Thursday, October 3, 2013

JOBS (2013)

Jobs yang dingin

SELAMA ini saya amat mengagumi kehebatan Steve Jobs dan saya pasti seluruh dunia pun begitu. Bagaimanapun selepas menonton filem biografinya arahan Joshua Michael Stern, saya berada dalam dilema.
Saya tidak pasti mahu terus menyanjungi pengasas komputer Apple ini atau tidak. Dia memang pintar kerana mengilhamkan produk-produk hebat, tetapi sekadar itu saja. Keperibadian yang ditampilkan bukan contoh seorang tokoh.
Adakah ini terjadi kerana Matt Whiteley tidak menulis lakon layarnya dengan betul atau personaliti Jobs sememangnya menjengkelkan?
Apa pun jawapannya, saya merasakan insan handal seperti Jobs patut mendapat lebih keadilan menerusi sebuah filem yang baik dan tersusun penceritaannya.
Filem ini memberi gambaran mudah terhadap seorang lelaki yang saya percaya sifatnya lebih kompleks seperti mana pemikirannya.
Filem Jobs bermula dengan babak pada 2001, ketika Jobs (lakonan Ashton Kutcher) memperkenalkan iPod dan mendapat tepukan gemuruh.
Adegan kemudian berputar 30 tahun sebelum itu, semasa Jobs masih menuntut di Reed College, Portland. Tidak habis belajar, dia mengembara ke India untuk seketika sebelum mendapat kerja di tempat mencipta permainan video, Atari.
Menyedari dia tidak mendapat kepuasan bekerja di bawah orang, Jobs bersama rakannya, seorang jurutera bernama Steve Wozniak (Josh Gad), mencipta versi komputer mereka sendiri. Dia menjadikan garaj rumah ibu bapanya di Los Altos, California sebagai bengkel mereka.
Bibit kejayaan tercetus apabila seorang usahawan dan bekas jurutera dari Intel bernama Mike Markulla (Dermot Mulroney) mempercayai visi Jobs. Dia bersedia melabur untuk menubuhkan Apple Computer Inc. sekali gus melancarkan Apple II yang diinspirasikan dari mesin taip dengan monitor televisyen.
Menjadi gergasi dunia komputer sebaris IBM, bagaimanapun Jobs 'dibuang' dari Apple apabila dia melancarkan versi Macintosh pada 1984. Dia tidak mendapat sokongan ahli lembaga pengarah yang memihak kepada Ketua Pegawai Eksekutif, John Scully (Matthew Modine) yang dilantik sendiri oleh Jobs.
Apabila saham Apple merudum dan keadaan syarikat tidak stabil, Jobs dipujuk untuk menyertai mereka semula pada 1996. Ketua Pegawai Eksekutif, Gil Amelio (Kevin Dunn) terpaksa meletakkan jawatan dan Apple seterusnya berkembang di bawah pentadbiran Jobs yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif baru.
Pengkisahan bagaimana Jobs membina Apple sebelum ia menjadi gah, senang difahami penonton. Secara kasar, filem ini menunjukkan detik-detik penting lelaki itu dari aspek profesion - turun naik kerjayanya - iaitu perkara yang mungkin ramai sudah tahu atau pernah membacanya di mana-mana.
Apa yang kurang dalam filem ini ialah perasaan. Penonton disogokkan dengan peristiwa demi peristiwa tanpa mampu mengaitkan apa sebenarnya yang dirasai oleh Jobs. Menonton filem Jobs seperti dokumentari tanpa elemen drama.
Benar, Whiteley menunjukkan sisi Jobs yang gigih dan tidak putus asa dalam berinovasi, tetapi hubungannya dengan watak-watak di sekeliling terabai.
Sebagai contoh, persahabatan Jobs dengan Wozniak tidak didalami. Mengapa Wozniak bertindak meninggalkan Apple dan bagaimana dia melihat Jobs sebagai insan yang banyak berubah selepas berjaya, tidak diceritakan dengan baik.
Penonton juga pada awalnya melihat bagaimana Jobs meninggalkan teman wanitanya yang hamil, Chris-Ann Brennan (Ahna O'Reilly) dan enggan bertanggungjawab. Pada pertengahan filem pula, Jobs tiba-tiba digambarkan sudah berkahwin dengan wanita lain tanpa memberi penonton penjelasan.
Dalam erti kata lain, penonton meninggalkan pawagam tanpa mempedulikan Jobs kerana kita tidak diberi peluang untuk benar-benar memahami siapa dia. Apa yang ditunjukkan dalam filem ini, jika tepat, hanyalah memalukan dia dan keluarga. (Jobs meninggal dunia pada 5 Oktober 2011 akibat barah pankreas).
Personaliti Jobs ditunjukkan sebagai seorang yang angkuh, panas baran dan tidak menghargai mereka yang menyokongnya. Dia bercakap kasar dengan pekerja, tidak memberikan kredit kepada mereka yang sama-sama membantunya ketika susah dan hanya mementingkan diri sendiri.
Filem ini membuatkan saya tertanya-tanya. Adakah dunia hari ini mengangkat seorang ikon hanya kerana dia bijak dalam menghasilkan produk yang digemari dunia sehingga bergelar hartawan? Sedangkan di sebalik kepintaran itu, kita menutup sebelah mata terhadap sifat insaninya yang tamak dan lupa diri?
Suntingan filem ini berterabur. Babak-babak bermula dan berakhir seperti secara rawak tanpa kandungan emosi. Adegan disambungkan tanpa struktur yang kukuh dan ada waktunya meninggalkan penonton dengan tanda tanya.
Misalnya, susulan Jobs menadah cahaya matahari dengan beberapa babak pantas kejadian-kejadian yang berlaku dalam hidupnya. Saya mengerti apa yang ingin disampaikan pengarah iaitu Jobs seakan mendapat inspirasi, tetapi penonton tidak merasakannya.
Begitu juga dengan susulan ketika Jobs bercucuk tanam dan mencabut lobak merah yang ditanam di kebun rumahnya. Babak itu menjadi sambungan kepada lapan tahun selepas Jobs dibuang dari Apple. Ia terasa janggal dan tidak kena.
Kutcher kelihatan bekerja keras dengan sedaya upaya untuk menghidupkan semula Jobs, terutamanya meniru gaya dia berjalan dengan terhenjut-henjut dan membongkok. Sayangnya, Kutcher hanya 'memainkan' watak dan bukan 'menjadi' watak itu.
Tiada apa yang boleh dipelajari dari filem ini. Tiada dialog atau momen-momen yang boleh diingati. Malang sekali, Jobs terhasil sebagai sebuah naskhah yang dingin dan tidak memberi inspirasi seperti yang diharapkan.

No comments: