Mengotakan impian dan harapan
Oleh Syazwan Zakariah
syazwan_zakariah@astro.com.my
syazwan_zakariah@astro.com.my
Kolumpo memaparkan tiga kisah âterpencilâ yang berlaku di Kuala Lumpur yang dihasilkan tiga pengarah muda iaitu Bront Palarae, Rozi Isma dan Sheikh Munasar. Ia merupakan sebuah cereka antologi atau omnibus dengan tema serupa di mana setiap satunya kira-kira 30 minit.
Konsep cerita dengan struktur bergilir seperti ini pernah ditampilkan dalam filem Maut (2009) arahan Bade Hj. Azmi dan Sini Ada Hantu (2011) arahan James Lee. Setiap satunya tidak berkaitan secara langsung.
Ini sedikit berbeza dengan Cinta (2006) atau Sepi (2008) arahan Kabir Bhatia. Walaupun terdapat tiga ke lima kisah yang berbeza, penceritaannya disusun berselang-seli. Karakter-karakternya juga mungkin âbertembungâ dalam set yang sama, tetapi mereka tidak saling mengenali.
Kolumpo mengambil slanga atau ânama manjaâ ibu negara Malaysia sebagai judul. Ia seolah menjadi penanda bahawa filem ini adalah sebuah naskhah yang mesra penonton massa, santai, mudah didekati dan difahami. Setiap satunya diceritakan secara linear dengan sedikit babak imbas kembali.
Segmen pertama arahan Bront mendekati kisah Rahul (lakonan yang baik dari Azad Jasmin), seorang imigran dari India yang baru tiba di ibu negara selepas menerima tawaran pekerjaan.
Malangnya, dia tertipu lalu terjebak menjadi pekerja di sebuah restoran dengan gaji yang rendah dan menetap berhimpit-himpit dalam sebuah rumah usang.
Bront membawa masuk konflik imigran India dalam komuniti India tempatan sebagai unsur drama, di mana berlakunya dominasi kuasa dan penindasan.
Selain menyelitkan elemen Bollywood menerusi babak menari di atas bumbung, dia juga tidak lupa menghasilkan humor ala filem Tamil.
Ini dapat dilihat pada watak antagonis lelaki kerdil serta babak kemunculan kelibat Komang (watak tipikal untuk Sofi Jikan) yang diiringi kesan bunyi dan cahaya lampu merah.
Segmen ini amat teliti dari aspek kerja kameranya, penataan seni dan cahaya serta pemilihan lokasi dan latar landskap. Kumpulan pereka produksi barangkali memberi lebih tumpuan terhadap setiap objek atau suasana yang dirakam kerana segmen pertama ini sedikit kompleks berbanding kedua dan ketiga.
Saya tidak pasti jika kontradiksi yang tercetus di sini boleh dianggap menarik atau sebaliknya. Rahul dan rakan-rakan senasib âtinggal dalam duniaâ yang gelap, kotor, sempit dan menyesakkan. Namun, visual yang terhasil begitu cantik dalam keadaan rapi dan tersusun.
Saya seperti merasakan Bront terlalu inginkan kesempurnaan sehingga segmen ini menjadi terlalu âberjaga-jagaâ.
Sementara itu, segmen kedua arahan Rozi yang menjadi kegemaran saya, mengisahkan gadis andartu, Gienna (lakonan cemerlang Nell Ng) yang terpaksa menghantar seorang wanita nyanyuk bernama Nek Wok (Ruminah Sidek) pulang ke rumah selepas sesat berjalan-jalan di tengah bandar.
Berkonsepkan road-movie, pencarian Gienna untuk membantu Nek Wok, secara bawah sedarnya, menemukan dia dengan satu kenyataan hidup bahawa dia sering mengabaikan ibunya sendiri.
Segmen kedua ini sebenarnya membawakan sebuah cerita ringkas yang boleh dijangka kesudahannya. Bagaimanapun, kepandaian penulisan Rozi dalam mengadunkan unsur jenaka dan sentimental, membuatkan ia istimewa.
Penonton tahu Ruminah sememangnya pelakon yang hebat. Persembahannya membuatkan emosi dan mood saya berubah-ubah di antara jengkel dan simpati.
Namun, adegan yang paling menyentuh perasaan saya ialah ketika kamera menangkap riak wajah Gienna dengan air mata bergenang ketika Nek Wok bertanyakan semula soalan serupa sebelum mereka berpisah.
Biarpun plotnya mudah, di sebaliknya Rozi seakan mahu menimbulkan beberapa persoalan sosial seperti isu pemilikan tanah serta kesibukan warga kota yang semakin individualistik. Ia bukan saja dipaparkan melalui watak Gienna tetapi watak sokongan seperti gadis penjual kuih dan anak Nek Wok sendiri.
Jika segmen kedua berlaku dalam satu petang saja, segmen ketiga arahan Sheikh pula berlaku dalam satu malam. Seorang lelaki pemalu bernama Hafidd (lakonan pertama Amirul Ariff yang boleh dibanggakan) bertemu dengan gadis yang tidak dikenali bernama Siti Nur Hayy (Sharifah Amani).
Mereka berjalan kaki dari taman KLCC sehingga ke stesen monorel di Bukit Bintang sambil berkongsi cerita tentang segalanya. Penonton akan tertanya jika watak Siti itu benar wujud atau sekadar khayalan, tetapi Sheikh memberikan senyuman kerana ia berakhir dengan penamat yang menggembirakan.
Terdapat sedikit masalah audio dan suntingan yang agak melompat untuk segmen ketiga ini. Biarpun dilihat sebagai segmen yang paling âsenangâ berbanding dua terawal, kesimpulannya yang mengotakan harapan dan impian positif adalah penutup yang baik untuk Kolumpo.
Ketiga-tiga pengarah ini bertuah kerana mendapatkan khidmat jurugambar Charin Pengpanich dari Thailand (pernah bekerja untuk Bunohan, 2012) yang memberikan wajah dan tangkapan kamera yang konsisten, meskipun berlainan mood dan set cerita. Suatu permulaan yang baik untuk Bront, Rozi dan Sheikh.
No comments:
Post a Comment