Seru merupakan cantuman pita rakaman sebenar seorang mangsa terakhir yang terselamat dari tragedi pembunuhan akibat rasukan di sebuah set penggambaran filem. Manakala Highland Tower adalah pita rakaman sekumpulan anak muda yang mencari entiti untuk tujuan dokumentasi.
Filem ini mirip kepada Penunggu Istana (2011) yang dipasarkan sebagai doku paranormal pertama Malaysia. Strategi filem itu ialah menggunakan pelakon amatur (yang tidak dikenali ketika itu, antaranya Sara Ali dan Amar Asyraff) sebagai sekumpulan pelajar kolej yang sedang menyiapkan tugasan.
Taktik itu sekurang-kurangnya memberikan perasaan realisme kononnya ia memang pernah berlaku dan bukan satu lakonan. Berbeza dengan Highland Tower, ia membariskan pelakon residen MIG yang pernah dilihat di dalam filem-filem lain, tetapi kali ini bertindak sebagai krew produksi.
Mika (Mikael Andre) dan Niezam (Niezam Zaidi) ialah pembikin dokumentari paranormal. Menginginkan cabaran, mereka bercadang untuk ke Highland Towers, penempatan di Taman Hillview, Ulu Kelang yang runtuh pada 1993.
Selepas satu dari tiga blok kondominium itu musnah, pihak berkuasa mengisytiharkan ia tidak selamat untuk didiami. Tragedi itu mengorbankan 48 nyawa dan sehingga kini kawasan itu terbiar bersemak-samun.
Merupakan projek terbesar Mika dan Niezam, mereka meminta sokongan MIG dari segi dana dan bantuan teknikal. Produksi mereka kini dianggotai tujuh individu termasuk seorang pemandu iaitu Eddy (Eddy Rauf), hos dokumentari, Shima (Shima Anuar) dan juruaudio, Adibah (Adibah Yunus).
Selepas beberapa jam di Highland Towers, mereka mula diganggu dengan bunyi aneh, peristiwa kehilangan anggota kumpulan serta kemuncaknya apabila Shima dan krew pembantu, Atikah (Atikah Suhaime) diserang histeria.
Bagi filem sebegini, penonton memang mengharap untuk ditakut-takutkan. Rumah atau bangunan terbiar dengan tangkapan kamera yang sebenar secara automatiknya membuatkan penonton resah dan berdebar kerana mereka tidak pasti apa yang akan berlaku atau muncul di depan mata.
Saya tidak mempunyai masalah dengan gerak kamera yang terhuyung-hayang kerana formatnya memang begitu. Malah, jika dibandingkan dengan Seru yang goncangan kameranya lebih ekstrem, Highland Tower dirasakan lebih tenang dan terkawal. Namun, ada beberapa hal yang membuatkan realisme itu hilang.
Terdapat beberapa babak di mana bunyian, misalnya tangisan bayi, tidak raw seperti ia terhasil sendiri. Bunyi itu sama seperti yang diletakkan di dalam filem-filem fiksyen lain - jelas bergema dan diadun.
Saya tidak dapat membeli lakonan-lakonan yang dipersembahkan. Ia kelihatan dipaksa dan dibuat-buat. Reaksi mereka - sama ada teruja, tenang mahupun ketakutan - seperti tidak asli, kecuali lakonan Eddy yang bersahaja dan subtle yang menjadikan filem sebegini lebih mudah untuk dipercayai.
Ya, Mika mungkin pengarah projek yang amatur, tetapi saya tidak dapat merasakan mereka ke sana untuk sebuah projek pembikinan doku yang serius.
Mereka, terutamanya Mika kelihatan clueless dan tidak tahu apa yang mahu dilakukan. Mereka seperti tiada perancangan yang teliti seperti rajah atau peta bangunan untuk diselidiki, sebaliknya hanya mundar-mandir turun naik dari satu tingkat ke tingkat lain, mengharapkan entiti akan muncul.
Mika seharusnya tahu apa yang hendak dirakamkan dan dicapai pada penghujung penggambaran. Seperti yang pernah saya tonton dalam dokumentari sebenar di kaca tv, mencari entiti memerlukan pelbagai alatan dan kepakaran, bukan sekadar mengikut naluri hati, deria rasa mahupun penglihatan.
Skrip Shima misalnya sebagai hos tidak meyakinkan. Tiada fakta atau perincian yang kukuh, sebaliknya hanya dialog seperti, tempat ini memang menyeramkan" iaitu perkara yang penonton boleh lihat sendiri menerusi visual.
Bukankah sesuatu produksi itu, terutamanya apabila dibiayai syarikat besar seperti MIG, harus mempunyai rangka kerja agar perjalanan tidak sia-sia?
Sebagai pengarah dan penulis yang sinonim dengan naskhah seram, Pierre seharusnya peka dan mengerti dengan kepentingan pengetahuan seperti ini.
Penonton mahu diyakinkan bahawa apa yang mereka saksikan itu adalah perkara benar, walaupun secara sedar mereka tahu mereka ditipu. Selepas sekian banyak filem mockumentary dihasilkan, terutamanya dari luar negara, Pierre harus muncul dengan idea helah yang lebih baru dan bijak.
No comments:
Post a Comment