Thursday, July 22, 2010

Mantra (2010)

Mantra yang tak habis 'dibaca'


Sesuai dengan karakter anti-hero, Zul merupakan pilihan terbaik kerana dia mempunyai rupa dan kredibiliti lelaki kampung yang naif dan dalam masa yang sama penuh amarah.


ADEGAN pembukaan Mantra mengingatkan saya kepada filem-filem seram lama Melayu dan Indonesia.

Suara lelaki garau yang bergema membacakan ayat-ayat suci Al-Quran, ibarat satu trademark untuk menimbulkan mood cerita hantu.

Walaupun adegan seperti itu sangat klise, tetapi ia masih berkesan, sekurang-kurangnya untuk saya.

Saya dapat bayangkan menekup muka dengan bantal, kalau saya masih kanak-kanak.

Mantra bermula dengan meyakinkan. Adegan Muzir menarik mayat, memotong kepala dan memakan isi badannya, membuatkan penonton yang baru hendak duduk selesa, tersentak. Cubaan menakutkan penonton bermula sejak minit pertama lagi.

Muzir digambarkan sebagai lelaki yang teraniaya kerana mahu menyelamatkan isterinya, Ani daripada serangan ilmu hitam.

Sebelum ditangkap dan dihumban ke dalam penjara, penonton menyaksikan Muzir menggali kubur dan dituduh mengamalkan ajaran syaitan.

Di dalam penjara, dia diganggu roh Embah, penuntut ilmu salah yang berkeliaran. Embah menghasutnya supaya membalas dendam, lebih-lebih lagi apabila Muzir menerima telegram menyatakan isterinya bakal berkahwin lain.

Terperangkap di antara kesedihan dan dendam, Muzir akhirnya bersetuju untuk bersekutu. Jampi serapah menjadi pintu untuk menebus kesumatnya.

Kisah ilmu hitam dan rasukan adalah tema biasa bagi filem-filem hantu di rantau ini. Memang tidak sesuai jika Mantra dinilai dari segi keaslian plot, kerana mana-mana pembikin filem pun berpusing-pusing mengitar semula idea yang sama.

Dengan premis yang dimiliki, Mantra berupaya menjadi sebuah naskhah yang malar segar dan menonjol daripada lambakan filem hantu Malaysia yang lain, yang kebanyakannya hanya seram pada tajuk.

Bacaan mantera itu sendiri sebenarnya sudah cukup untuk menjadi aset menaikkan bulu roma. Ia mempunyai elemen mistik yang kuat.

Tanpa kemunculan hantu secara fizikal pun, jika kena pada muslihatnya, penonton mampu merasai kesan selepas filem selesai.

Sebagai contoh, mantera yang dibacakan terus terngiang-ngiang di telinga mereka.

Sayangnya, kesempatan itu tidak digunakan sepenuhnya oleh Azhari Zain selaku pengarah.

Tindakan Azhari membenihkan misteri pada permulaan cerita merupakan teknik yang berkesan. Dia mahu menimbulkan intrig supaya penonton terus terpaku di tempat duduk.

Pengarah muda itu meneruskan helah yang sama seperti filem seram pertamanya, Santau (2009).

Dia sebenarnya mencipta 'twist' yang hanya akan didedahkan di penghujung cerita. Bagaimanapun, graf ketakutan yang pada awalnya naik mencanak, seakan berada pada kedudukan yang mendatar di pertengahan.

Azhari terlalu teruja bermain dengan objek hantu dan kesan khas CGI sehingga melupakan pembinaan cerita.

Tidak salah untuk Azhari bereksperimen. Tetapi setiap babak itu sepatutnya disokong dengan bayangan atau kekunci yang boleh membantu penonton mencernakan jalan cerita.

Tidak adil untuk membiarkan penonton terus keliru sehingga minit-minit yang terakhir.

Akibatnya, saya menjadi sedikit 'penat'. Adegan demi adegan dipertontonkan tanpa signifikan yang jelas, membuatkan cengkaman filem ini terasa semakin longgar.

Pujian, bagaimanapun, boleh diberikan kepada jurusolek yang cuba untuk tidak mengulang imej hantu yang serupa.

Walaupun tidak boleh lari dari stereotaip darah, berulat serta perempuan hodoh berambut panjang, jelmaan makhluk hijau berlumut seakan 'the swamp thing' dan lembaga yang dililit akar, mencetuskan keghairahan baru kepada penonton.

Saya percaya penataan bunyi dan muzik adalah aspek terpenting dalam sesebuah filem, lebih-lebih lagi cerita hantu.

Namun demikian, satu hal yang amat ketara ialah muzik latarnya yang serupa dengan filem-filem seram terbitan David Teo yang sedia ada.

Kelainan yang cuba diberikan Azhari, sedikit sebanyak terganggu dengan kelemahan ini.

Zul Suphian, vokalis kumpulan Handy Black membawakan watak Muzir dengan seimbang.

Sesuai dengan karakter anti-hero, Zul pilihan terbaik kerana dia mempunyai rupa dan kredibiliti lelaki kampung yang naif, dalam masa sama penuh amarah.

Dia juga bertuah apabila dipasangkan dengan aktor berkarakter seperti Hasnul Rahmat sebagai ustaz Hasbi. Hasnul berjaya menggunakan ekspresi wajah, bahasa tubuh dan dialog untuk memperdayakan penonton.

Sementara barisan pelakon lain sekadar melunaskan karakter seadanya. Saya tidak 'membeli' kewujudan Bob Lokman sebagai pawang hebat, begitu juga dengan karakter Pak Long lakonan Hamdan Ramli yang adakalanya separa komedi dan menjengkelkan.

Ana Dahlia, yang baru pertama kali berlakon filem, sewajarnya mendapat lebih bimbingan. Atau mungkin, perkembangan karakternya yang terhad, membataskan Ana untuk mempamerkan kebolehan.

Dalam filem ini, Muzir berjaya melengkapkan sihirnya menerusi mantera yang dilafazkan.

Namun, Mantra Azhari seperti tidak habis 'dibaca' dan dia perlu 'menuntut' lagi.

No comments: