Wajah kecil jiwa besar
Oleh Syazwan Zakariah
syazwan_zakariah@astro.com.my
syazwan_zakariah@astro.com.my
Apabila Abdullah sering membulinya ketika menunggang basikal, Wadjda berazam untuk memiliki basikal dan berlumba dengannya. Biarpun ibunya serta masyarakat menegah kanak-kanak perempuan menunggang basikal (kerana percaya akan kehilangan dara), Wadjda nekad mengumpul wang sendiri.
Dia menjual kaset lagu-lagu campuran yang dirakam dari radio serta membuat gelang tangan dari benang. Wadjda juga sanggup mengambil upah menjadi orang tengah untuk menyampaikan surat dari pelajar perempuan kepada teman lelaki mereka di luar kawasan sekolah.
Kerana wang yang dikumpul masih belum cukup untuk membeli sebuah basikal idaman berwarna hijau, dia nekad menyertai pertandingan menghafal ayat-ayat Al-Quran. Dalam masa yang sama, ibu Wadjda terpaksa berdepan realiti bahawa suaminya bakal berkahwin lain untuk mendapatkan zuriat lelaki.
Wadjda bukan sekadar cerita tentang kanak-kanak yang mahukan basikal, tetapi satu metafora mengenai kebebasan. Dalam budaya masyarakat yang melarang wanita memandu atau berbual dengan lelaki, pengarah Haifaa Al-Mansour menemui dan menyampaikan ‘suaranya’ melalui sinema.
Wadjda ialah filem cereka pertama arahan sutradara wanita di Arab Saudi. Kejayaan menghasilkan filem ini (dengan sokongan dana dari syarikat produksi Jerman) adalah satu pencapaian luar biasa kerana Arab Saudi tidak mempunyai pawagam (hanya televisyen dan DVD), apatah lagi industri perfileman.
Dalam keterbatasan itu, Haifaa yang juga menulis lakon layar, berjaya menyampaikan mesejnya dalam nada yang lembut tanpa mengkritik atau bersifat prejudis terhadap budayanya sendiri. Wadjda adalah suara ‘protes kecil’ Haifaa terhadap kekangan yang diterima golongan hawa di negaranya.
Pengarah ini mahu mengajak penonton untuk sama-sama menilai atau berbicara mengenai peranan wanita dalam masyarakat Arab moden. Dia bijak mengimbangi perkara atau elemen untuk kita mengkaji dan memahami tanpa terus menghentam atau menolak sistem di negara itu.
Haifaa memberikan beberapa ilustrasi tanpa berkeras atau berdakwah. Misalnya pelajar di sekolah Wadjda lengkap berhijab, sedangkan guru-gurunya termasuk pengetua digambarkan tidak bertudung dan memakai skirt. Ibu Wadjda pula terpaksa ponteng kerja kerana masalah pemandu dan tiada kenderaan.
Babak-babak ini ditampilkan secara halus, tetapi jelas. Haifaa tidak cuba ‘memperbesar-besarkan’ sesuatu isu meskipun dia mahu menjentik pemikiran penonton. Sebagai contoh, apabila Wadjda menghafal surah untuk pertandingan, surah itu berkenaan bagaimana lelaki harus melayan kaum wanita dengan adil.
Ia adalah refleksi kegusaran jiwa ibunya yang bimbang ditinggalkan dan dilupakan apabila bapa Wadjda berkahwin lain.
Terdapat babak ibunya membeli gaun merah untuk dipakai pada majlis perkahwinan (yang mana kecantikannya hanya boleh dilihat suami); juga babak seimbas lalu di mana ibunya menyikat rambut bercantik-cantik di depan cermin, sedangkan suaminya tidak pulang ke rumah untuk menghargai semua itu.
Rumah Wadjda dilengkapi dengan segala gajet dan peralatan moden, malah gadis itu belajar Al-Quran menerusi perisian komputer yang canggih. Namun, dalam masa yang sama, mereka harus menjaga aurat suara agar tidak didengari kaum lelaki, malah pergaulan bukan muhrim di tempat kerja harus diawasi.
Seperti mana Wadjda yang sedang membesar dan keliru dengan norma-norma masyarakatnya, barangkali begitu jugalah isi hati Haifaa yang menginginkan sedikit ruang perdebatan di medan nasional tentang peranan wanita hari ini.
Filem ini ditulis dan diarahkan dengan begitu baik. Terdapat beberapa kelemahan kecil seperti babak yang tidak ‘solid’, tetapi ia bukan masalah besar. Haifaa mengarahkan beberapa adegan dari dalam van dan berkomunikasi hanya melalui walkie-talkie kerana tidak boleh bergaul dengan krew lelaki.
Kesemua pelakon memberikan persembahan yang dipercayai, terutamanya Waad Mohammed sebagai Wadjda. Pertama kali berlakon, dia memahami wataknya bukan saja menerusi dialog yang dituturkan, tetapi menerusi tingkah laku dan bahasa tubuh yang tepat. Penonton peduli dengan perasaan Wadjda.
Kita barangkali agak akrab dengan budaya masyarakat Arab kerana Malaysia juga negara Islam. Namun di luar negara, tema yang dibawakan Wadjda, walaupun universal (tentang harapan seorang kanak-kanak), tetap berlegar kepada isu hak asasi manusia yang provokatif, mendalam dan kompleks.
Ia mendapat perhatian beberapa festival antarabangsa, antaranya Filem Terbaik Festival Filem Venice 2012 dan Pengarah Harapan Festival Filem Antarabangsa Palm Springs 2013. Turut dicalonkan untuk kategori Filem Bahasa Asing Terbaik Bafta 2013, Wadjda sedang ditayangkan secara eksklusif di saluran Astro Best.
No comments:
Post a Comment