Thursday, January 2, 2014

THE SECRET LIFE OF WALTER MITTY (2013)

The Secret Life of Walter Mitty

SAYA tidak pernah menyedari Ben Stiller mempunyai sepasang mata berwarna biru yang sangat cantik sehinggalah saya menyaksikan babak pembukaan filem The Secret Life of Walter Mitty. Dan saya juga menyedari bahawa Stiller sebenarnya berkemampuan untuk mengarahkan filem yang baik jika dia mahu.
Diinspirasikan dari cerpen tulisan James Thurber pada tahun 1939, filem ini mengisahkan Walter Mitty yang bekerja di jabatan negatif filem untuk majalah Life. Walter bertanggungjawab untuk memproses gambar-gambar yang hebat dari serata dunia, namun dia sendiri tidak pernah merantau ke mana-mana.
Baharu menyambut ulang tahun yang ke-42, dia merasakan satu keinginan yang kuat untuk keluar dari kepompong selesa. Desakan itu timbul dari hasratnya untuk memikat rakan sekerja, Cheryl Melhoff. Lebih dari itu, dia berada di ambang kehilangan kerja apabila syarikatnya beralih kepada pentadbiran baru.
Pengembaraannya bermula apabila dia nekad untuk mencari sekeping negatif yang hilang yang dikirimkan oleh jurugambar terkenal, Sean O’Connell. Negatif itu amat penting kerana ia bakal dijadikan kulit majalah untuk edisi terakhir versi cetakan sebelum Life diterbitkan sepenuhnya dalam versi digital.
Menjejaki Sean yang hidup berkelana, Walter akhirnya merasai pengalaman yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Menaiki helikopter di Greenland, berenang bersama jerung, melihat gunung berapi meletus di depan mata dan memanjat Gunung Himalaya, Walter menemui perspektif baharu dalam hidupnya.
Walter bukanlah satu karakter yang kompleks. Dia sama seperti kita semua yang menyimpan begitu banyak impian tetapi ada masanya terlalu takut untuk melakukan sesuatu yang dirasakan di luar kemampuan. Ini yang menjadikan watak itu dekat dengan penonton dan kita selesa untuk mendampinginya.
Sinonim dengan komedi slapstik atau watak lelaki yang sering diperlekehkan, Stiller memberikan Walter satu nafas baharu. Sepasang mata birunya yang cantik itu melengkapi ‘kesayuan’ karakter ini, dalam masa yang sama mempamerkan kekuatannya untuk terus berjuang.
Selain berlakon dan mengarah, Stiller turut bertindak sebagai penulis lakon layar bersama Steve Conrad (The Pursuit of Happyness, 2006). Tidak dinafikan filem ini mempunyai sedikit kelemahan dari aspek nada naratifnya, terutamanya pada bahagian ketiga filem yang dirasakan kurang seimbang.
Bermula dengan sedikit humor ala Ally McBeal (semasa adegan-adegan Walter berangan-angan) pada dua bahagian pertama, bahagian ketiga dirasakan sedikit janggal. Stiller dan Conrad seakan mencuba untuk kelihatan serius kerana apa yang dipaparkan bukan lagi fantasi, sebaliknya kehidupan sebenar Walter.
Namun itu bukanlah masalah besar. Filem ini diselamatkan dengan sinematografi yang menawan. Peralihan dari kota metropolitan New York (yang diberikan sedikit nafas retro) kepada kehidupan lasak Walter dalam pelbagai landskap dunia juga dilakukan dengan begitu baik.
Meskipun beberapa dialognya dirasakan klise, kekurangan itu segera dimaafkan menerusi visual yang bersesuaian dengan skor muzik dan lagu-lagu latar. Penyatuan elemen-elemen ini dalam pola yang tersusun menghasilkan sebuah pengalaman menonton yang harmoni dan menyenangkan.
Sebagai bintang utama, The Secret Life of Walter Mitty adalah kerja Stiller yang terbaik setakat ini. Pada usia sebenarnya yang mencecah 48 tahun, persembahannya dalam filem ini amat bertenaga, ibarat seorang kanak-kanak berusia belasan tahun yang pertama kali mengunjungi taman tema.
Kristen Wiig sebagai Cheryl melakukan apa yang sepatutnya, begitu juga dengan Adam Scott sebagai ketua baharu di pejabat iaitu watak antagonis yang tidak cuba untuk membayangi karakter Walter.
Sementara itu, penampilan Shirley MacLaine sebagai ibu, Sean Penn sebagai jurugambar Sean dan Patton Oswalt sebagai ‘rakan telefon’ dari laman sosial merupakan ‘ramuan’ tambahan yang menjadikan filem ini bertambah ‘sedap’.
The Secret Life of Walter Mitty merupakan filem yang tepat untuk mengakhiri tahun, sekali gus membuka tahun baharu. Ia memberikan inspirasi untuk kita semua berdepan dengan pelbagai kemungkinan dengan semangat yang positif.

No comments: