Thursday, November 28, 2013

THE LUNCHBOX (2013)

Mangkuk tingkat, kesunyian dan cinta

Antara dalam filem The Launchbox yang berkisar tentang mangkuk tingkat
Sukar rasanya untuk mencari sebuah filem, sekurang-kurangnya bagi saya, yang bercerita tentang kehidupan sehari-hari yang rutin, tetapi amat memberi kesan. Kehidupan itu digambarkan sebagai membosankan dan mendatar, namun mampu mengikat penonton untuk terus menyaksikannya sehingga penamat.
The Lunchbox bermula dengan Ila, seorang isteri dan juga ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan, menyediakan juadah makan tengah hari untuk suaminya. Makanan itu dihantar menerusi khidmat penghantar makanan atau lebih dikenali sebagai dabbawala di Mumbai.
(Trivia: Terdapat kira-kira 5,000 dabbawala di kota itu yang menghantar lebih 130,000 mangkuk tingkat kepada pekerja-pekerja di pejabat. Menurut kajian yang dilakukan Universiti Harvard, kebarangkalian untuk mereka tersilap hantar kepada pemilik yang lain adalah dengan nisbah satu dalam sejuta).
Bagaimanapun, mangkuk tingkat yang disediakan Ila untuk suaminya dihantar kepada seorang duda bernama Saajan Fernandes yang bakal bersara. Ila menyedari kesilapan berlaku apabila juadah yang disediakannya habis dimakan, sedangkan suaminya tidak memuji masakannya ketika pulang ke rumah.
Ila yang berasa curiga menyelitkan nota di dalam mangkuk tingkat tersebut. Bermula dengan sekadar memberitahu makanan itu bukan untuk Fernandes, mereka kemudian saling berbalas surat. Ila dan Fernandes membentuk satu ikatan kerana mereka adalah insan yang kesunyian.
Ila yang menerima layanan dingin mengesyaki suaminya mempunyai hubungan sulit. Manakala Fernandes adalah insan yang murung selepas kematian isteri. 'Kehadiran’ mangkuk tingkat Ila, bagaimanapun kini menjadikan waktu makan tengah hari adalah masa yang paling dinanti-nantikan oleh Fernandes.
Dalam teknologi yang serba canggih hari ini dengan kewujudan pelbagai media sosial mahupun applikasi whatsapp, The Lunchbox bersandarkan formula perhubungan klasik menerusi surat.
Sesuatu yang amat menarik apabila kita menyaksikan dua jiwa yang saling tidak mengenali ini berkongsi segala perasaan, harapan, impian malah kenangan-kenangan lama mereka, hanya di atas kertas. Sebuah perhubungan intim yang tidak konvensional kerana mereka tidak pernah bersemuka.
Filem ini melakukannya dengan begitu efektif sehingga kita tidak mengeluh pun apabila Ila dan Fernandes tidak cuba berbalas nombor telefon atau menggunakan medium komunikasi yang lain. Dan semua ini berlatarkan bandar Mumbai yang ditangkap cantik dalam suasananya yang semula jadi.
The Lunchbox merakamkan perjalanan dabbawala dari dapur rumah ke meja pejabat dengan lengkap. Penonton dapat melihat kesesakan bandar Mumbai menerusi jalan raya mahupun jalan kereta api, orang mengilat kasut, menjual lukisan di tepi jalan atau duduk tekun di meja kerja demi survival.
Fernandes digambarkan tinggal di sebuah rumah besar di Bandra, manakala Ila menetap di flat sempit di mana dia boleh menjerit memanggil jiran dan dapat mendengar suara masing-masing tanpa melihat wajah. Di sebalik kemewahan dan keriuhan itu semua, penonton dapat merasai kesepian Ila dan Fernandes.
Semua ini tidak akan berhasil tanpa kebijaksanaan lakon layar yang ditulis pengarahnya, Ritesh Batra. Dia meneroka tema kesunyian dalam bahasa sinema yang berbeza dengan filem-filem Bollywood lain. Penulisannya membuatkan penonton mengambil peduli dengan setiap karakter, malah setiap dialog.
Filem ini juga hampir tidak mempunyai muzik latar, sebaliknya memanipulasikan bunyi-bunyi asli untuk mencerminkan suasana atau perasaan.
Ritesh menjadikan The Lunchbox ibarat sebuah sajian yang membuatkan orang teringat-ingat walaupun sudah habis. Satu metafora perasaan yang puas, bukan kerana tidak menginginkannya lagi, tetapi kerana gembira dengan hasilnya.
Ritesh tidak memberikan sebarang kesimpulan terhadap perhubungan 'aneh' Ila dan Fernandes. Dia memberikan penghujung cerita yang terbuka untuk penonton mentafsirkan sendiri darjah atau tahap perasaan cinta yang dialami oleh dua karakter ini. Saya sebagai penonton, mempercayai cerita rekaannya.
Irrfan Khan sebagai Fernandes membuktikan dia adalah ‘Khan’ yang terbaik di Bollywood. Karakternya tidak memerlukan dia bercakap banyak, tetapi ‘kata-katanya’ terluah menerusi surat yang dihantar kepada Ila. Lenggok suara dan raut wajahnya cukup menggambarkan apa yang dirasai dan dipendam.
Persembahan Irrfan dibantu lakonan cemerlang Nawazuddin Siddiqui yang memegang watak Sheikh Aslam, pemuda yang bakal menggantikan tempatnya di pejabat apabila Fernandes bersara kelak.
Sheikh pada awalnya menjengkelkan, namun apabila cerita bergerak, penonton akan mula terpaut kepada pembinaan wataknya yang berlapis-lapis; penuh tulus dan naif tetapi cekal dalam mengharungi hidup sebatang kara. Dinamik perhubungan di antara Fernandes dan Sheikh menyeronokkan untuk ditonton.
Sementara itu, Nimrat Kaur sebagai Ila memberi penghayatan yang mengagumkan, apatah lagi ini merupakan watak utamanya yang pertama.
Dia memiliki sepasang mata yang sayu, seolah menjadi medium untuk menyampaikan perasaan yang dilalui. Dia juga tidak memerlukan air mata untuk menunjukkan kelemahannya, tetapi penonton sedar akan kerapuhan hidupnya.
The Lunchbox memberikan penonton pengalaman kehebatan perasaan manusia terhadap keinginan untuk bercinta dan dicintai.

(Trivia: Filem ini memenangi Anugerah Kritik Pilihan Penonton atau Grand Rail d’Or di Festival Filem Cannes 2013. Bagaimanapun, penerbitnya kecewa apabila ia tidak terpilih untuk mewakili India dalam Oscar akan datang. The Lunchbox tidak ditayangkan di pawagam Malaysia, tetapi secara eksklusif di Astro Best).

No comments: