sempurna.
Sasa dan tampan, Henry Cavill memenuhi kriteria Clark/Superman secara fizikal berbanding Brandon Routh dari Superman Returns (2006). Menariknya, magnet Cavill bukan sekadar paras rupa, tetapi dalam kegagahan itu, dia membawa kelembutan dan kemurnian seorang adiwira yang mahu menjadi insan biasa.
Hans Zimmer memberikan skor muzik yang cantik dan berani memberi perubahan kerana tidak cuba untuk meniru 'trademark' John Williams. Saya juga sukakan penamatnya yang memberikan penonton harapan untuk filem sekuel.
No comments:
Post a Comment